Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Filem cereka buka mata konspirasi rebut kuasa institusi agama Mesir

‘Boy From Heaven’ papar muslihat penjerat anak nelayan yang dipaksa jadi ejen pemerintah
Jun 07, 2023 | 01:15 PM



Kerana terbiasa dengan sesetengah filem Barat atau laporan media yang hanya merekakan kisah masyarakat Islam lantas memburukkan nama baik agama ini, ramai wartawan Barat menyangka filem Boy From Heaven arahan sutradara keturunan Mesir, Tarik Saleh itu merupakan sebuah dokumentari yang merakamkan kisah sebenar.


Sebagaimana yang dikongsi Tarik, seorang warga negara Sweden kepada laman berita, Guardian:


“Wartawan berulang kali bertanya kepada saya... bab mana dalam filem ini yang merupakan kisah sebenar? Saya rasa obsesi ini datang daripada kebiasaan mereka menonton filem atau membaca laporan palsu yang direka tentang orang Islam. Justeru, apabila mereka menonton filem saya yang berlatarbelakangkan Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir, mereka sangka ia dokumentari. Saya harus tekankan ini filem cereka yang tiada kena-mengena dengan orang yang hidup atau mati.”

Filem yang juga menggunakan judul Cairo Conspiracy di beberapa negara lain ini ibarat membawa orang Barat meninjau ke dunia yang mereka anggap misteri di Universiti Al-Azhar, sebuah hab pembelajaran.


Universiti ini dicipta semula di Turkey oleh Tarik dan kru filemnya. Ia dihasilkan selepas Tarik dibuang negara dari Mesir pada 2015, tiga hari sebelum beliau melakukan penggambaran filem The Nile Hilton Incident.


Apa yang benar adalah rasa marah Tarik, 51 tahun, terhadap kuasa pemerintahan Mesir yang beliau sisipkan dalam Boy From Heaven.


Filem penuh saspens dengan pemandangan saujana mata memandang ini membuka selingkar kisah bagaimana pihak berkuasa Mesir yang dipimpin seorang jeneral (Mohammad Bakri) merancang untuk meletakkan seorang imam yang akrab dengan rejimnya, sebagai pengganti imam Al-Azhar yang meninggal dunia.







Daripada kaca mata Adam (Tawfeek Barhom), seorang siswa muda daripada keluarga nelayan di salah satu wilayah di situ, anda dibawa menyusuri plot filem ini.

Adam mendapat biasiswa menyambung pengajiannya di Universiti Al-Azhar. Selepas dia menjadi saksi satu pembunuhan seorang pelajar yang menjadi penyampai maklumat pemerintah Mesir, Adam ditekan seorang penyiasat pemerintah, Kolonel Ibrahim (Fares Fares) untuk menggantikan pelajar yang terbunuh itu.

Ada yang menyamakan filem ini seperti novel, The Name of The Rose, oleh penulis Italy, Umberto Eco, yang disatukan dengan karya penulis John le Carre. Unsur misteri dan konspirasinya menebal.


Adam, seorang pelajar baru yang tidak begitu faham tentang muslihat dunia, dipergunakan sebagai perisik oleh ejen risikan tua yang penuh agenda dan beliau hanyalah anak nelayan dari desa Manzala.

Sejurus dia beritahu dia anak desa Manzala, ramai yang langsung berkata: “Kau mesti keturunan nelayan.”

Hanya kerana kebijaksanaannya, maka Adam dapat pergi jauh dalam pengajiannya.

Diberi biasiswa ke Al-Azhar, Adam akur pada nasihat bapanya yang berkata: “Tuhan memberikan kau otak yang boleh berfikir lebih daripada sewajarnya. Kelebihan ini awalnya akan menjadi satu kemudaratan, tetapi ia kemudian akan jadi satu sumber penakatan.”

Banyak dugaan orang beriman seperti Adam dapat dilihat apabila dia bertemu dengan Zizo (Mehdi Dehbi) yang membawanya meninjau tempat hiburan malam, dan memberinya jaminan bahawa minuman tenaga yang dijual di situ, halal diminum.

Adam tidak menyedari Zizo adalah perisik yang menyampaikan maklumat kepada Kolonel Ibrahim.

Ibrahim yang kelihatan dimamah usia dan sinis, diberi satu lagi amanah memastikan Imam, yang akan menggantikan imam yang sudah meninggal, adalah seseorang yang perspektif pemikirannya sejajar dengan pemerintah.

Pilihan pemerintah adalah Sheikh Beblawi (Jalal Altawil) tetapi untuk pastikan dia benar-benar dipilih, Ibrahim perlu membuktikan dua lagi calon seperti seorang pendita buta, Sheikh Negm (Makram Khoury) dan seorang askar militan, Sheikh Durhani (Ramzi Choukair).

Zizo yang tidak tahan lagi diperalatkan pemerintah, ingin keluar daripada tugasannya tetapi diberitahu Ibrahim agar mencari seorang budak baik untuk menggantikannya. Lantas, Adam menjadi sasarannya.

Menurut Zizo, jiwa suci Adam akan dicemari keadaan di Universiti Al-Azhar itu setiap detik. Sebelum sempat Zizo membimbing Adam, dia dibunuh. Ibrahim segera mendapatkan Adam dan menjanjikannya bermacam ganjaran.

Misi pertama Adam ialah menembusi sel kumpulan pelampau di mana dia kemudian diperdayakan dan ditikam belakang.

Boy From Heaven bergerak perlahan tetapi memuncak dengan ulitan misteri yang tiada kesudahannya.


Bagi Tarik, filem ini membawa banyak cabaran untuknya, sebab institusi yang dibincangkan menjadi sanjungan buat tempoh yang lama, Universiti Al-Azhar.

Skrip yang penuh dengan dialog ‘berapi’ dan maksud tersirat menjadi kekuatan filem ini. Tidak hairanlah jika ia memenangi Anugerah Naskhah Terbaik pada Festival Filem Cannes 2022.

Filem ini mengajak anda berfikir sekali gus meninjau kepura-puraan sesetengah individu yang kononnya berpaksikan nilai Islam, tetapi melanggar yang asas secara diam-diam. Kisah kemunafikan dan perebutan kuasa yang ketara menjadi asas filem ini.

Dapat dilihat campur tangan pemerintah Mesir pada pergerakan institusi agama.

Tarik berasakan amanahnya untuk berkongsi cerita sebegini yang banyak mendedahkan tabiat manusia.

Salah satu dialog Adam yang begitu ketara dan terpahat di ingatan:

“Kuasa bak pedang dua mata. Ia boleh mengerat dan mencederakan tangan anda sendiri suatu masa.”

Datuk Tarik merupakan lulusan Universiti Al-Azhar. Dari situlah, beliau berminat menyelongkar institusi agama itu sebagai latar filemnya. Bagi menghasilkan filem ini, beliau bekerjasama dengan seorang imam bagi memastikan teologi agama yang disampaikan tidak terkeluar daripada landasan Islam.

“Saya tahu tentang wujudnya Islamofobia di mana-mana dalam konteks budaya popular. Saya dan imam yang menjadi rujukan banyak berbincang. Saya bertanyakan soalan-soalan yang terlarang. Beliau menjawabnya dengan tenang dan memberi keterangan yang indah,” ujar Tarik.

Baginya, beliau ingin penonton belajar daripada filem ini.

“Kehidupan itu satu perjalanan. Ia mengisahkan tentang proses kedewasaan di tempat-tempat yang mungkin meragut jiwa muda anda, tetapi akhirnya anda sampai ke tahap mencapai versi terbaik diri anda sendiri untuk menangani apa sahaja yang dilontar kepada anda,” tambahnya.

Nota: ‘Boy From Heaven’ kini ditayangkan di The Projector (Golden Mile) pada 8 hingga 12 Jun dan 14 Jun. Ia juga ditayangkan di Picturehouse pada 8 Jun serta 10 hingga 13 Jun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >