Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘TikToker’ Sio Lubis tangguh impian lanjut pelajaran demi nyanyian

Lulusan kejuruteraan bioperubatan yang kini petugas makmal, cabar diri kerjasama dengan bakat lain
Dec 9, 2024 | 5:30 AM
Sio Lubis, Kaki Nyanyi, Singapura Live 4.0
Penyanyi dan pencipta kandungan, Sio Lubis, cuba untuk keluar daripada zon keselesaannya dan mencabar diri dalam bidang nyanyian menerusi pertandingan ‘Kaki Nyanyi’. - Foto MEDIACORP SURIA
Penyanyi dan pencipta kandungan, Sio Lubis, mahu mencabar diri dalam kebolehan menyanyi dan menangguhkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran buat seketika dahulu.
Penyanyi dan pencipta kandungan, Sio Lubis, mahu mencabar diri dalam kebolehan menyanyi dan menangguhkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran buat seketika dahulu. - Foto MEDIACORP SURIA

Semasa mendapat tawaran untuk menyertai program nyanyian realiti, Kaki Nyanyi, penyanyi dan pencipta kandungan, Sio Lubis, tidak pasti jika beliau patut merebut peluang itu. 

Ini disebabkan Sio, atau nama sebenarnya, Nu Soibah Mohamed Nasir, 26 tahun, sedang meninjau pilihan yang ada untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). 

“Pada mulanya, saya tidak tahu hendak pilih yang mana. Memang saya ingatkan saya mahu teruskan belajar dahulu. Namun minat menyanyi telah mekar dalam diri saya sejak kecil.

“Saya mula menyanyi sejak di bangku sekolah setelah menyertai kegiatan kokurikulum (CCA) koir dan ibu bapa saya sering memberi sokongan kerana mereka juga boleh menyanyi dengan baik. 

“Namun, saya memilih untuk sertai pertandingan ini kerana ingin mencabar kebolehan bakat menyanyi saya dan melihat seberapa jauh saya boleh pergi,” kongsinya kepada Berita Harian (BH) dalam satu wawancara semasa acara Kaki Nyanyi Live & Loaded di Studio Annexe Esplanade pada 26 November.

Sio telah meraih Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Bioperubatan daripada Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada 2023. 

Kini, beliau bekerja sepenuh masa di sebuah makmal dan tugas sehariannya termasuk memproses sampel darah bagi diagnosis barah.  

Sio juga tidak menyangka dapat bertanding dengan 23 peserta lain yang cukup berbakat, dengan ada daripadanya, telah mencipta nama dalam industri seni tempatan. 

“Saya tidak tahu jika penonton mengenali saya sebagai seorang penyanyi atau lebih mengenali saya menerusi video-video bersama ibu saya di TikTok,” tambahnya.

Sio sering memuat naik video pendek yang menampilkan beliau dan ibunya dalam gelagat komedi atau bersahaja di akaun TikTok miliknya yang kini mempunyai 69,200 pengikut. 

Namun beliau juga sering memuat naik video dirinya menyanyi lagu versi ‘cover’ di TikTok, Instagram dan pernah membuat persembahan beberapa kali di ruang legar Esplanade.

Sio juga pernah menghasilkan beberapa lagu termasuk lagu Inggeris, I’m always on your side, yang dikeluarkan pada 2023. 

Selain dapat menyanyikan lagu pelbagai genre dan perhalusi teknik nyanyiannya, Sio berasa pertandingan Kaki Nyanyi juga telah membantunya membina keyakinan diri. 

Mengakui dirinya seorang yang introvert atau pemalu, Sio berkata pada mulanya beliau berasa gementar apabila diberitahu harus bekerjasama dengan penyanyi lain yang tidak dikenali. 

“Saya juga telah mencabar diri saya untuk keluar dari zon keselesaan dan perlu menari di atas pentas. 

“Sebelum ini, saya hanya melihat bintang K-pop melakukannya dan tidak menyangka saya boleh menari,” ujar Sio. 

Ditanya tentang nama pentasnya yang unik, Sio berkongsi bahawa nama itu diberi oleh kakaknya.

“Semasa kecil, ramai orang yang sering tersilap menyebut nama saya kerana mungkin nama ‘Nu Soibah’ itu jarang didengar. Jadi kakak saya beri saya nama timangan ‘Sio’ dan ia melekat hingga kini.

“Nama ‘Lubis’ pula adalah daripada nama keluarga bapa saya. Memang betul, bapa saya ada darah keturunan dari Indonesia,” kongsinya yang merupakan anak keempat dalam lima beradik perempuan.

Ditanya apakah memori yang beliau bakal rindui daripada pertandingan itu, Sio berkata jalinan persahabatan yang dibina bersama peserta lain adalah sesuatu yang sangat berharga. 

“Saya tidak menyangka semua 23 peserta sangat peramah dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuan walaupun ia satu pertandingan. 

“Saya berharap kami akan terus berkawan dan mungkin bekerjasama lagi selepas tamat pertandingan ini,” tambah Sio.

Ingin cabar diri

Namun, saya memilih untuk sertai pertandingan ini kerana ingin mencabar kebolehan bakat menyanyi saya dan melihat seberapa jauh saya boleh pergi... Saya juga telah mencabar diri saya untuk keluar dari zon keselesaan dan perlu menari di atas pentas.  Sebelum ini, saya hanya melihat bintang K-pop melakukannya dan tidak menyangka saya boleh menari.
Sio Lubis, antara peserta pertandingan ‘Kaki Nyanyi’.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg