Kalau diminta ke sesi uji bakat sesebuah projek atau ‘casting’, pelakon kelahiran George Town, Pulau Pinang, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, akui dirinya akan mengemukakan 1,001 alasan untuk tidak menghadiri sesi tersebut kerana bimbang terbiar kaku beku.
Beliau malahan lebih selesa mengikut tuntutan watak yang bakal dibawa dengan bersiap sedia berpakaian seragam atau mempunyai intonasi suara yang tepat agar tidak ‘lari’ daripada apa yang dicari pengarah atau penerbit.
Pendek kata, Sharnaaz, 37 tahun, sanggup merakam klip video untuk berada dalam situasi watak dan berdialog seakan-akan beliau benar-benar beraksi dalam filem berkenaan.
Ini yang dilakukannya menerusi rakaman video yang dikirimkan kepada pihak penerbitan filem aksi komedi, Polis Evo 3 hingga akhirnya diterima untuk membawa watak bekas sarjan polis bernama Reza yang berdendam dengan Inspektor Khai (lakonan Shaheizy Sam).
Pengarah filem itu, Syafiq Yusof, sukakan apa yang Sharnaaz tampilkan langsung pelakon berwajah garang dan berjambang itu dilamar sebagai antagonis utama Polis Evo 3.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di Hotel Royal Plaza On Scotts sempena promosi filem berkenaan, Sharnaaz berkata:
“Saya sebenarnya jarang hadiri ‘casting’. Saya akan beri seribu satu sebab tak nak buat ‘casting’. Sebab tanpa seragam penuh lengkap dengan kasut yang dibawa si watak, saya tak boleh berlakon.
“Saya mesti dalam perwatakan yang dimainkan. ‘In character’... kalau perlu bubuh luka dan parut, saya bikin. Kalau tak, datang ‘casting’ tanpa prop, saya rasa macam togel. Saya tak boleh buat... macam segan.
“Bagaimanapun, kalau sediakan saya set penuh dan saya sudah serap watak itu dengan dialognya sekali... kita ambil video... semuanya beres!”
Menurut Sharnaaz, beliau memang menantikan peranan atau babak mencabar dalam sesebuah filem. Kalau tiada cabaran, tiada maknanya jadi pelakon bertahun lamanya sepertinya yang sudah 15 tahun menceburi bidang lakonan.
“Dalam Polis Evo 3, saya diberi keupayaan mencorak atau mereka bentuk watak yang saya ingin hidupkan. Kita ada semacam acuan yang sudah awal-awal lagi disiapkan.
“Kalau ikutkan diri saya, sebenarnya sudah diusulkan pembawaan watak Reza yang lebih berat tetapi saya diberitahu kena kurangkan sedikit unsur jahat atau adegan antagonis ini.
“Sebab kita tak mahu ia ‘melekat’ dalam fikiran budak-budak yang menonton. Nanti ada pula adegan bahaya yang mereka nak tiru,” ujarnya.
Sejauh ini, Polis Evo 3 sudah mengaut kutipan ‘box-office’ RM50 juta ($14.5 juta) untuk tayangan 24 hari di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei.
Sharnaaz menyimpan kenangan bermakna menjayakan francais filem aksi komedi yang berjaya di Malaysia.
“Kalau dahulu penerbit yang cari kita, ini kita yang gigih nak jadi sebahagian daripada francais filem hebat Polis Evo. Saya takkan lupa kerana sewaktu penggambaran dibuat, saya mengalami masalah kesejahteraan minda.
“Saya agak ‘down’ sebab kena hentam bermacam pihak dek proses perceraian saya dan bekas isteri, Noor Nabila Mohd Noor. Jadi emosi saya yang bercampur-baur itu saya berikan pada watak yang saya bawa, baik dalam drama televisyen atau Polis Evo 3 ini. Ia ‘menjadi’.
“Ketika itu, hidup saya hanyalah berlegar pada kegiatan di gimnasium seawal 7 pagi, makan tengah hari, masuk pejabat kalau ada kawan di sana dan kemudian balik rumah untuk tidur.
“Saya akan sibukkan diri saya dengan bekerja dan bersenam. Kalau tak kerana kegiatan sebegini, dah lamalah rasanya saya lelah sehingga membebani minda.
“Pendek kata, saya tak perlu berlakon dan setakat menjadi diri saya sendiri,” ujarnya.
Bagi Sharnaaz, tamparan hebat orang sekeliling dan warganet pada kehancuran mahligai yang dibinanya bersama Nabila selama tiga tahun benar-benar menguji dirinya.
Bagaimanapun, beliau dapat mengatasinya dengan sentiasa tidak mengabaikan tanggungjawabnya pada anak tunggalnya bersama Nabila, Jebat Jayden Ahmad, empat tahun.
“Orang tak tahu saya ayah yang manja dan penyayang. Saya cuma sayangkan anak saya dan buat apa sahaja untuknya. Jebat tetap ‘Nombor 1’, ‘Nombor 2’ dan ‘Nombor 3’.
“Justeru, kalau saya temui temanita kelak dan kemudian ada isteri, beliau harus terima dan sedar beliau akan jadi ‘Nombor 4’ selepas Jebat, Jebat dan Jebat.
“Saya tak kisah wanita itu suka tidak, boleh terima mahupun tidak. Perasaan itu takkan berubah sampai ke akhir hayat saya. Kalau pun Jebat kelak sampai usia 40 tahun, dia tetap saya anggap ‘Nombor 1’,” tambahnya.
Di sebalik adanya Jebat yang memerlukan perhatiannya, Sharnaaz menganggap jodoh itu ‘kerja Tuhan’. Beliau tidak mampu berkata apa-apa kecuali keredaannya bahawa Tuhan tahu yang terbaik untuknya.
“Saya dah bersedia nak ‘move on’ dan kalau ada jodoh, saya terima. Kita tak tahu apa-apa. Tengok bagaimana penuh kasih sayangnya Tuhan. Saya diberi dugaan perkahwinan. Tapi Allah beri saya nikmat lain yang saya syukuri.
“Kita pun tiada jawapan mengapa sesetengah perkara berlaku hinggalah beberapa bulan atau tahun mendatang. Saya ingat awal-awal dahulu termasuk ketika saya berlakon di Singapura, saya ada temanita. Ada beberapa temanita juga hadir dalam hidup saya.
“Kadang tertanya-tanya mengapa saya putus dengannya? Saya pada masa itu tak sedar Tuhan tahu apa yang terbaik buat saya. Lama-kelamaan saya reda. Kalau hubungan itu berlarutan, mungkin ada yang tak serasi atau masalah lain yang timbul.
“Kalau diketepikan perkara silam, Nabila selaku ibu Jebat tetap keutamaan saya dan saya akan selalu ada memberikan kata-kata galakan buatnya. Beliau mak pada Jebat.
“Saya hormati dan tidak masuk campur perihalnya dan suaminya. Kalau Nabila demam, saya pun pening juga dan akan khuatirkan keadaannya kerana beliau tunggak Jebat. Semuanya berbalik pada urusan kami berkongsi amanah menjaga Jebat,” ujar Sharnaaz.
Mengenai bakat lakonan semula jadi Jebat di Instagram, Sharnaaz tertawa seraya berkata anaknya itu kelihatan bersahaja dan bijak kerana berkawan dengan orang lebih dewasa daripadanya.
“Kalau Jebat nak ikut jejak saya, boleh sahaja. Dia nak jadi apa, saya akan sokong. Janji dia jadi manusia,” tambahnya yang sedang fokus pada filem selanjutnya arahan Syamsul Yusof, The Original Gangster.
Sharnaaz membawa watak Ryan dan diiringi pelakon handalan lain seperti Beto Kusyairy sebagai Haq, Hairul Azreen sebagai Que dan Soffi Jikan selaku Api.
Beliau teruja melakukan aksi nekad sendiri tetapi beberapa babak yang memerlukannya terjun dari tempat tinggi tidak diizinkan pengarah yang khuatir keselamatannya terjejas jika terjatuh dan cedera.
“Bukan apa... kalau kita dah cedera, urusan penggambaran pun tergendala. Tapi yang seronoknya, kita masing-masing ada pilihan aksi nekad. Beto sukakan babak dengan api. Saya pula suka melompat.
“Bekerja di bawah arahan Syafiq dengan Syamsul berbeza. Penjelasan Syafiq amat jelas. Beliau tahu apa yang beliau inginkan dalam sesuatu watak. Syamsul pula beri kami kebebasan mencorak dan menambah baik watak yang dibawa.
“Selepas kita buat, barulah beliau beri penjelasan,” tambah Sharnaaz.
Apakah formula jaya sesebuah filem? Pelakonnya atau jalan ceritanya?
Sharnaaz menambah:
“Kita harus pentingkan garapan lakonan beberapa bakat. Kalau pun seseorang pelakon hebat, jika beliau tiada sinergi dengan pelakon lain atau jalan cerita yang ditulis tidak melibatkan secara aktif penyertaan watak lain yang diberi tumpuan sama rata, filem itu payah nak berjaya.
“Itulah yang saya belajar selama 15 tahun dalam industri lakonan. Tak semudah ABC atau bukan perkara ‘chicken’ nak dibereskan. Perlu ada gabungan yang ‘ngam’. Ini bukan cerita Inspektor Khai dan Inspektor Sani sahaja. Bukan pasal heronya sahaja. Semua watak mustahak.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg