Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiapa sebenarnya tentukan apa yang bergaya?
Jenama pakaian, pencipta kandungan dan pengguna saling bantu dalam tentukan trend fesyen
Siapa sebenarnya tentukan apa yang bergaya?
Corak bintik polka yang suatu ketika dahulu mungkin dianggap klasik atau ‘retro’ kini muncul di mana-mana dalam dunia fesyen – daripada pakaian, tudung, beg sehingga kasut.
Begitu juga warna terang, gaya berlapis atau layering dan potongan tertentu yang boleh tiba-tiba membanjiri media sosial sebelum muncul di rak kedai jenama tempatan.
Namun, di sebalik sesuatu trend yang tular, siapa sebenarnya yang menentukan apa yang dianggap bergaya: jenama pakaian, pencipta kandungan atau pengguna?
Bagi pencipta kandungan fesyen, Cik Nur Falisha Hannah Anuar, 22 tahun, jawapannya bukan terletak pada satu pihak sahaja.
Beliau melihatnya sebagai satu kitaran: jenama menghasilkan sesuatu rekaan, pencipta kandungan menunjukkan bagaimana ia boleh digayakan, sebelum pengguna lain mencuba gaya tersebut.
Malah, ada pengikut di media sosial yang memberitahunya bahawa mereka mula berani dan yakin memakai warna terang selepas melihat cara beliau menggayakan pakaian tersebut menerusi video kandungannya.
“Bila lebih ramai memakainya, orang lain mungkin rasa FOMO (fear of missing out) atau tidak mahu ketinggalan dan turut mengikut trend,” katanya.
TikTok dan Instagram, tambahnya, mempercepat kitaran tersebut kerana pengguna kini terdedah kepada pelbagai video gaya dan inspirasi pakaian hampir setiap hari.
Namun, pengaruh itu turut bergerak merentas sempadan.
Pencipta kandungan, Cik Humaira Khalidah Siron, 24 tahun, misalnya, pernah memakai tudung modal ketika pilihan tersebut dipopularkan oleh jenama luar negara.
Modal ialah tekstil separuh sintetik yang diperbuat daripada pokok bic.
Selepas mula menggayakannya, beliau melihat rakan dan pengikutnya di Singapura turut membeli tudung tersebut.
Beliau turut melihat lebih banyak jenama tempatan mula menawarkan versi tudung modal mereka sendiri.
Menurutnya, melihat sesuatu gaya berulang kali di media sosial boleh menimbulkan rasa ingin tahu dan mendorong pengguna mencubanya sendiri.
Bagi pencipta kandungan, Cik Iman Sassi Taj Eddine, 25 tahun, pendedahan berulang sahaja belum tentu cukup.
Beliau sendiri pada mulanya kurang tertarik dengan corak bintik polka.
Namun, selepas melihat corak itu digayakan dalam pelbagai bentuk pada pakaian, beg, kasut dan tudung, beliau mula melihat bagaimana ia boleh disesuaikan dengan gaya dan personalitinya.
“Orang ramai perlu melihat jika trend itu boleh digayakan oleh diri mereka sendiri terlebih dahulu,” katanya.
Menurutnya, pencipta kandungan boleh memperkenalkan atau menguatkan sesuatu trend, tetapi pengguna akhirnya menentukan sama ada ia benar-benar diterima.
Pandangan itu turut dikongsi pengasas jenama tempatan, MaySixteen, Cik Nurul Hanom Mulis, 40 tahun.
Beliau yang telah memulakan jenama itu sekitar 2014 berkata proses membangunkan produk kini lebih bersifat dua hala antara jenama dengan pelanggan.
Jika dahulu jenama perlu melancarkan koleksi dan menunggu angka jualan untuk mengetahui sambutan, wadah media sosial kini membolehkan pelanggan memberi maklum balas hampir serta-merta.
MaySixteen sendiri tidak menjangka rekaan bintik polkanya mendapat sambutan begitu besar.
Jenama itu kemudian menyesuaikan corak yang lebih berani dengan identitinya yang lebih feminin dan ceria.
Menerusi TikTok Live dan Instagram, MaySixteen juga dapat melihat secara langsung warna atau rekaan yang lebih digemari pelanggan, sekali gus membantu menentukan produk yang dibangunkan seterusnya.
Pemilik jenama pakaian, Adorn Singapura, Cik Nur Qdawizah, 35 tahun, turut melihat hubungan tiga hala yang sama.
Jenama boleh memperkenalkan rekaan dan pencipta kandungan boleh membawanya kepada khalayak lebih luas, tetapi sesuatu trend benar-benar mencapai kejayaan apabila pelanggan mula membeli, memakainya dan meminta rekaan serupa.
Baginya, trend juga tidak harus diikut bulat-bulat.
Jenama Adorn Singapura sebaliknya menyesuaikan inspirasi semasa dengan keperluan pelanggannya dari segi kesopanan, keselesaan dan praktikaliti.
Akhirnya, apa yang muncul di skrin mungkin mencetuskan trend, tetapi apa yang terus dipakai oleh pelanggan menentukan sama ada ia mampu bertahan.
“
“Bila lebih ramai memakainya, orang lain mungkin rasa FOMO (fear of missing out) atau tidak mahu ketinggalan dan turut mengikut trend.”“
“Orang ramai perlu melihat jika trend itu boleh digayakan oleh diri mereka sendiri terlebih dahulu.”