Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:20
Asar
4:35
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Filem seram ‘Pulau’ tidak dipulaukan di Kemboja, raih kutipan pecah panggung

Jul 28, 2023 | 03:10 PM



Pernah ‘panas’ di Malaysia berikutan paparan babak yang dianggap keterlaluan dan pakaian pelakon menjolok mata, filem Pulau meraih kejayaan membanggakan apabila mengaut RM700,000 ($283,082) dalam tempoh sebulan ditayangkan di Kemboja.


Naskhah kontroversi terbitan WebTV Asia itu dilaporkan muncul sebagai filem tempatan pertama meraih kutipan tertinggi di Kemboja yang mempunyai jumlah penduduk lebih 16 juta.

Malah, Pulau yang diarah Euho dan menampilkan Alif Satar serta Amelia Henderson sebagai teraju utama, menduduki carta teratas filem seram paling banyak ditonton di Kemboja, tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan WebTVAsia, Fred Chong bangga dengan pencapaian filem Pulau yang membuktikan naskhah tempatan juga mampu berdiri setanding karya antarabangsa.


“Kami sangat bangga kerana filem Pulau di Kemboja menarik perhatian penonton dan mendapat sambutan luar biasa.


“Bagi Kemboja yang memiliki jumlah penduduk seramai 16.6 juta, kutipan itu boleh disifatkan sangat tinggi.

“Sedangkan di Malaysia, bukan semua filem mampu meraih kutipan sebanyak itu,” katanya kepada Berita Harian Malaysia Online.


Diedarkan oleh Wester Media, Pulau turut memegang rekod tayangan pembukaan paling besar pada hari pertama dan hujung minggu pertama hingga ketiga. Filem itu juga tidak melalui proses suntingan di Kemboja.


Filem Pulau yang bergenre seram mengisahkan sekumpulan anak muda mengembara ke sebuah pulau berhantu.


Mac lalu, Pulau mencetuskan kontroversi apabila paparan wanita berpakaian seksi, termasuk berbikini dan adegan intim, dikritik netizen.


Malah, ada pihak mengklasifikasikan naskhah kontroversi itu sebagai ‘soft porn’ yang dianggap keterlaluan dan bercanggah dengan nilai moral bagi filem tempatan.

Rentetan itu, pelbagai pihak memboikot filem yang menelan belanja RM4 juta itu, malah ada pendakwah meminta agar Pulau diharamkan.


Ini termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang dilaporkan menggesa Lembaga Penapis Filem (LPF) mengkaji semula kelulusan tayangan filem berkenaan.

Sementara itu, Kerajaan Terengganu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu dilaporkan mengambil langkah drastik apabila mengharamkan filem Pulau daripada ditayangkan di tiga pawagam di negeri itu.


Fred berkata filem Pulau terpilih untuk ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Kemboja 2023, tidak lama lagi.


Selain itu, tambahnya, syarikat itu merancang untuk menerbitkan sekuel filem Pulau yang membabitkan sesi uji bakat pelakon Asia Tenggara dengan fokus kepada penonton di luar negara.


“Kami merancang untuk mengadakan sesi uji bakat di luar negara. Mungkin penggambaran filem sekuel itu akan dilakukan di Indonesia kerana republik itu memiliki pulau yang cantik.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada skrip yang akan ditulis,” katanya.

Filem Pulau yang ditayangkan pada 8 Mac lalu berjaya mencatat kutipan sebanyak RM3.4 juta selepas dipertontonkan di 134 pawagam di Malaysia.


Selain Alif dan Amelia, Pulau dibarisi Ikmal Amry, Sanjna Suri, Joey Leong, Harris Annuar, Jazmy Juma, Mark O’Dea, Sabronzo, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Yi dan Vikar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >