Ada pepatah Inggeris menyatakan, ‘Life begins at 40’, atau ‘Kehidupan bermula pada usia 40 tahun’.
Ia menggambarkan satu tempoh ujian dengan kehidupan baru, perkembangan positif dan transformasi dalam perjalanan hidup, yang tidak sepi daripada cabaran tetapi sarat dengan peluang dan ruang untuk diteroka seorang individu.
Sejurus mewawancara personaliti televisyen serba boleh, Fauzie Laily, yang mencecah usia 40 tahun pada 2025, saya dapat rasakan pepatah itu tepat mencerminkan keadaannya yang masih dahagakan pengalaman baru dan ilmu dalam bidang seni.
Satu kesyukuran besar buatnya ialah peluang mengacara majlis pelancaran, Penyalaan Lampu Hari Raya, di Wisma Geylang Serai (WGS) bagi dua tahun berturut-turut pada 2024 dan 2025.
Pada 2024, tetamu kehormatnya merupakan Presiden Tharman Shanmugaratnam, manakala pada 2025 pula, acara itu dihadiri Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Fauzie, yang merupakan pemenang tempat ketiga peraduan nyanyian, Anugerah 2005, juga bagai menerima durian runtuh apabila pengarah asal Singapura, Faisal Ishak, menawarkannya peranan penting sebagai pegawai polis dalam susulan filem biopik Gayong, yang belum lagi ditetapkan tarikh tayangannya.
Filem tersebut mengisahkan tentang perjalanan hidup pengasas Silat Gayong Malaysia, Datuk Meor Abdul Rahman Uda Mohd Hashim, watak yang dibawa pelakon prolifik, Beto Kusyairy.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) menerusi Zoom pada 3 Mac, Fauzie yang mampu mengacara, menyanyi dan berlakon, berkata:
“Saya sebenarnya berterima kasih kepada WGS kerana diberi kepercayaan menjadi pengacara bagi acara pelancaran majlis penyalaan lampu Hari Raya dengan kehadiran dua tetamu istimewa, Presiden Tharman dan Encik Wong.
“Keserasian saya dengan rakan seni, Nurul Aini Abdul Rahim dan Huda Ali, yang bertindak sebagai pengacara bersama, memudahkan tugas bagi dua tahun berturut-turut itu.
“Sebab pernah bekerjasama dalam program lain dan mereka juga berpengalaman, kita tahu apa nak buat pada acara berskala besar itu,” jelas Fauzie, yang pernah dinobatkan sebagai Pengacara Terbaik (Informasi) di pentas Pesta Perdana 2023.
Baginya, tugas pengacara itu penting dalam memastikan apa yang ingin disampaikan penganjur dapat dihadam orang ramai.
“Kita dapat menilai tambah pada tugasan kita. Saya sudah meninjau cara pengacara lain dan tak semestinya apa yang tertera dalam nota yang kita pegang sebagai panduan dan rujukan itu harus kita baca bulat-bulat.
“Kita harus fahamkan pesanannya dan menyampaikannya dengan cara kita. Yang penting orang faham,” ujarnya.
Seingat saya sepanjang mewawancara Fauzie sepanjang kerjaya 20 tahunnya, beliau jenis yang menerima rezekinya seadanya di Singapura, tanpa terburu-buru atau terkejar-kejar bagi memburu peluang menebarkan sayap ke Malaysia.
Bagaimanapun, pada penghujung 2024, mungkin sudah tertulis masanya sudah tiba buat dirinya mencuba nasib di sana selepas Faisal melamarnya.
Faisal dikatakan tahu kekuatannya dalam membawakan watak polis seperti dalam drama, Forensik dan Code of Law.
“Sejujurnya, saya tidak menjangkakan tawaran daripada Abang Faisal.
“Bagi saya, kalau dapat rasa pengalaman bekerja dalam industri drama atau filem Malaysia, ia sudah memadai walaupun setakat membawa watak pelakon pembantu atau tambahan sahaja.
“Kebetulan, saya baru sahaja tamat mengacara rancangan, Juara Memasak. Allah atur cantik. Saya berkelapangan selama dua bulan, antara November dengan Disember.
“Saya selalu amati rakan-rakan seangkatan seperti Hisyam Hamid dan Shah Iskandar berjaya bangun kerjaya lakonan di Malaysia.
“Maka, saya letakkan impian berlakon di sana, sekurang-kurangnya dapatlah rasa bagaimana budaya kerja di negara orang.
“Harap-harap nak berlakon drama tetapi langsung masuk set filem pada usia 40 tahun. Alhamdulillah, Allah sahaja yang tahu masa yang tepat untuk saya menjayakan filem penerbitan Malaysia.
“Masa muda-muda tak dapat peluang... mungkin pada usia matang, Allah tahu saya lebih bersedia,” cerita Fauzie.
Antara perkara yang tidak dapat dilupakannya ialah persiapan gigih untuk watak ‘sidekick’ atau teman sampingan Meor.
Penggambaran dijalankan di Ipoh, Perak, yang mempunyai banyak bangunan lama, meskipun dalam filem berkenaan, ia sepatutnya berlatarbelakangkan Singapura pada 1950-an.
Bagi Fauzie, memandangkan ia peluang keemasan menimba ilmu lakonan, beliau enggan perlekeh amanah yang Faisal beri.
“Watak saya tak perlu bersilat tetapi saya tak nak ambil ringan. Sebab ada juga babak aksi.
“Saya rajin ke gim untuk tambah kecergasan. Saya jaga pemakanan, kurangkan makan nasi sepinggan jadi separuh sahaja, elakkan makan gorengan walau ia merupakan sajian kegemaran saya.
“Sebab kita tak tahu apa yang kita perlu lakukan di set nanti. Mujurlah saya pastikan saya tidak kelihatan selekeh dan tubuh saya dalam keadaan yang baik serta tidak kelihatan buruk.
“Terperanjat saya apabila dalam satu babak, saya diminta memakai baju tanpa lengan. Berdiri pula sebelah Beto yang nampak cukup sasa dan cergas.
“Sekurang-kurangnya apabila saya peka soal penampilan saya, taklah rasa malu berdiri sebelah Beto dalam adegan tersebut! Khuatir kalau orang tonton nanti, mereka kata budak Singapura mana ni yang berlakon? Tak sajak pula berdiri sebelah Beto,” seloroh Fauzie, yang berharap peluang menjayakan filem tersebut bukan yang pertama dan terakhir untuknya berlakon di Malaysia.
Menyentuh tentang Ramadan yang sedang dijalani dengan penuh ketenangan dan kesyukuran, Fauzie berkata setiap tahun bulan mulia ini membawa pengertian berbeza buatnya.
“Bagi saya, pengajaran Ramadan adalah mengecapi sesuatu yang tidak dirancang dengan kemanisannya lebih terasa.
“(Tahun) 2025 membawa saya dalam satu perjalanan ke tempat-tempat yang saya tak sangka saya akan jejaki.
“Saya menyambut Tahun Baru 2025 di tanah suci. Saya mengerjakan umrah buat kali kedua selepas tujuh tahun.
“Pada umrah pertama, saya dah fikir macam-macam nak doa. Tapi kunjungan umrah saya yang lalu, saya tak pasang sebarang niat.
“Saya hanya tahu pada detik itu, saya nak sangat pergi umrah. Undangan Allah terasa lebih kuat. Tak kisahlah. Saya tak fikir cukup duit ke tidak. Saya dan rakan-rakan rancang umrah secara sendiri (DIY).
“Ibadah tersebut adalah ujian bagi kita melihat kelemahan kita. Kalau kita kurang sabar dan tak boleh tahan situasi sekeliling, ia akan membuatkan kita lebih tanam tekad berubah menjadi yang lebih baik.
“Saya rasa hubungan bertaut rapat dengan Yang Maha Esa. Dia tahu kegembiraan, kesedihan dan perasaan saya. Dia yang menulis jalan cerita saya.
“Kadang saya rasa saya reda dengan apa yang berlaku dalam hidup saya tetapi ada masa terdetik dalam hati, saya belum kuat menerima.
“Tapi apabila mengerjakan umrah, timbul kesedaran dan keredaan bahawa apa yang sudah tersurat untuk kita, harus kita terima dengan reda.
“Kita perlu berusaha jadi insan yang lebih baik. Selepas itu, Allah akan permudahkan perjalanan hidup kita dan kita akan ditemukan dengan insan yang baik-baik, asal sahaja kita tidak lupakan Tuhan,” tambah Fauzie dengan penuh refleksi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg