Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelakon Siti Khadijah pertahan kemenangan Zarra, Aghniny di Festival Filem M’sia
Pelakon Siti Khadijah pertahan kemenangan Zarra, Aghniny di Festival Filem M’sia
KUALA LUMPUR: Bakat lakonan yang luar biasa serta komitmen tinggi dalam menjayakan naskhah, Khadam, menjadikan kemenangan Zarra Zhaf, 14 tahun, dan pengiktirafan terhadap aktres Indonesia, Aghniny Haque, 29 tahun, semasa Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), sebagai sesuatu yang wajar dan tidak perlu dipertikaikan.
Pelakon, Siti Khadijah Halim, 29 tahun, menyifatkan pencapaian kedua-dua bintang itu sebagai manifestasi mutu lakonan yang berjaya memukau barisan juri, sekali gus menepis sebarang pertikaian berhubung keputusan malam anugerah berprestij itu.
Mengulas mengenai Anugerah Khas Juri yang diraih Aghniny atas lakonannya sebagai Melor dalam Khadam, Siti Khadijah berkata penilaian terhadap karya seni harus melangkaui batas sempadan dan kewarganegaraan.
“Saya tahu perkara ini sensitif kerana kita mengiktiraf Aghniny.
“Namun, saya rasa beliau memang wajar menerima anugerah itu kerana bakatnya.
“Kita perlu ketepikan soal kewarganegaraan kerana bakatnya memang tidak dinafikan sangat baik dalam Khadam,” ujarnya.
“Untuk Zarra pula, dia memang seorang pelakon yang sangat bagus.
“Saya pernah bekerja dengan Zarra dan tidak dinafikan dia bukan seperti kanak-kanak seusianya,” kata Siti Khadijah.
Zarra, atau nama penuhnya, Ezarra Nurzhaffira Ahmad Aizat Fitri, memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menewaskan Datin Sofia Jane, yang dicalonkan menerusi filem, Malam Terlarang, Sara Ali (Libang Libu), Pearlly Chua (Mother Bhumi) dan Azira Shafinaz (Tarung: Unforgiven).
“Dia seperti sebaya saya dari segi kematangan lakonan, cara melafazkan dialog dan berkomunikasi dengan orang dewasa,” kata Siti Khadijah, apabila ditemui semasa majlis pelancaran wadah penstriman dan hiburan serantau, UTV Nusantara, dan lagu Janji Untuk Setia, di sini, pada 23 November, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam pada itu, Siti Khadijah turut meluahkan rasa bangga atas kejayaan Zarra membawa pulang kemenangan itu dan menyaksikan sendiri kemampuan pelakon remaja berkenaan sepanjang menjayakan filem Khadam.
Menurutnya, Zarra sudah dianggap seperti anak buahnya sendiri, malah kejayaan pelakon muda itu turut memberikan kegembiraan kepadanya.
“Saya sendiri berasa bangga apabila Zarra dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, dan menang.
“Watak Hitam dan Putih dalam Khadam, yang masing-masing dilakonkan Karl El dan Zarra, sangat dekat dengan saya dan saya bangga dengan mereka.
“Walaupun Karl tidak dapat membawa pulang sebarang kemenangan, saya rasa tidak mengapa, kerana kakaknya sudah membawa pulang anugerah.
“Saya gembira untuk mereka,” katanya.
Karl, atau nama penuhnya, Ahmad Karl Elzrique Ahmad Aizat Fitri, lapan tahun, merupakan adik kepada Zarra.
Selain itu, Siti Khadijah menambah, kemenangan seseorang pelakon tidak seharusnya dipertikaikan kerana setiap kejayaan mempunyai ketentuan dan rezeki tersendiri.
Menurutnya, peluang untuk meraih pengiktirafan akan tiba pada waktu yang tepat, justeru setiap individu perlu menerima keputusan dengan hati terbuka.
“Saya cuma nak cakap satu sahaja.
“Kita makan nasi pun makanan boleh terjatuh dari mulut.
“Jadi, rezeki itu akan datang pada waktu yang tepat.
“Kalau sudah tertulis memang rezeki Zarra untuk menang, dia akan menang. Kalau rezeki orang lain, mungkin orang lain yang akan menang.
“Jadi, kalau boleh, kita jangan pertikaikan soal rezeki kerana apa yang datang, sama ada baik atau buruk, adalah daripada Allah,” ujar beliau.
Filem Khadam yang dibintangi Aghniny sebagai pelakon utama, dan Siti Khadijah serta Zarra sebagai pelakon pembantu, turut mencipta kejayaan apabila membolot sembilan anugerah termasuk Filem Terbaik FFM35.