Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Ketipak Ketipung Raya’... lagu Lebaran baru harus kekal nilai Melayu

Usah hanya nak tular, namun perlekeh kesyahduan Aidilfitri
Mar 8, 2025 | 5:30 AM
Lagu Raya ciptaan penyanyi, Aisha Retno dan Aziz Harun, yang tular pada 2024 berjudul, ‘Ketipak Ketipung Raya’, menggabungkan rentak tradisional Melayu joget dengan nuansa moden.
Lagu Raya ciptaan penyanyi, Aisha Retno dan Aziz Harun, yang tular pada 2024 berjudul, ‘Ketipak Ketipung Raya’, menggabungkan rentak tradisional Melayu joget dengan nuansa moden. - Foto TANGKAP LAYAR YOUTUBE AISHA RETNO

Beberapa hari lalu, ketika saya sedang mencari juadah berbuka puasa di bazar Ramadan di Woodlands, kedengaran lagu, Nikmat Hari Raya, dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, New Boyz dan Aqasha, bergema di gegendang telinga.

Meski semangat menyambut Aidilfitri belum lagi mengetuk pintu hati, namun kerinduan mendengar ciptaan lagu-lagu Raya yang bermakna dan menyentuh jiwa kian terasa.

Setiap kali menjelang perayaan yang begitu syahdu dan meriah bagi masyarakat Melayu/Islam, saya mendapati bahawa lagu-lagu yang sama akan diputarkan di corong radio mahupun di bazar Ramadan.

Lagu-lagu inilah yang sering membangkitkan suasana perayaan dengan kegembiraan sekali gus mengisi kekosongan dan kerinduan di hati terhadap mereka yang telah pergi.

Pertanyaan yang bermain di fikiran adalah apakah yang mungkin membuat lagu-lagu ini melekat dalam sanubari pencinta seni dan hiburan sehingga kini?

Misalnya, lagu Raya nyanyian legenda dan bintang filem klasik Melayu, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Dendang Perantau, yang menggambarkan kerinduan seorang anak perantau terhadap kampung halaman.

Pendengar secara sekilas pasti dapat mengenali lagu ini hanya dengan mendengar gentelan gitar yang merdu dan mengasyikkan.

Ini justeru telah menjadi ‘trademark’ atau ciri khas dalam lagu tersebut sehingga dapat meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan masyarakat hari ini.

Dalam pada itu, lagu ini turut membawa pendengar dalam kembara masa, mengingat akan perjuangan anak rantau mencari rezeki di negeri orang.

Walau dalam suasana penuh kesyukuran dan keriangan, tersimpan kerinduan yang mendalam terhadap orang-orang yang dikasihi.

Antara lain, saya juga rasa ciptaan lagu Raya oleh komposer, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain, atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah, seperti tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Lagu Raya ciptaannya yang dilantunkan biduanita negara Malaysia, Siti Nurhaliza, seperti Sesuci Lebaran, Nazam Lebaran dan Anugerah Aidilfitri, berjaya mendapat tempat di hati pendengar.

Lagu yang kaya dengan rentak dan irama tradisional Melayu itu tiada tolok bandingnya dan kekal dimainkan di radio saban tahun setiap menjelang Syawal.

Walaupun saya merupakan sebahagian daripada anak muda Gen-Z, bagi saya, ‘mood’ atau suasana Raya terasa tidak lengkap tanpa lagu-lagu Raya ini. 

Selepas sebulan menjalani ibadah puasa, lagu-lagu seperti inilah yang mengajak masyarakat untuk merenung makna kehidupan sekali gus menyambut hari kemenangan dengan hati yang penuh keinsafan dan kesyukuran.

Namun, dalam era digital kini, lagu-lagu Raya menjadi semakin moden dengan unsur muzik yang rancak serta gerakan tarian yang menghiburkan, sesuai untuk dimuat naik ke aplikasi TikTok.

Kebanyakan lagu Raya baru yang timbul rata-rata boleh dikatakan dikeluarkan dengan matlamat menjadikannya tular.

Sebagai contoh, lagu Raya berjudul, Bersyukur Seadanya, yang dicipta Hael Husaini pada 2020, telah menjana 20 juta tontonan di laman YouTube.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang menyukai konsep moden yang disampaikan oleh penyanyi dan penggubah lagu itu dengan sajian tarian menghiburkan serta rentak yang tidak mudah dilupakan.

Lagu Raya yang mencuri perhatian pada 2024, Alamak Raya Lagi, nyanyian De Fam, pula menggambarkan suasana kecoh dan meriah menjelang Syawal, dengan pelbagai persiapan yang seakan tiada penghujungnya.

Pastinya, ramai yang boleh mengaitkan keadaan itu dengan pengalaman peribadi, terutama ketika kesibukan kerja membuat kita lupa untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya.

Usaha untuk memberi nafas baru kepada lagu-lagu Raya demi menyesuaikannya dengan peredaran zaman adalah satu langkah positif.

Namun, ia perlu dilaksanakan dengan tujuan yang jelas dan bukan sekadar untuk hiburan yang cuma-cuma.

Kalau dulu, lagu Raya sarat dengan nilai dan pesanan yang bermakna dan mendalam, menggambarkan keistimewaan perayaan ini dalam kalangan umat Islam, kini, lagu Raya lebih menekankan aspek estetik dalam video muzik, dengan penceritaan yang penuh dengan unsur jenaka dan suasana riuh di pagi Raya.

Selain itu, lagu-lagu ini juga kebanyakannya menampilkan naratif peribadi yang mungkin turut dirasai oleh sebahagian masyarakat yang menyambut Aidilfitri.

Bagi saya, sedikit sebanyak lagu Raya harus menampilkan kepentingan Aidilfitri sebagai hari kemenangan dan keinsafan di samping menyampaikan nilai murni seperti mempereratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh jalinan ukhuwah antara keluarga dengan sanak saudara.

Setiap individu pasti memiliki selera muzik yang berbeza kerana secara peribadi, saya kurang meminati lagu Raya moden. 

Namun begitu, saya cukup terpesona dengan hasil karya lagu Raya yang dihasilkan oleh penyanyi dan pencipta lagu muda, Aisha Retno, bersama Aziz Harun, penyanyi dari Brunei. 

Lagu mereka yang berjudul, Ketipak Ketipung Raya, tetap berpegang pada nilai budaya dengan irama joget yang memikat, namun disesuaikan dengan unsur moden untuk memenuhi selera pendengar masa kini.

Tepuk dada tanya selera, saya menyimpan harapan agar lagu-lagu Raya masa kini dapat menyulam nilai-nilai murni Aidilfitri dalam setiap bait lirik dan alunan melodi.  

Selain memikat hati pencinta seni muzik, lagu-lagu ini juga diharapkan dapat dijadikan wadah untuk menyampaikan mesej yang bermakna, sekali gus menyemai pengajaran yang mampu meresap ke sanubari masyarakat sepanjang masa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg