Bukan sahaja mengimbau nostalgia era muzik 1990-an, persembahan kumpulan legenda, Exists pada Konsert Exists Memento Mori 2.0, turut berjaya menghimpunkan peminat pelbagai generasi.

Lebih istimewa, konsert yang dihadiri 8,000 penonton di Unifi Arena, Bukit Jalil, pada 8 November lalu menyaksikan penonton menyanyi bersama kumpulan itu bagaikan ‘dirasuk’ menerusi barisan lagu hit yang dipersembahkan.

Konsert anjuran Icon Entertainment yang berlangsung lebih tiga jam itu menyaksikan lokasi berkenaan bertukar menjadi ‘dewan karaoke’ gergasi apabila peminat tidak henti-henti mengikut rentak lagu malar segar kumpulan asal Johor yang sudah bertapak lebih tiga dekad itu, lapor Harian Metro. 

Antara lagu hit yang dipersembahkan termasuk Untukmu Ibu, Usah Tinggal Daku Kekasih, Masih Terserlah Ayumu, Janji Padamu, Rahsia Pohon Cemara dan Jesnita.

Vokalis Exists, Mamat (kiri) bersama pemain gitar, Along, ketika menghiburkan lebih 8,000 penonton pada Konsert Exists Memento Mori 2.0 di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 8 November lalu.
Vokalis Exists, Mamat (kiri) bersama pemain gitar, Along, ketika menghiburkan lebih 8,000 penonton pada Konsert Exists Memento Mori 2.0 di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 8 November lalu. - Foto INSTAGRAM EXISTSBAND

Mengangkat tema, Memento Mori, tentang hakikat kematian dan kehidupan yang sementara, rangkaian lebih 30 lagu yang dipersembahkan mengajak penonton menghargai setiap detik persahabatan, kenangan dan legasi seni mereka.

Tidak dinafikan ia mendapat sambutan hebat daripada peminat yang hadir.

Berlatarkan rekaan pentas ringkas era 1990-an, kemunculan Exists menggamatkan dewan dengan sorakan padu peminat yang tidak berganjak sejak awal persembahan. 

Dalam kemeriahan konsert, Exists tidak melupakan jasa tulang belakang di sebalik kejayaan mereka apabila mendedikasikan segmen khas buat komposer dan penulis lirik terkenal, LY serta Baiduri.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Suasana bertukar hiba apabila vokalisnya, Mamat mendedangkan lagu, Nota Di Lautan Sepi, yang ditujukan khas buat bekas pengurus mereka, Allahyarham Johan Aziz, yang meninggal dunia pada 1 November lalu.

Mamat menzahirkan penghargaan dengan penuh sebak terhadap individu yang disifatkan antara orang penting serta seperti keluarga dalam membantu perjalanan seni Exists.

“Jika tiada beliau (arwah Johan), kami tidak akan berada di sini. Kerana jasa beliau, kami berada di sini.

“Arwah ialah penjaga dan pembimbing. Semua ini akan abadi di hati kami,” kata Mamat.

Vokalis Exists, Ezad Lazim, membuka tirai persembahan menerusi lagu, Rindu Serindu Rindunya, nyanyian asal kumpulan Spoon, sebelum disusuli Destini, Julia dan Kembalikan Hatinya.
Vokalis Exists, Ezad Lazim, membuka tirai persembahan menerusi lagu, Rindu Serindu Rindunya, nyanyian asal kumpulan Spoon, sebelum disusuli Destini, Julia dan Kembalikan Hatinya. - Foto INSTAGRAM EXISTSBAND

Selain Mamat, Exists yang dianggotai Ezad Lazim (vokalis); Along (gitar); Ujang (dram); Musa (bass)l; Ajai (keyboard); dan Shah (gitar); masing-masing memainkan peranan penting menghiburkan peminat pada konsert yang turut mengimbau perjalanan seni mereka.

Terdahulu, Ezad yang membuka tirai persembahan menerusi lagu, Rindu Serindu Rindunya nyanyian asal kumpulan Spoon, sebelum disusuli Destini, Julia dan Kembalikan Hatinya.

Pentas persembahan kemudian menyaksikan kemunculan Mamat dengan gaya tersendiri menyampaikan lagu Anugerah.

Kededua vokalis berkenaan kemudian bergilir-gilir tampil menghiburkan peminat dengan lagu-lagu ikonik kumpulan legenda asal Johor itu.

Walaupun dilabel antara band ‘berusia’ namun Exists tetap memberikan persembahan bertenaga sekali gus terus menyimpan nostalgia tersendiri dalam buku dunia hiburan tanah air.

Ternyata peminat yang hadir terhibur dan pulang dengan pelbagai nostalgia indah.

Sekali pun ada yang menyifatkan acara mega itu berjaya mengulangi kecemerlangan konsert mereka yang pertama sekitar Ogos lalu, namun ada juga dalam kalangan peminat yang berasakan sebaliknya.