Kebiasaannya, program infohiburan Mediacorp Suria, Manja, disiarkan setiap Isnin dengan empat pengacara.
Bagaimanapun, siaran pada 22 Januari lalu hanya menampilkan tiga hos iaitu Zhin Sadali, Iskandar Shah dan Natasha Faisal tanpa pengacara tetap program musim kelapan, Fatin Amira Abdul Aziz.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Mediacorp mengesahkan perkara itu dan menjawab ringkas:
“Fatin Amira bukan sebahagian daripada episod Manja Musim Kelapan yang disiarkan pada 22 Januari 2024, dan tidak akan muncul dalam episod Manja Musim Kelapan yang akan disiarkan pada 29 Januari 2024.”
BH difahamkan episod pada 29 Januari itu adalah yang terakhir disiarkan bagi musim kelapan.
Mediacorp tidak menjelaskan lebih lanjut mengapa Fatin ‘direhatkan’ daripada mengacara Manja, sesuatu yang dilakukannya secara tetap sejak musim kelapan bersiaran pada 8 Mei 2023. Beliau juga tidak dapat dihubungi.
Bagaimanapun, kontroversi timbul membabitkan dirinya apabila satu video tular di media sosial pada 20 Januari yang menunjukkan seseorang yang didakwa dirinya bersama seorang lelaki bertopi yang didakwa merupakan ejen hartanah, Sofian Roslan.
Sofian ialah suami kepada pelakon dan pengacara Nurul Aini Abdul Rahim.
Lelaki dan wanita dalam video itu berada di tempat meletak kereta dan keluar secara berasingan daripada kereta yang sama menuju ke sebuah hotel,
Video itu kemudian menunjukkan mereka kembali, juga secara berasingan, ke kereta berkenaan.
Pada hari video itu tular, Nurul Aini, dalam akaun media sosialnya, meminta pemahaman agar diberinya dan keluarga privasi dalam tempoh sukar dan mencabar. Beliau menghargai sokongan dan doa orang ramai.
Sofian pula memuatnaik kiriman yang kemudian diluputkan daripada Instagram. Beliau meluahkan isi hatinya yang tidak dapat hidup tanpa wanita yang sudah dikenalinya selama 24 tahun, dengan mereka sudah berkahwin selama 16 tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Beliau meminta maaf kepada Nurul, keluarga, teman, klien dan pengikutnya serta memohon untuk memberinya dan keluarga ruang untuk pulih.
Fatin, lulusan ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian Kelas Dua Atasan) dalam bidang Kejuruteraan Kimia daripada Institut Teknologi Singapura (SIT), yang sudah berumah tangga pula tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dalam akaun media sosialnya yang tidak boleh diakses umum.
Beliau yang juga seorang ejen hartanah merupakan pemenang peraduan pencarian bakat jelita, anggun dan petah berbual, Ratu sebelum menjayakan drama seperti Cleoprata, Tiga Duda, Kosmopolitan dan drama polis Tamil di Vasantham, Vettai 5.
Dalam pada itu, isu video tular ini menarik perhatian TikToker sehingga ia menjadi bahan perbincangan dan kupasan mereka, khususnya wanita, yang menekankan keperitan hati wanita yang dicurangi serta mempersoal niat pihak ketiga dalam sesebuah hubungan mahupun kesanggupan lelaki membohongi isteri yang banyak menyokongnya. – HARYANI ISMAIL


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg