TAWAU: Detik mencemaskan berlaku di sebuah restoran apabila seorang lelaki didakwa cuba mencemarkan minuman seorang wanita, namun berjaya digagalkan oleh kepekaan kakitangan premis berkenaan.

Kejadian itu tular selepas pemilik Pate Grill House di Tawau, Sabah, berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di TikTok, memaparkan suspek menghampiri kaunter sebelum dipercayai menuangkan cecair misteri ke dalam minuman.

Menurut pemilik restoran berkenaan, situasi mencurigakan itu segera disedari oleh staf yang bertugas, lapor laman Says.

Tanpa berlengah, mereka bertindak tidak menghidangkan minuman tersebut dan menggantikannya dengan yang baharu.

Kemudian, dua orang staf dilihat membawa wanita terbabit ke tandas bagi memaklumkan perkara sebenar

Wanita itu dikatakan hanya mengenali lelaki berkenaan beberapa hari sebelum kejadian.

Selepas mengetahui apa yang berlaku, dia terus meninggalkan restoran demi keselamatan diri.

Pemilik restoran memuji tindakan pantas pasukannya yang bukan sahaja peka, malah berani bertindak dalam situasi berisiko.

“Ini mungkin nampak kecil, tetapi ia boleh jadi sesuatu yang sangat berbahaya,” katanya.

Walau bagaimanapun, rakaman tersebut kini mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Ada yang mempersoalkan kesahihannya dan menganggap ia sekadar strategi pemasaran, namun ramai juga yang tampil memuji keberanian staf.

Dalam masa sama, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada, terutama ketika berada di tempat awam atau bersama individu yang baru dikenali.