Walaupun sudah mencecah usia 70 tahun, bintang legenda Hong Kong, Jackie Chan, membuktikan beliau masih relevan apabila kembali beraksi dalam filem terbaru berjudul, A Legend.
Menerusi A Legend yang juga susulan filem, The Myth, yang diterbitkan pada 2005, anda dapat menyaksikan karya ‘berani mati’ daripada Chan apabila tampil dengan aksi seni bela diri lebih mencabar dan menarik untuk ditonton.
A Legend masih mendapatkan sentuhan pengarah, The Myth, iaitu Stanley Tong yang terkenal dengan karya pecah panggung seperti, Police Story III: Super Cop, Police Story 4: First Strike dan Kung Fu Yoga, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Selain Chan, filem berbahasa Kantonis dam Mandarin itu turut mengetengahkan pelakon handalan seperti, Lay Zhang, Na Zha, Aarif Lee, Li Chen, Peng Xiaoran dan Zheng Yecheng.
Filem itu sudah ditayangkan secara rasmi di China pada 12 Julai.
Ia juga meraih pelbagai maklum balas positif daripada penonton yang terpukau dengan aksi serta lakonan Chan.
Rata-rata penonton memuji teknologi kecerdasan buatan (AI) yang diketengahkan sehingga menjadikan wajah Chan kelihatan lebih muda berbanding usia sebenar.
Walaupun versi muda Chan diperbaharui secara digital yang menjadikan usianya dalam lingkungan usia 20-an tahun, pemandangan medan perang dengan menampilkan lebih 10,000 kuda perang berlari di padang rumput luas tetap dirakamkan secara asli.
Sebahagian besar penggambaran filem itu, antaranya dijalankan di daerah Zhaosu dalam wilayah autonomi, Xinjiang Uygur, yang masih menggunakan kaedah konvensional.
Filem terbitan Bona Film Group dan Shanghai Lix Entertainment itu mengisahkan tentang Profesor Fang lakonan Chan, iaitu pakar arkeologi.
Profesor Fang menyedari bahawa tekstur pada artifak yang ditemui oleh pelajarnya semasa ekspedisi ‘Glasier’ sangat mirip dengan loket jed yang pernah dilihat dalam mimpinya.
Loket itu menghubungkan alam mimpi dengan realiti.
Dengan penuh rasa ingin tahu, Profesor Fang mengetuai pasukan penyelidik dalam perjalanan jauh ke Kuil Glasier untuk mencari kebenaran di sebalik mimpinya.
Mereka memulakan pengembaraan hebat bersama.
Tong menganggap penggunaan AI membantu pelakon mapan seperti Chan membangkitkan semula semangat muda.
Namun, ada juga yang mengecam penggunaan AI atas tujuan ingin memudakan wajah Chan.
“Maaf, penggunaan AI bikin muka Jackie Chan macam plastik! Emosinya tak nampak jelas seperti selalu.
“Bahkan, dalam satu babak kematian pelakon, Zhang Yixing, Chan kelihatan seperti tertawa sinis dan bukannya bersedih.
“Penggunaan AI ini merosakkan mutu filem. Seisi pawagam tertawa besar kerana penggunaan AI tidak menjadi ini. Jadi macam filem komedi pula,” ujar seorang warganet.
Ada pula yang berasa AI itu juga mengurangkan babak aksi Chan yang dahulunya dibuat sendiri.
“Sebenarnya, Chan mesti gunakan pelakon aksi nekad sebagai pelakon gantian babak cemas yang perlu dihidupkannya.
“Nampaknya, ramai yang tertipu tetapi perlu faham Chan dah tua dan tak sehebat dahulu,” ujar seorang lagi warganet yang yakin AI akan menggantikan pelakon manusia suatu hari nanti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg