Pelakon Eyka Farhana selamat bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan dan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, pada majlis pernikahan di Boathouse By The Lake Ampang di Ampang pada 2 Mei.
Hanya dengan sekali lafaz, mereka sah bergelar pasangan suami isteri tepat pada 10.12 pagi.
Menurut laporan Berita Harian Malaysia, pihak lelaki memberi lima dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pengantin perempuan.
Pada majlis itu, Eyka atau nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, menerima mas kahwin sebanyak RM3,200 ($965).
Majlis akad nikah yang berlangsung secara sederhana membabitkan anggota keluarga dan kenalan terdekat kedua-dua belah pihak itu menyaksikan Eyka anggun mengenakan baju kurung moden berwarna putih rekaan Teh Firdaus.
Sementara itu, Akhyar atau nama sebenarnya, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, pula tampil segak dengan baju Melayu berwarna putih.
Majlis pernikahan itu turut dihadiri oleh beberapa rakan artis seperti Mimi Lana, Amelia Henderson, Yaya Zahir, Shalma Ainaa, Sophia Liana, Azira Shafinaz dan Alicia Amin, yang bertindak sebagai pengiring dulang hantaran.
Sementara itu, semakan mendapati Eyka berkongsi pernikahannya dengan Akhyar melalui hantaran Instagram.
Eyka berkongsi kapsyen ringkas memaklumkan dirinya kini isteri Akhyar.
“Dengan satu lafaz... alhamdulillah. Kami dengan rasminya suami isteri,” tulisnya.
Pasangan itu bertunang pada 4 Ogos 2024 selepas lima tahun menjalin hubungan cinta.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg