Topic followed successfully
Go to BHkuFriendster kembali secara rasmi pada 2026
Friendster kembali secara rasmi pada 2026
Friendster kembali secara rasmi pada 2026
Friendster, platform yang pernah menjadi pendahulu kepada gergasi laman sosial seperti Facebook dan Instagram pada awal tahun 2000-an, secara rasminya telah kembali pada tahun 2026.
Dikembalikan semula di bawah pembangunan Mike Carson, platform ini ini hadir dengan visi yang berlainan dengan mengutamakan hubungan dunia sebenar.
Walaupun laman sosial asal Friendster akhirnya diatasi oleh platform yang lebih baharu dan akhirnya ditutup pada tahun 2015, versi baharu ini direka untuk menjadi antitesis bagi platform yang lebih moden.
Konsep teras Friendster yang baharu adalah pengguna tidak boleh berhubung dengan sesiapa pun dalam talian melainkan mereka telah bertemu secara bersemuka, lapor laman Says.com.
Tersedia secara eksklusif di iOS melalui Apple App Store, aplikasi ini menghapuskan mekanisme cara berhubung yang terdapat pada kebanyakan platform moden.
Tiada bar carian, tiada senarai rakan yang dicadangkan dan tiada pilihan untuk menambah orang yang tidak dikenali.
Setelah mendaftar, pengguna bermula dengan ‘papan tulis’ kosong sepenuhnya, kerana tiada profil, foto lama atau data dari platform asal dikembalikan.
Untuk berhubung, dua pengguna mesti bertemu secara fizikal dan memulakan the tap, satu ciri yang mana mereka mendekatkan iPhone mereka bersama-sama atau bergantung pada jarak untuk menjadi rakan.
Jika pengguna belum bertemu seseorang secara bersemuka, individu itu tidak akan wujud dalam rangkaian Friendster mereka.
Sebaik sahaja sambungan berlaku, pengalaman pengguna akan beralih kembali kepada media sosial biasa.
Antara muka ini menawarkan perkongsian media sosial peribadi yang ringkas yang dikhaskan khusus untuk individu yang telah berhubung dengan pengguna.
Tiada iklan dan tiada spam.
Platform ini sengaja mengalih keluar semua metrik penglibatan awam, bermakna tiada tanda suka atau ‘likes’, tiada kiraan pengikut dan tiada ruangan bahagian komen awam.
Sambungan pada aplikasi ini turut direka bentuk untuk sementara waktu.
Jika pengguna tidak bertemu lagi dalam tempoh setahun, pautan digital mereka akan hilang secara beransur-ansur melainkan mereka menyambung semula secara bersemuka.
Laman sosial ini kembali pada masa media sosial moden yang lain menghadapi beberapa isu.
Antara yang paling banyak berlaku adalah kandungan yang dipacu algoritma, corak ketagihan mengguna media sosial dan toksik dalam talian.
