Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

FENOMENA FILEM MELAYU KEMBALI

Mat Kilau bangkit minat pada sejarah, budaya Melayu

Pencinta filem di S'pura teruja dengan masa depan industri filem Nusantara selepas pandemik
Jul 03, 2022 | 04:37 PM



SEMANGAT jurulatih silat serta aktivis budaya dan seni, Encik Khaizuran Ahmad Salleh, berkobar-kobar memakai tanjak ke pawagam Cathay Cineleisure baru-baru ini bagi menyaksikan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, yang mencetus fenomena 'berjangkit' di serata Malaysia dan Singapura.



Filem yang dibintangi pelakon asal Singapura, Datuk Adi Putra, serta beberapa nama besar di seberang - Wan Hanafi Su, Beto Kusyairy dan Fattah Amin - itu bagaikan memberi harapan masa depan dunia perfileman Melayu tidak semalap yang dikhuatiri, apa lagi selepas pandemik Covid-19 melanda.



Dalam masa seminggu, filem arahan Syamsul Yusof ini sudah meraih kutipan 'box-office' sebanyak RM23.3 juta ($7.4 juta).



Di Singapura, tayangan eksklusif di tujuh pawagam Cathay serata pulau pula menarik tontonan ramai sehingga dewan penuh terisi khususnya pada hujung minggu dan pada tayangan malam Isnin hingga Jumaat.



Beberapa pengamat filem Melayu, karyawan filem dan aktivis seni yang dihubungi Berita Minggu melahirkan rasa teruja dengan fenomena Mat Kilau, filem terbitan Studio Kembara dan Skop Productions ini.



Rata-rata, mereka berpuas hati dengan filem yang menyelongkar kisah bangsawan dan pahlawan Mat Kilau Imam Rasu, yang terkenal dalam menentang penjajahan British suatu ketika dahulu.



KEMBALIKAN MINAT PADA SEJARAH DAN BUDAYA MELAYU



Encik Khaizuran, 44 tahun, terdorong menonton Mat Kilau kerana ia mengetengahkan tiga genre yang diminatinya iaitu sejarah, aksi tarung dan unsur bahasa.



"Minat mendalam dalam sejarah lama dan tamadun Melayu berputik sejak prauniversiti lagi ketika mengambil mata pelajaran sejarah.



"Saya kemudian menghasilkan program di sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi tentang persilatan, budaya dan sejarah Melayu sejak 2007.



"Saya juga pernah menganjurkan pameran senjata, sejarah dan budaya Melayu bersama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan menjadi pensyarah bagi latihan 'docent' atau jurupandu muzium di Singapura.



"Walaupun saya memahami filem ini lebih kepada naratif cereka, saya lebih terdorong menyelami arah tuju, kecenderungan dan takrifan penulis naskhah filem ini dan sutradaranya ketika menjana karya Mat Kilau ini," ujarnya.



RENCAH FILEM CUKUP RASA



Menurutnya, filem ini pantas menjadi satu fenomena kerana keperincian dalam memilih barisan pelakon yang tepat, pembinaan watak, pesona hikayat, plot yang membuat anda teruja menonton serta dialog indah yang disisipkan dengan falsafah.



"Sebagai penonton, ramai yang akan terasa semangat kemelayuan mereka dibakar, emosi tersentuh di samping ia memberi tamparan hebat pada jati diri orang Melayu.



"Saya lihat reaksi penonton yang terangguk-angguk, mengeluh dan bergenangan air mata. Betul, ia menyentuh sanubari sehingga terpanggil mengenali dan menyayangi sejarah, budaya dan identiti Melayu," kongsinya yang juga tertarik pada nilai keikhlasan, kesabaran, gotong-royong, keberanian dan keyakinan diri yang ditekankan.



Apabila beliau pulang dari pawagam, terngiang-ngiang kata-kata mutiara Mat Kilau bahawa "Orang Melayu mulia bukan kerana adat, kesultanan atau budaya. Tapi mulia kerana akidah dan keimanan kepada Allah".



KECENDERUNGAN TEROKA DUNIA SILAT



Ditanya betulkah Mat Kilau mencetus minat ramai mempelajari silat sebagaimana yang dilaporkan akhbar di seberang, Encik Khaizuran tidak menafikannya.



"Ramai juga yang mula bertanya kepada saya bagaimana ingin hantar anak mereka mempelajari silat. Yang tak minat silat pun mula menganggapnya sebagai kemahiran 'cool' untuk jadi pahlawan," jelasnya.



HARAPAN CERAH FILEM MELAYU BANGKIT



Pengasas Persatuan Filem Melayu Singapura (SMFS), Encik Isnor Dzulkarnain Jaafar, 40 tahun, yang juga mengusahakan syarikat edaran dan pemasaran filem Melayu dan Indonesia, DLUX Entertainment, pula teruja apabila diundang ke tayangan perdana Mat Kilau di The Starling Mall, Petaling Jaya, Malaysia, minggu lalu.



Beliau hadir bersama rakannya, Cik Idayu Chuni, DJMS Hafidz dan Cik Shasha Mcqueen.



"Sejak dari awal penubuhan syarikat kami, kami ingin mempromosi dan menguar-uarkan filem berbahasa Melayu kepada masyarakat di Singapura.



"Sejurus menonton Mat Kilau sahaja, kami sudah dapat rasakan pencinta filem di Singapura harus menyaksikannya sendiri.



PENGARAH MELAYU BERTARAF HOLLYWOOD



"Selepas dua tahun, segala promosi filem Melayu pada skala besar terhenti kerana pandemik, inilah kunjungan pertama kami untuk kembalikan semarak fenomena filem Melayu di layar perak.



"Pada pandangan saya, Syamsul adalah pengarah setaraf dengan pengarah berwibawa di Hollywood. Sentuhannya mampu mencetus fenomena sebagaimana 'menggilanya' sambutan bagi filem Munafik 2.



"Mat Kilau adalah filem biopik penuh aksi tentang pahlawan legenda. Ia padat dengan unsur sejarah, bahasa, adat, budaya, silat dan agama.



"Semua rencah secukup rasa menjadikannya filem 'pecah panggung'. Yang kurang mungkin perwakilan watak wanita hebat dalam filem ini," tambah Encik Isnor yang menaruh harapan selepas pascapandemik, dapat diterbitkan filem Nusantara yang menyatukan karyawan filem Singapura, Malaysia dan Indonesia.



ISU MELAYU DAN ISLAM KEKAL RELEVAN



Cik Shasha, 40 tahun, seorang usahawan dan pempengaruh sosial pula berkata beliau terharu dapat bertemu empat mata dan bergambar dengan pelakon utama filem itu, Adi Putra.



"Walaupun ini merupakan filem epik zaman dahulukala, isu-isu yang dipaparkan seperti jati diri anak Melayu, kesetiaan dan keberanian tetap relevan untuk kehidupan masa kini," katanya.



Mantan karyawan pengurusan pawagam, Encik Halil Nasil, 38 tahun, yang menonton Mat Kilau di Cathay Causeway Point teruja ingin lihat cara arahan Syamsul dalam sebuah filem epik, yang pertama dihasilkan.



"Filem ini menjadi fenomena kerana bersandarkan kisah tokoh sebenar di samping banyak mengetengahkan isu Melayu dan keislaman.



"Babak paling menyentuh perasaan adalah apabila watak Wahid hanya mampu melihat dari jauh isterinya, Rokiah, yang sarat mengandung dibunuh. Ada banyak pasang surut emosi yang tercetus di samping membuatkan kita merenung identiti kita sebagai anak Melayu," ujarnya.



Cik Wati Sham, 52 tahun, pula berkata filem ini padat dengan cara penceritaan yang tidak membosankan, diselang-seli dengan dialog bernas dan adegan silat.



"Saya lebih ingin mengenali tentang dunia persilatan selepas menonton filem ini.



"Ia tidak membuat penonton mudah terlelap. Siapa sangka filem sejarah dipaparkan dengan begitu menarik sekali dengan pesanan mengenai menebar patriotisme terhadap negara, bangsa dan agama. Mat Kilau pencetus fenomena kerana keberanian sang pengarah meneroka sesuatu bahan sejarah yang berat agar mudah dihadam sesiapa sahaja," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >