PETALING JAYA: Sekali lagi pelakon Fattah Amin menafikan dakwaan bakal melamar Amira Othman sebagai isterinya pada 25 Mei ini.
Fattah berkata tiada tarikh perkahwinan ditetapkan dirinya mahupun Amira pada 25 Mei seperti diperkatakan oleh peminat, namun mungkin disebabkan tarikh cantik untuk mendirikan rumah tangga.
“Saya perasan juga ada yang kata 25.5.2025 adalah tarikh kami nikah. Tiada, saya menafikannya. Tiada apapun akan berlaku pada tarikh ini.
“Mungkin peminat suka melihat artis kesayangan mereka meneruskan ke peringkat seterusnya, tapi buat masa sekarang, kami tidak lebih daripada rakan sekerja,” katanya kepada BH Online.
Mengulas lanjut, Fattah menjelaskan perjumpaannya bersama keluarga Amira di Singapura baru-baru ini hanyalah kebetulan.
“Ada penganjur acara pernah panggil saya. Jadi, penganjur mahu Amira ada bersama untuk acara baru-baru ini.
“Acara ini juga adalah ‘motivational talk’, jadi Amira setuju. Secara kebetulan, keluarga saya pun nak ikut. Saya dapat tahu, keluarga Amira nak datang pada saat akhir.
“Keluarga Amira tinggal di Johor Bahru, jadi tidak jauh. Itu yang secara kebetulan kami berjumpa.
“Keluarga Amira sangat baik dan merendah diri. Kalau tengok adiknya, Irfan Harris, sangat sopan santun, namun karakternya suka menyakat. Beliau suka kacau Amira, jadi klien suka. Kami okey sahaja sebab ia sekadar gurauan.
“Kami okay selagi boleh menggembirakan peminat dan tak lebih-lebih,” katanya.
“Kita sebenarnya ada kontrak bersama beberapa jenama. Selain itu, ada sekali saya dan Amira berlakon teater sebagai suami dan isteri, jadi kami rancang pakai sedondon.
“Saya dan Amira buat atas dasar kerja dan pakai disebabkan watak. Ia juga cantik untuk visual,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pesta Unifi TV Lagi Best sempena ulang tahun ke-12 Unifi TV di Kuala Lumpur pada 17 Mei.
Terus diasak persoalan mengenai Amira, Fattah mengakui beliau tidak penat dan memahami pertanyaan peminat dan rakan media.
Ini bukan kali pertama desas-desus Fattah dan Amira akan berkahwin.
Sebelum ini, mereka didakwa bakal berkahwin selepas Syawal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg