Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Fauzie Laily pernah diancam, penonton ingin lontar topi keledar

Jun 26, 2023 | 05:02 PM



Kadangkala bakat Singapura, Fauzie Laily, terasa bagaikan mimpi 20 tahun dalam bidang seni dan hiburan berlalu pergi sekelip mata.

Alumni Anugerah 2003 dan 2005 itu sendiri tidak dapat membayangkan dirinya mampu bertahan lama dengan mencari rezeki sepenuh masa dalam bidang ini bahkan betah di Singapura.


Cukup terkesan di hati Fauzie, 38 tahun, apabila beliau dinobatkan sebagai Pengacara Terbaik (Informasi) di pentas Pesta Perdana 2023, Teater Mediacorp baru-baru ini.

Ada dua sebab yang membuatnya terharu. Pertama, 16 tahun yang lalu iaitu pada 2007, beliau ‘dicampak’ dalam bidang pengacaraan secara tidak diduga dan diminta mengacara secara ‘live’ dalam peraduan adubakat Anugerah.


Kerana penyampaiannya dianggap teruk sebab baru kali pertama melakukannya, ada penonton yang bahkan terlalu menyampah dengan Fauzie sehingga mengugut ingin melempar topi keledar ke arah mukanya.

Kedua, Fauzie sendiri tidak menduga diiktiraf dalam bidang pengacaraan program informasi Gotong-Royong yang bernadikan unsur kebajikan.


Sebagaimana katanya ketika ditemui Berita Harian:


“Perjalanan saya dalam bidang pengacaraan memang panjang. Kali pertama saya jadi fobia mengacara sebab ‘dicampak’ buat kerja hos pada Anugerah 2007.


“Ada penonton naik menyampah dengan pengacaraan saya yang teruk sampai nak lempar topi keledar. Saya pula pantang menyerah. Dengan ancaman sedemikian dan komen-komen tak membina, saya akan pastikan saya perbaiki diri sampai semuanya menjadi.

“Hari ini, saya bersyukur segala komen-komen negatif itu membakar semangat saya dan saya rasa yakin untuk mengacara program informasi seperti Gotong-Royong.


“Tak sangka saya diiktiraf untuk program informasi. Sebelum ini, saya ingat hiburan adalah kekuatan saya tetapi Allah buka pintu rezeki mengacara dalam program informasi pula. Saya rasa bangga dengan pencapaian Gotong-Royong. Ia projek amat bermakna buat saya.”


Menurut Fauzie, penglibatan dalam program itu membuatkannya bersemangat untuk bekerja dan menjalankan penyelidikan lebih lanjut tentang kelompok masyarakat yang berhemah dan mempunyai misi kemasyarakatan ini.

“Ada dalam kalangan mereka yang membantu ini kelompok sederhana atau orang susah tetapi mahu menolong orang lain yang lebih susah. Ada masyarakat abang van, abang treler yang saya tidak tahu wujud.

“Pada malam Raya, mereka berhimpun di Geylang Serai dan menggembleng tenaga membantu golongan yang memerlukan. Saya benar-benar menghormati golongan sedemikian yang berpengalaman dan apabila terjumpa di luar, mereka akan menegur saya. Banyak yang kami lalui bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Fauzie menambah penglibatan dalam Gotong-Royong juga mendorongnya dan isterinya, Nurul Huda Abdul Khalid, untuk luangkan masa bagi kerja kebajikan.


Sebagai meraikan ulang tahun perkahwinan yang kesembilan tahun lalu, mereka ingin menyumbang kepada masyarakat dengan bekerjasama bersama Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) untuk membina penuras air di Kemboja.

“Kami dah biasa sambut ulang tahun perkahwinan dengan makan malam bersama. Jadi sebagai kelainan, saya dan Nurul ingin rasakan nikmat meringankan bebanan golongan yang memerlukan. Maka kami luangkan masa memberi setitis harapan kepada penduduk miskin di Kemboja. Ia pengalaman yang berbeza,” ujarnya.

Setelah tamat pengajian universiti dan meraih ijazah Sarjana Muda Penerbitan Media Penyiaran dengan Kepujian Kelas Pertama dari Universiti Teesside, United Kingdom, Fauzie berkata terdapat pelbagai perkara baru yang ingin beliau lakukan.

Antaranya adalah dalam melaksanakan kerja penerbitan di mana beliau bekerjasama dengan penerbit Dua M, Najip Ali dan Nura Manaf, untuk mengemukakan adegan di balik tabir untuk tatapan pengguna media sosial.

Beliau juga bertuah dipilih untuk mengacara bersama Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di Padang.

“Banyak yang ingin saya pelajari meliputi kerja belakang tabir. Alhamdulillah Najip dan Nura memberi saya ruang berbuat demikian dan berkerja dalam set yang membina kreativiti saya.

“Saya juga gembira terlibat dalam acara berskala besar seperti NDP dan bersejarah sebab dibuat di Padang.

“Sebelum ini, ada tiga atau empat kali saya dilibatkan dalam NDP, awalnya sebagai penyanyi,” tambahnya yang awal sebelum ini tidak dapat ikut serta dalam latihan NDP kerana dilanda demam panas mencecah 39 darjah atau 40 darjah Celsius.

Kini, satu impian Fauzie yang sedang diusahakan adalah bergelar pengarah.

“Saya sudah mengacara, menyanyi dan berlakon. Terdapat pelbagai fasa kerjaya seni yang perlu saya lalui tetapi saya impikan tugas mengarah pula.

“Dua puluh tahun berlalu dengan begitu cepat. Pesan saya kepada bakat muda, mereka perlu merancang apa yang mereka ingin lakukan buat jangka masa panjang.

“Dunia media sosial mempunyai potensi tersendiri tetapi perancangan rapi mengenai apa sebenarnya yang mereka inginkan juga wajar difikirkan,” jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >