Pada cuti sekolah Jun ini, festival seni sastera berbilang bahasa kanak-kanak Monstrous Fun! @ The Arts House kembali dari 16 Jun hingga 17 Jun buat tahun kedua dengan pelbagai kegiatan.
Ia bertujuan untuk menyemarakkan imaginasi kanak-kanak yang berumur tiga hingga tujuh tahun.
Antara kegiatan yang diadakan ialah bengkel Bahasa Melayu dan sesi bercerita oleh penulis, Rilla Melati Bahri yang akan membacakan buku ‘Si Pencuri Ketawa’.
Kanak-kanak boleh menjangkakan sesi bercerita selama sejam melibatkan pelbagai lagu permainan serta kegiatan buku latihan berdasarkan watak Mini Mons yang tinggal di Gardens by the Bay.
“Selain mengajar mereka frasa bahasa Melayu yang mudah, mereka juga akan belajar dua lagu daripada rancangan Taman Mini yang diilhamkan buku itu.
Buku ‘Si Pencuri Ketawa’ itu merupakan satu-satunya buku Melayu yang mempunyai siri televisyen yang disiarkan di Mediacorp Suria,” kata Cik Rilla.
Sesi itu akan diadakan pada Sabtu bermula 4 petang. Ini merupakan tahun kedua ‘Si Pencuri Ketawa’ menyertai Monstrous Fun! anjuran Arts House Limited (AHL).
“Rasanya amat hebat untuk kembali dan berinteraksi secara langsung dan menilai keberkesanan kandungan silang media kami dengan kanak-kanak yang memberikan kami pemahaman yang baik tentang apa yang berkesan bagi mereka,” tambah Cik Rilla.
Acara Monstrous Fun! bertujuan memperkenalkan kanak-kanak serta keluarga mereka kepada bakat sastera kanak-kanak setempat melalui pelbagai kegiatan.
“Selain bengkel, kami juga menyertakan, ‘The Arts House Story Tour’ yang membawa kanak-kanak dan ibu bapa mereka dalam perjalanan untuk mendengar kisah di sebalik bangunan pemerintah yang tertua di Singapura,” kongsi Penolong Pengarah, Program Tempat, Arts House Limited, Cik Geraldine Cheang.
Antara kegiatan menarik yang tidak patut dilepaskan ialah ‘The Giant Poetry Wall’ di mana kanak-kanak boleh memilih daripada pelbagai perkataan dan menyusunnya untuk membentuk frasa sambil menggunakan daya imaginasi untuk mencipta puisi sendiri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg