Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fairuz Selamat hampa kecewakan peminat

Jan 28, 2025 | 12:30 PM
Fairuz Selamat lebih sebak dengan penyingkirannya pada peringkat suku akhir ‘Gegar Vaganza 11’ (GV11) kerana terasa seakan-akan menghampakan peminatnya yang banyak berkorban masa untuknya.
Fairuz Selamat lebih sebak dengan penyingkirannya pada peringkat suku akhir ‘Gegar Vaganza 11’ (GV11) kerana terasa seakan-akan menghampakan peminatnya yang banyak berkorban masa untuknya. - Foto ASTRO

Hampir saban minggu, penyanyi Mohammad Fairuz Selamat, memenangi Anugerah Khas bagi undian penonton paling ramai di Gegar Vaganza 11 (GV11).

Kerana itu, apabila perjalanannya dalam peraduan realiti anjuran Astro itu terhenti setakat di peringkat suku akhir pada 26 Januari lalu, Fairuz, 39 tahun, cukup sebak kerana terasa seakan-akan beliau telah menghampakan peminatnya.

Vokalis kumpulan ‘boyband’ Q-Face dan Antz itu memberitahu media seberang selepas tamat peraduan di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA):

“Saya tidak pernah mendapat sokongan hebat seperti ini selama 24 tahun bergelar anak seni. Mereka sanggup datang pada setiap Sabtu dan Ahad.

“Ada di antara mereka yang sudah berkeluarga tapi tetap luangkan masa untuk menyokong saya. Mereka ada jadual dan syif untuk mengundi saya.

“Mereka masakkan saya makanan dan belikan bermacam-macam benda. Saya agak ralat kerana kecewakan mereka. Setiap peminat pasti mahu artis mereka ke peringkat akhir.

“Mereka sudah ada jadual untuk menyokong saya hingga ke peringkat akhir. Jadi, dua minggu ke depan ini mereka nak buat apa?” katanya lagi.

Fairuz, bagaimanapun, berkata mereka yang tersingkir dalam GV11 bukan petanda mereka tidak hebat.

“Program televisyen ini bermain dengan banyak perkara yang kita tidak nampak. Bakat itu sudah jatuh ke nombor dua.

“Saya anggap rezeki saya sampai di sini sahaja. Mungkin Allah ingin beri ruang kepada peserta lain untuk terus bertanding. Mungkin mereka lebih memerlukan ruang itu berbanding saya.

“Saya sudah punyai kerja tetap dan mungkin ada orang lain sebaliknya (memerlukan kerja tetap). Sudah tentu saya sedih bila tersingkir tapi saya terima keputusan ini dengan hati terbuka,” katanya yang bertugas sebagai Timbalan Pengarah di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Fairuz dan pasukannya merancang menganjurkan sesi percutian bersama peminat sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka selama ini. 

Di dalam pusingan suku akhir, Fairuz mempertaruhkan lagu Hang Pi Mana (nyanyian Khalifah) dan Yang Penting Hepi (Jamal Mirdad).

Beliau tersingkir selepas mendapat markah paling rendah sebanyak 64.4 peratus.

Sebelumnya, di tangga ketujuh adalah bekas pramugari, Sheila Abdull, 36 tahun, dengan markah 65.6 peratus.

Ketika mengulas sebab Fairuz tersingkir dan mendapat markah paling rendah, juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, berkata:

“Fairuz cuba sesuatu yang terlalu besar buatnya. Bagus untuk menunjukkan kreativiti tetapi kadangkala kita harus fikirkan apakah sesuatu itu kita kena buat atau tidak.

“Kalau ini persembahan biasa, tak mengapa. Tapi kalau pertandingan, perlu hati-hati dan pastikan apa yang kita boleh atau tak boleh buat.

“Kita dah masuk berapa minggu ni. Kita harus tahu nilai sejauh mana kita boleh pergi. Yang merisaukan juga adalah intonasi Fairuz

“Kalau dia nyanyi ‘off’, ada nada-nada sumbang sana sini dalam beberapa bahagian, sebagai juri, kita susah nak fokus pada aspek lain walau bagaimana bagus pun persembahannya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg