Subuh
5:35
Syuruk
6:51
Zuhur
12:55
Asar
4:03
Maghrib
6:57
Isyak
8:06
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Semangat ‘Gotong-Royong’ atasi cabaran mengacara sewaktu pandemik

Fauzie Laily terharu dicalon bagi kategori Pengacara Terbaik bersama hos mapan, Khairudin Saharom dan Sharon Ismail
Jun 06, 2023 | 12:08 PM

RANCANGAN informasi Gotong-Royong musim kedua adalah antara rancangan yang dirakam di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Proses menerbitkan rancangan itu penuh cabaran ekoran pelbagai hambatan dan sekatan yang terpaksa dilalui. 

Maka itu, pengacara rancangan tersebut, Fauzie Laily, berasa bangga dengan pencalonan yang diterimanya dalam kategori Pengacara Terbaik – Rancangan Informasi. 

Barisan pesaingnya dalam kategori itu termasuk Khairudin Saharom bagi Zakat SG; Lydia Asyiqin bagi Manja (Musim Ketujuh); Sharon Ismail bagi Misteri Minda; dan Syirah Jusni bagi Taboo.

“Elemen penting dalam rancangan ini ialah interaksi dan berjumpa dengan pelbagai kumpulan dalam masyarakat,” kongsi Fauzie ketika dihubungi Berita Harian melalui panggilan Zoom.

Beliau dan pihak penerbitan menghadapi beberapa cabaran kerana terdapat sekatan yang ketat bagi beberapa episod semasa menghasilkan rancangan Gotong-Royong (Musim Kedua).

Ini termasuk perlunya memakai pelitup muka, menjaga jarak selamat dan memastikan kumpulan yang tidak lebih daripada lima orang pada satu-satu masa.

Di samping itu, beliau dan pihak penerbitan juga harus menghasilkan rancangan ini lebih menarik buat penonton berbanding musim pertama. 

“Apabila profil-profil yang saya temu duga harus memakai pelitup muka di hadapan kamera, raut wajah dan emosi mereka tidak dapat dilihat kerana terselindung di sebalik pelitup muka, lantas membuatnya kurang berkesan kepada penonton,” kongsi Fauzie. 

Di tengah-tengah penggambaran, Fauzie menambah, beliau juga harus membuat pertukaran skrip kerana terdapat beberapa perubahan dari segi sekatan Covid-19 sekali gus menjejas kegiatan yang dijalankan.

Namun, beliau tetap bersyukur terdapat kisah-kisah menarik dan bermakna yang dapat dikongsi kepada penonton. 

“Saya cuba untuk mendekati profil-profil itu secara mesra dan bersahaja.

“Saya juga cuba untuk bertanyakan soalan-soalan yang penonton ingin tahu daripada profil-profil itu, supaya mereka dapat kaitkan diri mereka secara rapat dengan cerita-cerita yang disampaikan semasa menontonnya di rumah,” tambah beliau.  

Rancangan Gotong-Royong (Musim Kedua) yang mengetengahkan semangat dan kekuatan hidup bermasyarakat seiring sikap saling membantu bagi meringankan bebanan, turut dicalonkan bagi kategori Rancangan Informasi Terbaik dan Skrip Informasi Terbaik.

Apabila ditanya apakah kelainan yang ingin beliau lihat jika diberi peluang mengacarakan Gotong-Royong musim terkini, Fauzie menambah, beliau ingin melihat bagaimana semangat gotong-royong itu disemarakkan dalam kalangan masyarakat Melayu di luar negara.

“Terdapat orang Melayu yang bermastautin di luar negara dan mereka membina masyarakat mereka sendiri.

“Saya mahu melihat bagaimana mereka bekerjasama dan menghidupkan semangat gotong-royong ini walaupun jauh dari Singapura,” tambah Fauzie.

Pencalonan kali ini merupakan yang kedua buat Fauzie dalam kategori pengacaraan yang sudah sekian lama diceburi.

Awal sebelum ini, beliau pernah dicalonkan dalam kategori Pengacara Terbaik – Rancangan Hiburan bagi SG Mania (Musim Kedua) dalam Pesta Perdana 2017.

Fauzie turut menyifatkan pengiktirafan bakat dan karya seni sebagai sesuatu yang penting bagi karyawan industri seni.

Ia boleh dijadikan pembakar semangat dan sumber rujukan kepada mereka yang mahu menceburi bidang tersebut, lebih-lebih lagi dunia televisyen di Singapura.

“Landskap industri hiburan kini berbeza dengan adanya media sosial.

“Sejujurnya, saya risau jikalau penggiat seni yang baru tidak mahu terus berkarya dalam industri televisyen kerana mungkin melihat media sosial sebagai ruang alternatif yang lebih menarik,” ujar Fauzie.

Ditanya siapakah sumber rujukan dan inspirasinya dalam bidang pengacaraan, Fauzie berkongsi bahawa Khairudin Samsudin dan Najip Ali merupakan dua individu yang beliau boleh tanyakan pendapat dan mendapatkan tunjuk ajar. 

“Saya mula mengenali Abang Khairudin semasa beliau mengarah dan menerbit drama Teman Anugerahku pada 2006. Beliau seorang yang saya kagumi dan dijadikan sumber rujukan bukan hanya dalam bidang pengacaraan, bahkan dalam dunia hiburan kerana tidak lokek berkongsi ilmu,” jelas Fauzie.

Beliau juga menghargai kata-kata motivasi yang diberikan oleh pelakon dan pengacara Suzairhe Sumari semasa beliau mengacarakan Anugerah 2007.

Detik itu merupakan kali pertama Fauzie diberi peluang sebagai pengacara dan ia merupakan rancangan yang bersiaran secara langsung. 

Kata-kata motivasi yang dikirimkan melalui pesanan ringkas ketika itu, memberi perangsang kepada diri Fauzie yang berasa cukup gementar kerana turut menerima komen-komen negatif daripada penonton.

Fauzie kini sibuk dengan penggambaran bagi rancangan hiburan Berani Nyanyi (Musim Kedua). Beliau menggunakan ilmu yang dipelajarinya dalam bidang penyiaran selepas menggenggam Sarjana Muda Penerbitan Media Penyiaran dengan Kepujian Kelas Pertama, dari Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) pada 2021.

Beliau bakal membantu dengan penerbitan digital dan menjadi mentor dalam rancangan itu. 

Fauzie merupakan artis serba boleh. Selain mengacara, menyanyi dan berlakon, beliau juga pernah membuka perniagaan kecil, Marnis, yang menjual pencuci mulut bersama rakan artis – Nurul Aini dan Syarif.

Perniagaan itu beroperasi di bazar-bazar seperti Twilight dan Celebfest tetapi dihentikan sewaktu pandemik.

“Jenama Marnis tidak pernah hilang atau ditutup. Buat masa ini, kami berehat seketika kerana kami bertiga sangat sibuk dengan kerjaya seni dan perniagaan masing-masing. Tentu kami mahu kembali jika ada peluang dan masa yang sesuai,” jelas Fauzie. 

Ditanya apakah perkara lain yang beliau ingin cuba atau lakukan dalam persada seni, Fauzie melahirkan impian ingin mengacarakan satu rancangan pengembaraan berbentuk travelog.

“Sudah sekian lama saya tidak mengacarakan rancangan travelog. Justeru, saya ingin mencabar diri saya untuk melakukan rancangan yang perlukan kajian mendalam dan menunjukkan kematangan saya,” tambah beliau.

Beliau turut berhasrat untuk pulang ke dunia teater jika diberi peluang setelah sekian lama tidak berlakon dalam sebuah pementasan.

Fauzie pernah menjayakan pementasan Inggeris, To Kill a Mockingbird, pada 2010.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3