Daripada lengan besar dan skirt bertingkat sehingga gaun yang mengembang setiap kali pemakainya melangkah, potongan baju yang besar semakin ketara dalam mengetengahkan fesyen sopan.

Lebih daripada sekadar menutup bentuk badan, lengan yang besar, menerusi potongan baju longgar dan penggunaan fabrik tambahan, kini menjadi ciri rekaan tersendiri yang dibentuk melalui keseimbangan, pergerakan dan tekstur.

Bagi Cik Siti Mariam Imadeddin, 25 tahun, yang sering memakai dan memperagakan pakaian sebegini, tarikannya terletak pada gabungan keselesaan dan ekspresi diri.

Beliau cenderung kepada potongan baju yang berstruktur dan besar serta percaya bahawa keseimbangan memainkan peranan penting, manakala kain yang sejuk menjadikan gaya tersebut lebih praktikal dalam cuaca Singapura.

Di media sosial dan dalam gaya harian, pakaian dengan potongan lebih besar juga semakin kerap muncul, bukan sekadar sebagai pilihan pakaian longgar, tetapi sebagai gaya melalui lapisan, bentuk dan jumlah fabrik.

Potongan pakaian yang dahulunya mungkin dianggap terlalu besar kini sering dipadankan dengan aksesori, tekstur, warna dan corak bagi menghasilkan penampilan yang lebih dramatik dan tersusun.

Apa yang menarik ialah “besar” itu sendiri kini boleh menjadi tumpuan sesuatu penampilan.

Lengan yang mengembang, skirt yang lebar atau bahagian atas yang longgar dapat memberi ruang kepada lebih banyak pergerakan apabila pemakainya berjalan.

Namun, lebih banyak fabrik tidak semestinya bermakna sesuatu gaya akan kelihatan lebih baik.

Keseimbangan masih penting.

Bahagian bawah yang sangat lebar, misalnya, boleh dipadankan dengan bahagian atas yang lebih kemas atau pendek, manakala jenis fabrik pula menentukan sama ada sesuatu potongan baju beralun lembut ke bawah atau kekal berstruktur.

Cik Mariam sendiri berkata keyakinan turut memainkan peranan dalam membawa gaya sebegini.

Menurutnya, jika seseorang terlalu ragu-ragu ketika mengenakan sesuatu di luar zon selesa, ia boleh terlihat pada cara pakaian itu digayakan.

Baginya, pakaian longgar kini sudah ada kategori tersendiri, bukan sekadar trend sementara.

Pandangan hampir sama dikongsi Cik Nur Hidayah Zait, 27 tahun, yang turut dikenali sebagai Ayu, seorang kakitangan pejabat dalam industri penerbangan.

Cik Nur Hidayah Zait menggayakan pakaian longgar yang mencerminkan gaya peribadinya yang berwarna-warni dan berani, selain memberinya keselesaan serta ruang untuk bergerak dengan lebih bebas.
Cik Nur Hidayah Zait menggayakan pakaian longgar yang mencerminkan gaya peribadinya yang berwarna-warni dan berani, selain memberinya keselesaan serta ruang untuk bergerak dengan lebih bebas. - Foto ihsan NUR HIDAYAH ZAIT

Beliau menggambarkan gaya peribadinya sebagai berwarna-warni dan berani, serta gemar memadankan corak dengan corak.

Sejak dahulu, beliau cenderung kepada pakaian longgar kerana menyifatkan potongan baju itu sesuai dengan potongan badannya yang berbentuk pear.

Bagi Cik Ayu, keselesaan dan kesopanan menjadi sebab utama beliau memilih pakaian sedemikian.

Sebagai seorang yang bertudung sejak berusia sembilan tahun, beliau berasa lebih selesa apabila pakaian tidak menonjolkan bentuk tubuhnya.

Beliau juga berpendapat bahawa pakaian longgar kini kelihatan lebih bergaya berbanding dahulu, dengan semakin ramai memilih seluar kaki lebar berbanding skinny jeans (jean ketat), dan semakin banyak jenama menghasilkan pakaian ‘flowy’.

Rekaan Kaifiyyah menampilkan potongan longgar dan besar, mencerminkan bagaimana potongan luas dan penggunaan fabrik semakin menjadi sebahagian daripada estetika fesyen sopan.
Rekaan Kaifiyyah menampilkan potongan longgar dan besar, mencerminkan bagaimana potongan luas dan penggunaan fabrik semakin menjadi sebahagian daripada estetika fesyen sopan. - Foto KAIFIYYAH

Menurutnya, pemilihan potongan dan fabrik tetap penting.

Beliau cenderung memilih linen atau kapas nipis berbanding fabrik rajut atau bahan yang lebih tebal agar pakaian kekal sesuai dipakai untuk cuaca Singapura.

Saya juga melihat potongan sebegini memberi lebih banyak ruang untuk bereksperimen dengan gaya sopan.

Berbanding pakaian yang lebih mengikut bentuk tubuh, potongan yang luas membolehkan pemakai bermain dengan lapisan, corak dan tekstur tanpa menjadikan bentuk badan sebagai tumpuan utama penampilan.

Ia juga mungkin menjelaskan mengapa reka bentuk seperti seluar seakan skirt, skirt bertingkat, lengan besar dan gaun lebar semakin mudah ditemui dalam koleksi jenama fesyen sopan.

Rekaan seluar seakan skirt daripada MaySixteen menampilkan potongan lebar dan berlapis yang menghasilkan rekaan pakaian yang besar, sambil kekal praktikal dan mudah digayakan.
Rekaan seluar seakan skirt daripada MaySixteen menampilkan potongan lebar dan berlapis yang menghasilkan rekaan pakaian yang besar, sambil kekal praktikal dan mudah digayakan. - Foto MAYSIXTEEN

Dari sudut pereka, pengasas Thingamajigs, Cik Syida Abdullah, 32 tahun, berkata rekaan baju besar bukan sekadar tentang saiz pakaian.

Beliau memberi perhatian kepada potongan baju, termasuk kedudukan bahu dan keluasan lengan, supaya pakaian yang lebih luas masih kelihatan seimbang dan boleh dipakai dengan selesa oleh wanita dengan saiz badan berbeza.

Ada rekaannya yang menggunakan kira-kira tujuh meter fabrik.

Baginya, jumlah fabrik bukan sekadar untuk menghasilkan pakaian besar, malah untuk membentuk potongan pakaian yang lebih mesra kepada pelbagai saiz tubuh.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti