Dalam dunia fesyen Muslimah yang semakin luas dan kreatif, pelbagai jenis tudung diperkenalkan bagi memenuhi keperluan wanita yang ingin bergaya sambil mengekalkan pemakaian menutup aurat.
Antara pilihan tudung yang paling digemari ialah selendang dan tudung bawal.
Meskipun kededuanya berfungsi untuk tujuan sama, gaya dan cara pemakaian yang berbeza memberikan pengalaman tersendiri kepada si pemakai.
Selendang, dalam kalangan remaja dan wanita moden, mempunyai kelebihan dari segi gaya yang versatil dan memberi ruang kepada kreativiti, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Dengan reka bentuknya yang panjang dan tidak bersudut tiga seperti bawal, selendang boleh dililit dengan pelbagai cara, daripada gaya ringkas dan kasual hinggalah ke gaya lebih eksklusif untuk majlis istimewa.
Gaya lilitan ini membolehkan si pemakai menyesuaikan penampilan mengikut bentuk muka dan busana yang dikenakan.
Selain itu, bahan fabrik selendang yang pelbagai seperti sifon, satin dan kapas memberi lebih banyak pilihan mengikut keselesaan.
Contohnya, untuk hari biasa ke tempat kerja atau kelas, selendang sifon sering menjadi pilihan kerana jenis fabriknya yang ringan dan mudah dibentuk.
Bagi acara rasmi pula, pemilihan selendang jenis satin menampakkan gaya lebih mahal, elegan namun tetap selesa dipakai.
Namun, tidak dinafikan tudung bawal juga mempunyai keistimewaan dan penggemarnya tersendiri.
Tudung bawal mempunyai gaya klasik tidak lapuk dek zaman, malah masih mendapat tempat dalam hati ramai wanita.
Dalam dunia fesyen masa kini, terdapat pelbagai jenama tudung mengeluarkan pelbagai jenis tudung bawal dengan pelbagai jenis fabrik dan corak yang mampu menarik minat ramai wanita Muslimah.
Tudung bawal mudah digosok, cepat dipakai, dan sesuai untuk mereka yang menggemari gaya ringkas dan kemas.
Bagi sesetengah individu, tudung bawal juga lebih praktikal untuk dipakai dalam keadaan tergesa-gesa kerana hanya memerlukan pin dan sedikit pelarasan.
Pemilihan antara selendang atau bawal bergantung kepada keperluan dan gaya individu.
Kededuanya mempunyai kelebihan dan penggemar yang tersendiri dengan pelbagai kebebasan dalam ekspresi gaya yang ringkas, namun masih dapat menyerlahkan sisi feminin dan moden tanpa mengabaikan tuntutan berpakaian sopan.
Dengan pemilihan warna dan gaya lilitan yang sesuai dapat membuatkan ramai wanita berasa lebih yakin dan selesa sepanjang hari.
Sama ada memilih selendang atau bawal, semuanya bergantung kepada cita rasa, keselesaan dan gaya hidup individu.
Bagi sesetengah individu, selendang adalah pilihan utama kerana ia lebih fleksibel, anggun, dan sesuai untuk pelbagai acara.
Apa yang penting, setiap wanita harus memilih tudung bukan sahaja cantik dipandang, malah mematuhi prinsip berpakaian ditetapkan agama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg