Selepas meraih kutipan RM3.5 juta ($1.006 juta) melalui filem, Anak Perjanjian Syaitan 2, pengarah Dr Ahmad Idham kembali dengan buah tangan terkini, Saka Perawan.
Filem, Saka Perawan, yang diedar Grand Brilliance Studio dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) sebagai rakan pemasaran, mengisi slot tayangan di pawagam di seluruh negara sejak 27 Jun.
Menurut Berita Harian Malaysia (BHM), naskhah komedi seram itu menyaksikan gandingan barisan pelakon baru dan lama seperti, Azlee Senario, Datuk Fauziah Nawi, Sophia Albarakbah, Isyariana, Nelissa Nizam, Afieq Shazwan dan ramai lagi.
Pada 12 Jun, tayangan perdana dan sidang media, Saka Perawan, dianjurkan di GSC Starling Mall, Petaling Jaya.
Acara itu disambut dengan gilang-gemilang dan dihadiri ramai selebriti dan pempengaruh media sosial.
Kehadiran mereka membuktikan semua pihak memberi sokongan terhadap filem buatan tempatan itu.
Bukan itu sahaja, kemeriahan filem, Saka Perawan, diteruskan dengan siri jelajah di Karnival Jom Heboh (KJH) di Melaka, pada 29 Jun.
Turut memeriahkan kegiatan itu adalah Ahmad Idham sebagai pengarah filem, Saka Perawan, serta Afieq dan Yassin yang turun padang mempromosikan naskhah berkenaan.
Bagi mempromosi filem, Saka Perawan, beberapa pelakon dan petugas PWS menganjurkan siri jelajah di pawagam di AEON Bandaraya Melaka, pada 29 dan 30 Jun di TGV Rawang dan TGV Central I-City.
Kemeriahan sesi jelajah itu dapat mengeratkan hubungan selebriti bersama penonton.
Saka Perawan mengisahkan misteri di sebalik penyakit yang dihidapi nenek berusia 80 tahun yang membuatkan anaknya bingung.
Setiap kali selepas maghrib, keadaan nenek itu akan merosot dan nazak.
Namun, sebaik sahaja waktu mencecah 5 pagi, keadaan nenek itu kembali normal dan hanya terbaring di katil.
Selepas hampir sebulan nenek terbaring, doktor perubatan tidak mempunyai jawapan dalam mengesan penyakit yang dihidapinya.
Ternyata, akibat perbuatan lampau si nenek, saka yang dimilikinya perlu diturunkan kepada cucu perempuan yang masih perawan sebelum nenek itu meninggal dunia.
Jadi, apakah pengakhiran cerita ini di sebalik penyakit misteri nenek tersebut dan adakah nenek ini berjaya menjejak pewaris Saka Perawan?
Saksikan kesan seramnya di pawagam seberang Tambak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg