Topik diikuti
Pergi ke BHkuFaiz Zikry tidak gentar jadi ‘Kaki Nyanyi’
Faiz Zikry tidak gentar jadi ‘Kaki Nyanyi’
Bintang TikTok harap dapat keluarkan lagu pertama pada 2025
Faiz Zikry tidak gentar jadi ‘Kaki Nyanyi’
Penyanyi tempatan yang bermula daripada aplikasi media sosial TikTok, Faiz Zikry, bersyukur mendapat pelbagai peluang membuat persembahan dan mengetengahkan bakatnya pada 2024.
Faiz, atau nama sebenarnya, Faiz Zikry Abdul Fattah, 24 tahun, mendapat kesempatan membuat persembahan di Esplanade pada empat acara berbeza pada 2024 dengan salah satu daripadanya merupakan persembahan solo pertamanya.
Pada persembahan solo yang diberi nama, Faiz Zikry & Friends, pada 9 Oktober di Ruang Legar Esplanade, Faiz menyanyikan lagu irama balada dan pop bahasa Melayu dan Inggeris yang tular di media sosial.
“Saya sangat bersyukur diberi kepercayaan dan peluang ini.
“Walaupun kadangkala tertekan sedikit kerana perlu membuat perancangan bagi setiap persembahan, saya sangat menyukainya kerana menyanyi merupakan minat saya sejak kecil,” kongsi Faiz.
Beliau yang ditemui Berita Harian (BH) semasa acara, Kaki Nyanyi Live & Loaded, di Studio Annexe Esplanade pada 26 November, turut merebut peluang keemasan apabila ditawarkan untuk menyertai program nyanyian realiti, Kaki Nyanyi.
“Menyertai satu pertandingan besar merupakan impian saya sejak menceburi bidang ini.
“Apabila saya diberitahu yang saya perlu bekerjasama dengan penyanyi lain, saya berasa gembira kerana tidak akan melalui pertandingan ini keseorangan,” cerita Faiz yang mula mengembangkan kerjaya seninya secara serius pada 2021.
Terdahulu, Faiz mencipta nama apabila video ‘cover’ beliau bagi lagu, Dawai, oleh Fadhilah Intan, menerima sehingga 2.6 juta tontonan di TikTok pada Oktober 2023.
Menurut Faiz, beliau tidak mahu berasa terlalu selesa dengan kerjaya seninya kini dan mahu terus mengasah bakatnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut percaya pentingnya untuk terus bersikap rendah hati dan terbuka dalam mempelajari atau mencuba sesuatu yang baru.
“Sebagai penyanyi yang biasa menyanyikan lagu balada, saya dapat menyanyikan lagu pelbagai genre baru seperti muzik dansa elektronik (EDM) dalam pertandingan ini.
“Saya juga dapat belajar daripada peserta lain semasa bekerjasama dalam kumpulan. Mereka semua mempunyai bakat yang besar.
“Pertandingan ini juga memberi saya peluang untuk membina keyakinan diri dan bagaimana untuk berbual di hadapan kamera.
“Sebelum ini, saya sering tergagap-gagap,” tambahnya yang turut muncul dalam satu episod rancangan masakan, Air Tangan, bersama nenek saudaranya, Cik Mira Othman, baru-baru ini.
Ditanya mengenai persahabatannya dengan penyanyi, Izzan Adlan, yang juga peserta Kaki Nyanyi, Faiz berkongsi bahawa mereka mula mengenali satu sama lain menerusi TikTok.
“Sebenarnya, Izzan muncul dalam siaran langsung TikTok semasa saya sedang menyanyi. Saya pun balas dengan menjawab, ‘Hi’ dan daripada situ, saya mula berbual dengannya.
“Persahabatan kami semakin rapat semasa kami menyertai pertandingan, Suara Wisma Geylang Serai (WGS) 3.0, pada 2021.” ujarnya.
Faiz bersyukur dapat menyertai Kaki Nyanyi bersama kawan baiknya dan mereka sentiasa memberi sokongan kepada satu sama lain.
Mereka juga saling bertukar pendapat untuk membuat persembahan mereka lebih menarik agar dapat memikat hati panel pengadil yang terdiri daripada Taufik Batisah, Sezairi Sezali, Najip Ali dan pengadil undangan berbeza bagi setiap episod.
Beliau turut mengakui bahawa Izzan merupakan antara pesaing utamanya selain Izat Ibrahim, Syaz Smooth dan Redzwan Salleh.
Faiz berasa setiap daripada mereka mempunyai keunikan dan kekuatan dalam membuat persembahan.
Mengenai perancangannya bagi 2025, Faiz ingin menumpukan perhatian dalam menghasilkan lagu pertamanya yang sudah sekian lama beliau impikan.
Beliau yang turut mempunyai ramai pengikut dari Malaysia dan Indonesia juga berharap dapat bekerjasama dengan penyanyi dari negara jiran.
Ditanya apakah nasihatnya untuk belia yang ingin menceburi bidang nyanyian, Faiz berpendapat mereka tidak boleh takut untuk mempunyai impian besar dan harus bekerja keras untuk mencapainya.
“Jikalau masih rasa kurang yakin untuk membuat persembahan, mungkin dengan berkongsi nyanyian di media sosial seperti saya adalah satu permulaan yang baik.
“Mereka juga boleh menyertai kegiatan kokurikulum (CCA) nyanyian di sekolah untuk mengasah bakat dan belajar daripada penyanyi lain,” tambahnya.
Kaki Nyanyi disiarkan setiap Selasa, mulai 8.30 malam di saluran Mediacorp Suria. Ia juga boleh ditonton di aplikasi mewatch.
“
Saya sangat bersyukur diberi kepercayaan dan peluang ini (membuat persembahan solo di Ruang Legar Esplanade). Walaupun kadangkala tertekan sedikit kerana perlu membuat perancangan bagi setiap persembahan, saya sangat menyukainya kerana menyanyi merupakan minat saya sejak kecil... Pertandingan (Kaki Nyanyi) ini juga memberi saya peluang untuk membina keyakinan diri dan bagaimana untuk berbual di hadapan kamera. Sebelum ini saya sering tergagap-gagap.