Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fesyen Ratu Elizabeth II bakal dipamer di Istana Buckingham

Nov 10, 2025 | 11:19 AM
Pameran ‘Queen Elizabeth II: Her Life in Style’ akan mempamerkan sekitar 200 helai koleksi pakaian yang pernah dipakai ratu tersebut sepanjang hayatnya selama 96 tahun.
Pameran ‘Queen Elizabeth II: Her Life in Style’ akan mempamerkan sekitar 200 helai koleksi pakaian yang pernah dipakai ratu tersebut sepanjang hayatnya selama 96 tahun. - Foto AFP

LONDON: Istana Buckingham akan menganjurkan sebuah pameran luar biasa pada 2026 yang menonjolkan fesyen peninggalan mendiang Ratu Elizabeth II sepanjang 70 tahun pemerintahannya.

“Koleksi pakaian mendiang Ratu Elizabeth II mencerminkan kehidupan yang panjang dan penuh tanggungjawab, serta turut berfungsi sebagai kapsul masa dalam pelbagai aspek,” kata pereka fesyen dari United Kingdom, Erdem Moralioglu.

“Ia merakam satu detik yang sangat khusus dan penting dalam sejarah.”

Pameran ‘Queen Elizabeth II: Her Life in Style’ itu akan mempamerkan sekitar 200 helai koleksi pakaian yang pernah dipakai ratu tersebut sepanjang hayatnya selama 96 tahun.

Separuh daripada koleksi tersebut juga tidak pernah dipamerkan sebelum ini, menurut kenyataan badan kebajikan yang mengurus koleksi diraja, Royal Collection Trust, pada 4 November.

Turut dipamerkan ialah lakaran rekaan asal, sebahagiannya mengandungi catatan daripada para pereka malah daripada mendiang Ratu Elizabeth II sendiri.

Moralioglu bersama dua lagi pereka terkenal Britain, Richard Quinn dan Christopher Kane, akan menyumbang rekaan untuk pameran yang bakal diadakan di The King’s Gallery, Istana Buckingham, pada April 2026.

Menurut Quinn, gaya dan usaha mendiang Ratu Elizabeth mempromosikan budaya Britain telah memberi “pengaruh besar terhadap fesyen Britain”.

“Beliau memberi pengiktirafan tertinggi dan sentiasa menonjolkan (karya) pereka tempatan serta mempamerkan identiti dan keunggulan fesyen Britain di peringkat global.”

Kane pula berkata, “Setiap pakaian Ratu Elizabeth menyingkap kisah tentang Britain dan perubahan identiti negara itu melalui fesyen.”

Antara busana menarik yang bakal dipamerkan ialah gaun malam berwarna hijau epal rekaan Norman Hartnell, yang dipakai ratu tersebut pada majlis santapan rasmi di Kedutaan Britain di Washington pada 1957 bersama Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Encik Dwight D. Eisenhower.

Turut dipamerkan ialah gaun perkahwinan serta gaun pertabalan mendiang Ratu Elizabeth – yang kedua-duanya direka oleh Hartnell serta gaun pengiring pengantin yang beliau gayakan pada 1934.

Selain itu, pameran tersebut turut menampilkan pakaian harian daripada koleksi peribadi mendiang Ratu Elizabeth seperti pakaian menunggang kuda dan skaf khas yang menjadi gaya ikonik beliau.

Salah satu pakaian unik yang juga dipamerkan ialah kot hujan plastik jernih rekaan Hardy Amies pada 1960-an, yang menurut Royal Collection “amat moden untuk zamannya”.

“Koleksi pakaian Ratu Elizabeth II adalah contoh terbaik nilai simbolik, ketelitian rekaan dan kemahiran (pereka) British,” kata kurator pameran Caroline de Guitaut.

“Pada tahun di mana Ratu Elizabeth sepatutnya menyambut ulang tahun ke-100 beliau, pameran ini akan menjadi satu perayaan gaya Britain yang unik milik ratu tersebut serta warisan fesyen beliau yang berterusan,” kata de Guitaut dalam satu kenyataan di laman web Royal Collection.

Tiket untuk pameran yang akan berlangsung dari 10 April hingga 18 Oktober 2026 itu akan mula dijual mulai 4 November di laman web Royal Collection di https://www.rct.uk/.

Ratu Elizabeth II mangkat pada September 2022. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg