Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Farhan Shah terselamat sekali lagi susuli cengkaman risiko tersingkir

Bakat S’pura ingin lebih gigih pertingkat kreativiti, singkir gementar bertanding di Big Stage
May 29, 2023 | 04:53 PM



KEHIDUPAN memang ada pasang surutnya – kadang di atas dan kadang di bawah. Kelihatannya begitu juga dengan nasib peserta Singapura, Farhan Shah, yang mewakili negara ke pentas peraduan realiti Astro di seberang Tambak, Big Stage 5.

Jika pada minggu pertama, beliau berada di tangga paling bawah dan nyaris-nyaris tersingkir, kedudukannya sekali lagi tergugat selepas menyanyikan lagu Dayang Nurfaizah, Di Pintu Syurga, pada konsert minggu keempat pada Ahad.


Farhan, 30 tahun, berada di tangga terbawah sekali lagi dengan markah 42.67 peratus. Bersama dengannya di tiga tangga terbawah ialah Meer Nash (45.33 peratus) dan Firdaus Rahmat (46.33 peratus).

Namun, di kala kerisauan memenuhi benak Farhan akan tersingkir pada minggu keempat, peminatnya boleh menghela nafas lega kerana undian peminat menyelamatkannya pada akhirnya.

Meer Nash, yang berwajah seperti ‘Oppa’ dari Korea, terpaksa pulang kerana undian peminat tidak cukup bagi menempatkannya ke pusingan kelima Ahad ini.

Kata Farhan yang naik ke tangga ketujuh pada minggu kedua dan kelima pada minggu ketiga:

“Setiap minggu, saya akan rasa gementar untuk memikul tanggungjawab sebagai satu-satunya wakil Singapura ke Big Stage malahan adalah yang pertama dipilih untuk peraduan gah ini.

“Saya perlu kerja keras dan beri 110 peratus untuk persembahan saya. Tapi faktor gerun dan gementar itu memang tidak mampu diluputkan. Saya harus berterima kasih kepada sahabat saya di Singapura, Caleb Koa, yang membantu dalam setiap susunan lagu saya. Kami akan berbincang menerusi Zoom bagaimana untuk melakukannya.

“Sebagai peserta luar Malaysia, memang saya rasa tekanannya. Saya dapat berkongsi rasa ini dengan peserta Korea, Hoondoo, dan peserta Indonesia, Waode. Kebiasaannya, kami akan makan bersama dan selesa bersembang sebagai peserta antarabangsa Big Stage 5 yang melalui pengalaman hampir serupa iaitu cuba memikat peminat dari Malaysia dengan bakat dan kebolehan kami,” jelas Farhan.

Beliau pada masa yang sama tidak tersinggung dengan komen pengadil yang jujur dan mahu melihat pembangunan persembahannya pada minggu-minggu mendatang.

Datuk Syafinaz Selamat yang hadir sebagai juri undangan dan mengulas persembahan Farhan berkata:

“Saya rasa macam awak tak bersedia, macam tak sure dan takut. Awak ada suara yang baik tapi perlu perbaiki dari segi teknikal. Banyak nada ‘sharp’ dan ‘flat’. Masalah ‘pitching’ datangnya dari isu teknikal. Kegagalan minggu ini tak bermaksud akan gagal sampai bila-bila, jadi bangkit.”


Komen sebegitu dan yang sering disampaikan Aina Abdul dan Ajai adalah yang sangat dialu-alukan Farhan berbanding komen yang disifatkan tidak berasas daripada warganet.

“Saya tahu banyak benda yang dipercakapkan oleh pengarah Michael Ang dalam ciapan Twitter. Tak faham juga apa maksudnya apabila dia kata muka saya macam bapak-bapak orang dan mungkin tidak layak masuk Big Stage.

“Dia malahan menyatakan ada ‘busker’ di Malaysia yang dapat membuat persembahan lebih baik daripada saya. Saya tergerak nak bikin nyanyian di tepi jalan dan buat video ‘busking’ saya suatu hari untuk buktikan kepada Michael saya memiliki kebolehan tersendiri yang tidak boleh diperlekehkan.

“Selebihnya, saya enggan ambil pusing dengan komen Michael atau warganet lain.”

Farhan banyak belajar daripada guru vokal, Cikgu Shafi, yang dianggap memiliki keupayaan persis seorang ibu yang gigih mengasuh anaknya.

“Cikgu Shafi tarik saya ke tepi tangga dan luangkan masa 15 minit untuk beri kata-kata dorongan. Beliau tahu saya jauh dari keluarga dan memerlukan kata-kata motivasi untuk teruskan perjuangan.

“Cikgu Shafi minta saya kenangkan semua itu untuk hargai pengalaman di Big Stage 5 dan berikan sepenuhnya daya kreativiti saya dan tidak membataskannya.

“Saya suka tengok bagaimana Cikgu Shafi beri galakan kepada semua. Kalau dilihat persembahan Putera Muhammad pada minggu lalu..lagu biasa diubah seperti suasana peperangan macam perang Jepun dahulu. Ada unsur teatrikal. Saya masih belajar bagaimana ingin perkasakan lagi unsur kreativiti saya,” ujarnya.

Farhan telah menggabungkan lagu Di Pintu Syurga dengan sisipan lirik lagu Mariah Carey, My All.


Farhan enggan mudah patah semangat pada peringkat ini malahan selepas ini beliau bertekad menggalakkan lebih ramai peserta Singapura seperti Syaz Smooth dan Liwani Izzati untuk menyertai Big Stage pada musim-musim mendatang kerana kekuatan vokal mereka.

“Saya tiada orang untuk dijadikan rujukan sebab ini kali pertama Singapura diundang untuk Big Stage. Tapi saya lihat ada ramai bakat Singapura yang wajar ke pentas Big Stage untuk timba pengalaman dan didedahkan ke peringkat Nusantara,” jelasnya.


Meer Nash yang tersingkir akur akan kelemahan vokalnya dan masih lagi mencari arah tuju genre muzik yang boleh dijadikan ‘makanan’. Beliau bagaimanapun ingin mempertingkatkan usahanya dalam mencari kekuatannya untuk bertahan dalam industri muzik Malaysia yang kian mencabar.

Sementara itu, Waode mengekalkan kedudukannya di tangga pertama dengan markah 91.67 peratus. Sungguhpun begitu, ramai di Twitter yang menegur sebutan dalam bahasa Inggeris Waode bagi lagu Christina Aguilera, Hurt.


“Begitu pekat lenggok bahasa Jawanya ya? Mengapalah pilih lagu Inggeris? Suara sedap tapi kalau penonton tak faham apa yang dinyanyikan pun tak boleh,” jelas warganet SweetChild di Twitter.

Duo Korea, Hoondoo, pula di tangga kedua dengan markah 91.33 peratus. Mereka dipuji Ajai kerana walaupun sebutan bahasa Melayu/Indonesia bagi lagu Tak Ingin Usai kurang tepat, penjiwaan mereka menjadikan penonton dan juri mudah tersentuh.


“Peserta lain harus ikut contoh mereka...masuk pentas sahaja tak fikir apa-apa dan mereka ‘lock’ perasaan mereka bagi lagu ini,” jelas Ajai.


Nota: Big Stage 5 disiarkan setiap Ahad di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) mulai 9 malam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >