Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

REVIU

Fenomena 2 filem pecah panggung ‘Barbenheimer’

Kisah riwayat ‘Bapa Bom Atomik’, ‘Oppenheimer’, persoal isu kemanusiaan di sebalik inovasi
Jul 26, 2023 | 05:30 AM



Dua filem ‘pecah panggung’, Barbie dan Oppenheimer, yang ditayang di pawagam merata dunia pada waktu serentak memang jauh beza bak langit dengan bumi. Yang satu merupakan filem untuk mereka yang gemar menyaksikan tentang kisah riwayat sebenar tokoh sains dengan pelbagai kesulitan hidup yang membawa impak buat serata dunia. Yang satu pula meraih inspirasi daripada boneka kegemaran ramai kanak-kanak sejak dahulu lagi iaitu Barbie. Kutipan ‘box-office’ untuk kededua filem ini di merata dunia melebihi jangkaan awal. Sejauh ini, fenomena Barbenheimer (cantuman dua judul filem) ini meraih kutipan menyeluruh AS$244 juta ($324.1 juta).


Sebut tentang filem biopik Oppenheimer atau kisah riwayat ahli fizik yang dikenali dengan jolokan ‘Bapa Bom Atomik’, J. Robert Oppenheimer, ramai ‘kaki wayang’ teruja menontonnya, apatah pula ia diarahkan pengarah prolifik, Christopher Nolan.


Tiada kerisauan filem ini makan masa tiga jam ataupun dialognya panjang berjela mahupun jalan ceritanya berat untuk dihadam. Dalam kunjungan penulis ke pawagam Cathay di West Mall tempohari, dewan tayangan sarat dengan pasangan muda yang nampak khusyuk bahkan tidak mengantuk menyaksikannya.

Mungkin Nolan mempunyai cara memancing penonton muda dengan jalan cerita yang sulit tetapi seronok untuk dikupas sebagaimana dalam filem terdahulunya, Inception dan Interstellar, yang membawa penonton terbang ke zon berbeza penuh tanda tanya.


Justeru, ada yang menyifatkan filem biopik ini sebagai luar biasa dan mengulit bermacam babak menarik daripada pertelagahan dalam bilik perbicaraan kepada kisah cinta romantis penuh tipu daya dan skandal ataupun adegan makmal penghasilan dan eksperimen bom yang tegang.

Cillian Murphy, dengan wajahnya yang sukar ditafsirkan emosi sebenar seorang karyawan sains, nampak sesuai sebagai J. Robert Oppenheimer yang tersepit dalam dunia kerjayanya mencipta bom yang dianggap hasil ciptaan berguna tetapi boleh membahayakan nyawa orang lain serta memusnahkan sekitaran.

Kisah cintanya dengan dua wanita – isterinya, Katherine “Kitty” Oppenheimer (lakonan Emily Blunt), seorang pakar biologi serta bekas kekasih dan kemudian perempuan simpanannya, Jean Tatlock (Florence Pugh) – bergolak dengan pasang surut emosi.

Filem ini bermula dengan paparan Oppenheimer yang masih muda, berusia 22 tahun pada 1926. Dia bergelut dengan keresahan kerana rindu pada kampung halamannya ketika menuntut di Makmal Cavendish, Cambridge di bawah arahan pakar fizik Patrick Blackett (James D’Arcy) yang mencipta kabuk awan dan sinar kosmos hingga memenangi Hadiah Nobel Untuk Fizik.

Oppenheimer membiarkan epal beracun buat Blackett tetapi mengelakkan saintis pujaannya, Niels Bohr (Kenneth Branagh) daripada memakan epal itu. Oppenheimer kemudian tamat pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Fizik di Universiti Gottingen di Jerman, di mana dia bertemu dengan pengasas mekanik kuantum, Werner Heisenberg (Matthias Schweighöfer). 

Oppenheimer kembali ke Amerika untuk mengembangkan kajian fizik kuantum dan mula mengajar di Universiti California, Berkeley dan Institut Teknologi California. Di situlah, dia bertemu dengan Jean, anggota Parti Komunis Amerika, di mana hubungan romantis terjalin sehingga akhirnya Jean yang patah hati kerana Oppenheimer tidak dapat memberi perhatian penuh padanya membunuh diri.


Oppenheimer kemudian menyertai Projek Manhattan untuk membangun bom atomik selepas Oppenheimer memberi jaminan kepada Jeneral Tentera Amerika, Leslie Groves, bahawa dia tiada simpati pada pihak komunis.

Kepercayaan Oppenheimer sebagai bangsa Yahudi adalah kemungkinan askar Nazi memiliki program senjata nuklear yang sedang diusahakan. Oppenheimer kemudian membangun pasukan saintifik di Los Alamos, New Mexico, untuk secara rahsia menghasilkan bom dengan harapan ia akan menyelamatkan dunia walaupun berpotensi membawa kesan global yang merisaukan.

Anda kemudian melihat watak Albert Einstein muncul dalam filem ini dengan kemungkinan bom yang dicipta itu akan mencetus reaksi rantaian yang boleh memusnahkan dunia. Apabila bom itu dicipta akhirnya dan ujian pula dijalankan sebelum Sidang Potsdam, Presiden Amerika, Harry Truman, mengambil keputusan untuk menyerang Hiroshima dan Nagasaki di Jepun dengan bom atomik berkenaan sewaktu berlangsungnya Perang Dunia Kedua.

Ini mendesak Jepun untuk menyerah diri lantas menjadikan Oppenheimer orang yang dikenali di mata awam sebagai ‘Bapa Bom Atomik’. Dihantui kemusnahan besar dek ledakan bom itu, Oppenheimer bertemu Truman untuk mendesaknya agar tidak terus-menerus menghasilkan senjata lebih berkuasa.

Dari desakan tersebut, Truman merumuskan bahawa Oppenheimer adalah insan yang lemah dan mudah stres. Sebagai Presiden, Truman menerima seorang diri tanggungjawab menggunakan bom itu. Oppenheimer pula terus-terusan dibelenggu rasa bersalah kerana ciptaannya memusnahkan nyawa.

Banyak kisah kemanusiaan dapat dikupas daripada filem sarat babak saspens ini. Ada kisah penyesalan berpanjangan kerana mencipta sesuatu yang lebih memusnahkan daripada memberi manfaat buat manusia. Bukan hasil ciptaan yang menimbulkan kesan ini sebaliknya sikap rakus manusia yang inginkan strategi pemusnahan sekelip mata.

Memandangkan filem ini memaparkan watak tokoh fizik sebenar, banyak yang boleh diselongkar dari segi apakah sumbangan mereka pada dunia fizik dan keadaan sekeliling yang digenjotkan dengan pertelagahan pelbagai pihak susuli peperangan.


Cuma mungkin keluh-kesah ramai adalah tentang emosi Murphy yang kadangkala nampak biasa-biasa sahaja sehingga sukar meramalkan apakah perasaan dan impak sesuatu peristiwa pada dirinya. Kemahiran berlakon Blunt dan Pugh juga kurang dimanfaatkan kerana kerapkali mereka dipaparkan sebagai watak sampingan yang hanya pandai menggoda atau kaki melaram.

Selebihnya, bunyian dan muzik serta teknik rakaman filem ini dengan penggunaan filem Imax 70mm, memberi kesan saspens pada filem Oppenheimer ini lantas memancing ramai untuk langsung merasakan apa yang bakal berlaku selanjutnya. Anda perlu tahan dialog panjang mengandungi banyak maklumat tentang muslihat setiap watak dan apa yang ingin disampaikan mahupun babak tegang yang kadangkala mencerut nafas untuk terus menonton.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >