Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Filem ‘Mencari Ramlee’ ditayang 19 Jun selepas tangguh 2 tahun dek kurang bajet

Mar 27, 2025 | 6:47 PM
Selepas berdepan pelbagai cabaran, filem arahan Megat Sharizal, berlatar masa sekitar era 1970-an yang mengetengahkan kisah selepas pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, akhirnya bakal menjengah pawagam pada 19 Jun depan.
Selepas berdepan pelbagai cabaran, filem arahan Megat Sharizal, berlatar masa sekitar era 1970-an yang mengetengahkan kisah selepas pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, akhirnya bakal menjengah pawagam pada 19 Jun depan. - Foto INSTAGRAM MENCARI RAMLEE

KUALA LUMPUR: Berikutan masalah kekurangan bajet, filem fiksyen inspirasi daripada kisah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Mencari Ramlee terpaksa menunggu dua tahun untuk ditayangkan.

Selepas berdepan pelbagai cabaran, filem arahan Megat Sharizal, berlatar masa sekitar era 1970-an yang mengetengahkan kisah selepas pemergian Seniman Agung itu akhirnya bakal menjengah pawagam pada 19 Jun depan.

Megat berkata beliau bersama produksi memilih mendapatkan dana mencukupi terlebih dahulu sebelum menyiapkan keseluruhan filem, malah percaya kisah diketengahkan masih relevan untuk ditonton, lapor Berita Harian Malaysia.

“Sebagai pembikin filem bebas, kewangan menjadi faktor paling besar, walaupun dapat dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Untuk memulakan sesuatu filem, kena cari dana dulu.

“Saya punya prinsip tak akan jalankan penggambaran sekiranya tiada dana mencukupi.

“Saya tak mahu filem sangkut di tengah jalan. Selepas menyertai Festival Filem Antarabangsa Rotterdam 2025, ada beberapa pembiaya mahu bersama kami.

“Kemudian, barulah saya berani ke Skim Wajib Tayang dan sebagainya,” katanya pada sidang media dan pelancaran filem Mencari Ramlee baru-baru ini.

Megat, yang turut membintangi naskhah berkenaan, berkata pihaknya memohon Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM1 juta ($302,000) di bawah Finas pada 2020 sebelum diluluskan setahun kemudian.

Bagaimanapun, katanya, ada beberapa aspek lain membabitkan dana, termasuk penularan wabak Covid-19 sehingga terpaksa menangguhkan tayangan sebaik penggambaran selesai pada 2023.

Mengenai sasaran, Megat berkata beliau hanya mengharapkan penonton dapat menerima baik karya yang datang daripada garapan ideanya sendiri.

Filem itu menyelitkan pelbagai adegan sebagai penghormatan kepada karya Seniman Agung itu.

“Dulu saya pernah bercita-cita buat filem biografi, namun saya sedar terlalu banyak kekangan jika mahu buat filem genre berkenaan.

“Jadi, saya ambil keputusan buat filem 100 peratus fiksyen, namun guna P. Ramlee sebagai subjek utama,” katanya.

Mengenai tunjang utama filem, Tony Eusoff dan Datin Sofia Jane, Megat berkata dua pelakon berpengalaman itu sememangnya jadi pilihannya.

“Dalam kepala saya, Tony kena jadi watak utama, Zakaria, manakala watak Zaiton, saya membayangkan Sofia sebab saya juga meminatinya sejak kecil lagi,” katanya.

Selain Tony dan Sofia, filem terbitan Playground Film Sdn Bhd itu turut dibintangi Mimi Lana, selain penampilan khas pelakon seperti Azhan Rani, Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Bront Palarae, Sharifah Amani, Vanidah Imran serta cucu P. Ramlee, Najua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg