Pasangan suami isteri, Fuad Rahman dan Tom, sepakat menerapkan didikan ukhrawi terbaik buat puteri sulung, Anggun.
Fuad, 45 tahun, berkata, beliau dan Tom, 37 tahun, mahu anak mereka yang kini berusia lima bulan itu mendapatkan pendidikan terbaik dan mampu bergelar ustazah pada masa hadapan.
“Keutamaan untuk anak adalah pelajaran dan saya juga mahu terapkan asas agama dalam diri Anggun. Sasaran untuk masa hadapan, saya mahu anak jadi ustazah.
“Saya memang dilahirkan sebagai pemuzik dan keluarga juga dalam bidang ini. Keluarga juga memang mengutamakan agama. Jadi, saya juga mahu jadikan anak seorang yang baik,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Bagaimanapun, Fuad tidak menolak sekiranya anaknya mahu terbabit dalam bidang muzik sepertinya dan Tom.
“Saya mahu anak lebih fokus agama dan saya mahu ajar pendidikan agama. Tapi, bila besar hendak jadi penyanyi dan bermain muzik boleh teruskan, tapi paling penting, pelajaran perlu seiring,” katanya lagi.
Sementara itu, Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram, berkata, beliau mula mendapat kesedaran untuk lebih menekankan aspek agama selepas berkahwin dengan Fuad.
“Sebelum ini, saya tak banyak menitikberatkan agama dan tak berapa ambil berat. Apabila berkahwin dengan Fuad saya banyak belajar perkara yang tak pernah tahu.
“Muzik adalah muzik, tapi saya mahu anak-anak tahu mengenai agama. Kalau boleh saya mahu sangat anak jadi ustazah. Mungkin saya bukan seperti itu, mana tahu anak ada rezeki ke arah lebih baik?
“Sebab dulu saya tak ambil peduli soal agama. Dulu saya banyak tak tahu dan sekarang dapat banyak belajar daripada Fuad.
“Jadi, saya mahu anak-anak juga mendapat kebaikan bersama,” katanya ketika ditemui selepas menjayakan, Konsert Rockestra Lagenda, di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, pada 21 Julai.
Dalam pada itu, Anggun dilahirkan pada 18 Februari.
Tom dan Fuad berkahwin di Batam, Indonesia pada 23 Februari 2023.
Pasangan itu pernah menjalinkan hubungan cinta pada 2005, namun ikatan terputus, lima tahun kemudian.
Hubungan Fuad dan Tom kembali bertaut selepas terbabit dalam program realiti, Gegar Vaganza Musim Kesembilan (GV9) pada 2022.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg