Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Fauziah Latiff cari pengalaman baru di S’pura

Drama saspens misteri ‘Mencari Marina’ buka ruang kerjasama dan watak kompleks banduan untuk digali bintang M’sia
Jul 16, 2023 | 05:30 AM



Nama biduanita Fauziah Latiff bermain di fikiran ramai yang dewasa pada 1980-an dan 1990-an.

Apakan tidak? Lagu-lagu hit Fauziah, kini 52 tahun, seperti Bukan Kemahuan Fikiran, Teratai Layu Di Tasik Madu, Tiada Noktah Cinta dan Gubahan Rindu Puisi Syahdu sering berkumandang di corong radio dengan penyanyi jelita ini dianggap sebagai memiliki pakej wajah dan suara yang memikat hati.


Sedang ramai bakat lakonan Singapura yang menjayakan drama saspens ‘thriller’ Mencari Marina begitu teruja dan bagai terpanah dapat berkongsi set dan berlakon bersama Fauziah yang mesra dengan panggilan Kak Gee, Fauziah yang merendah hati pula akui dirinya rasa kecil berbanding pelakon Singapura yang hebat.







Sebagaimana jelasnya dalam satu wawancara bersama Berita Minggu (BM) di lokasi studio sekitar kawasan perindustrian Woodlands:


“Saya bersyukur dan sahut cabaran membawa watak utama dalam drama ‘Mencari Marina’ ini kerana pada peringkat kerjaya sebegini, memang saya nantikan cabaran untuk belajar lagi dalam bidang seni.

“Sepanjang lebih 30 tahun dalam industri hiburan, saya tidak pernah mudah berpuas hati dengan apa yang saya capai. Saya masih rasa kecil lagi dalam industri hiburan. Tetapi saya akur apabila dilamar untuk projek di Singapura ini, saya rasa seronok sebab suasana kekeluargaan yang dapat saya rasakan.

“Saya berbesar hati dapat digandingkan dengan antara bakat terbaik Singapura yang berpotensi besar dan handal-handal belaka. Tambahan pula, saya tidak anggap diri saya pelakon. Jarang-jarang berlakon. Saya lebih pada penyanyi sebab itulah titik tolak pencarian rezeki saya dalam dunia hiburan sejak usia belasan tahun lagi.”

Drama ‘Mencari Marina’ terbitan syarikat penerbitan Poetry In Motion ini membawa Fauziah menyelami watak seorang banduan bernama Dr Latifah yang dipenjara seumur hidup kerana membunuh suaminya (watak lakonan Haizad Imram).

Rahsia dikupas satu persatu demi menyelongkar lebih banyak rahsia di sebalik anak Dr Latifah, Marina.

Drama 13 episod arahan Izzat Yusoff dan Safiyuddin Razif ini akan menemui penonton Mediacorp Suria dan aplikasi meWATCH pada 18 Julai ini.

“Ada sesuatu yang misteri tentang Dr Latifah. Banyak kelainan yang saya teroka dan perlu hadam tentang apa yang berlaku pada masa silam, masa kini dan akan datang watak ini.

“Adegan sebagai banduan di balik jeriji penjara juga mencabar. Banyak permainan emosi yang perlu saya sampaikan dengan raut wajah, dialog penuh makna. Seberapa boleh, saya mahu beri terbaik dalam amanah dan tanggungjawab saya.

“Dari dahulu lagi, ketika awal-awal jadi penyanyi, arwah ayah saya selalu berpesan, ‘Kau nak bikin kerja seni ni, perlu serius dan amanah. Kalau kau nak main-main, sampai bila pun, kau akan ada pada tapak sebegini dan tak akan maju-maju’.

“Sebab itu, saya berusaha hari demi hari bina suasana yang positif dalam dunia kerja saya di samping pastikan apa niat saya yang sebenarnya kalau ambil sesuatu projek. Niat mesti ikhlas dan jelas,” tambahnya.

Sepanjang beberapa bulan lalu, Fauziah yang dilahirkan di Teluk Intan, Perak, berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Singapura. Beliau perlu mendapatkan bantuan sahabatnya untuk menjaga kucing peliharaannya sepanjang beliau tidak di rumah.

“Ia juga satu pengorbanan saya tetapi saya akan lebih ingat pengorbanan ibu bapa saya dalam melihat kerjaya seni saya berkembang. Ayah saya akan selalu mendorong saya dan memberi nasihat membina agar saya tidak lupa siapa diri saya apabila sudah berjaya.

“Kalau nak kata saya penat, orang lain pun penat juga. Kita sebagai pelakon apabila dah habis lakonan, kita boleh pergi belakang set dan berehat.

“Bagaimana dengan juruvideo dan kru belakang tabir lain? Nak kemas, nak susun peralatan dan nak fikir tentang penggambaran esok. Nak angkat barang. Semua akan rasa lebih penat. Itu yang saya tabik tentang kerja kuat kru belakang tabir. Pelakon perlu ingat sumbangan mereka,” tambah Fauziah.

Beliau gembira teknologi masa kini membolehkan peminatnya masih tetap menikmati sajian hiburan beliau dalam bentuk video rakaman program atau klip video lama.

“Saya juga gembira dengan adanya teknologi, peminat dari zaman saya muda remaja lagi masih boleh berhubung baik satu sama lain dan menjadi kawan sesama mereka sampai sekarang apabila masing-masing sudah berkeluarga.

“Inilah kenangan manis mengeratkan silaturahim yang kita harus hargai. Saya lebih suka cara sebegini daripada berpuak-puak dan berlaga-laga sesama sendiri dalam talian,” katanya.

Apabila diminta memberi nasihat kepada anak seni muda di luar sana, Fauziah dengan penuh kerendahan hati berkata, beliau bukan orang yang tepat untuk diminta pendapat kerana masih belajar.

Bagaimanapun, beliau berkata:

“Kepada generasi muda yang berminat dalam seni, saya harap mereka tidak sia-siakan peluang yang ada. Tak kira dalam bidang kerja apa pun, harus buat sepenuh hati dan ikhlas.

“Sedia untuk bekerjasama dengan orang lain. Jana semangat dan tenaga positif yang boleh perkasakan orang lain. Setiap hari kita bangun dan masih bernafas, kita lihat alam semesta yang menghijau, kita bersyukur. Alhamdulillah, Allah masih lagi beri kita peluang perbaiki diri dan buat perkara-perkara yang boleh memanfaatkan orang lain dan juga diri kita juga,” ujarnya dengan nada positif.

Fauziah yang pernah mengadili peraduan realiti Malaysian Idol pernah berlakon dalam telefilem Lontong dan Korban Penunggu Hospital. Beliau menyentuh jiwa ramai apabila bergandingan dengan Datuk Rosyam Nor dalam drama Gelora Di Hati Sara dan Jangan Malu Menangis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >