Topik diikuti
Pergi ke BHkuGalak anak membaca buku 15 minit sehari secara tekal
Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) mahu memupuk tabiat membaca secara tekal dalam kalangan warga Singapura dan akan melancarkan gerakan nasional lima tahun, ReadSG, pada September untuk mencapai matlamat itu.
Namun apakah yang dimaksudkan dengan membaca secara tekal dan mengapa penting untuk seseorang itu membaca secara tekal?
Semasa taklimat media bagi berkongsi tentang rancangan NLB itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NLB, Cik Melissa Tam, berkata membaca secara tekal bermakna membaca 15 minit sehari, setiap hari.
“Kami rasa 15 minit sehari adalah cara terbaik untuk mula membangunkan amalan itu.
“Kami tidak begitu menetapkan tempoh membaca yang tertentu.
“Kami cuma mahu orang ramai membaca secara tekal,” katanya.
Cik Tam menerangkan, apabila diamalkan secara tekal, membaca menguatkan keupayaan seseorang itu untuk memberi tumpuan, menyerap maklumat, berfikir secara kritikal, berimaginasi dan memahami dunia di sekeliling.
Tabiat membaca juga dapat menguatkan keupayaan seseorang untuk mengemudi landskap maklumat yang semakin kompleks, tambahnya.
“Ini amat penting terutamanya untuk anak-anak kita, yang sedang membesar dalam dunia di mana perubahan teknologi sering mengatasi keupayaan untuk menyesuaikan diri.
“Membaca membantu mereka berkembang secara kognitif dan emosi,” kata Cik Tam yang menyandang jawatannya pada November 2025.
Seperti kebanyakan tabiat baik, tabiat membaca seeloknya dipupuk sejak kecil.
Namun Cik Tam, ibu tiga anak, menekankan bahawa adalah penting untuk amalan membaca itu dimulakan sebagai sesuatu yang menyeronokkan, dan bukannya sesuatu yang kanak-kanak rasa mereka perlu lakukan.
Berikut beberapa cara, yang berkesan untuk saya dan saya yakin ramai ibu bapa lain, dapat menjadikan membaca kegiatan yang menyeronokkan buat anak-anak, hingga 15 minit terasa seperti sekelip mata.
Sediakan sudut membaca
Sudut ini tidak perlu mengambil banyak ruang dalam rumah.
Ibu bapa boleh memilih satu sudut dalam bilik tidur anak dan menyediakan rak kecil, sama ada yang diletak di atas lantai atau dipasang di tembok, dan meletakkan beberapa buku di situ.
Seorang kenalan saya berkongsi ‘hack’ atau panduan berikut:
Gunakan rak rempah-ratus atau spice rack yang dijual di Ikea pada harga $6.90 setiap satu sebagai rak buku.
Jika tiada ruang yang sesuai untuk rak, kotak atau bakul pun boleh digunakan untuk meletakkan buku-buku itu.
Sebaik-baiknya muka depan setiap buku menghadap ke depan bagi menarik perhatian khususnya kanak-kanak kecil.
Koleksi buku di rak juga boleh disegarkan setiap beberapa minggu, bagi mengelakkan si kecil daripada berasa bosan dengan buku yang sudah beberapa kali dibaca.
Beli buku tempatan, antarabangsa
Ibu bapa boleh membeli buku dalam talian atau di kedai buku.
Ada banyak judul untuk dipilih, seperti Goodnight Moon oleh Margaret Wise Brown; dan The Very Hungry Caterpillar oleh Eric Carle yang disukai ramai di serata dunia.
Namun, ibu bapa juga boleh pertimbangkan buku karya penulis tempatan seperti Karung Guni Boy oleh Lorraine Tan; dan Ada Biji Saga Di Dalam Saku Kami karya Maria Mahat.
Kedua-dua buku tempatan dan antarabangsa mempunyai kelebihan masing-masing.
Buku antarabangsa memperkenalkan pembaca cilik kepada budaya, tradisi dan gaya hidup berbeza.
Buku tempatan pula memaparkan persekitaran, pengalaman dan rujukan yang mudah difahami anak-anak.
Anak-anak saya sukakan buku, The Amazing Sarong oleh Quek Hong Shin, kerana ia menunjukkan pelbagai cara menggunakan sarung, seperti untuk mengangkat barang dan untuk dijadikan alas.
Selesai membaca, mereka bermain pula dengan kain batik dan kain pelekat datuk dan nenek mereka.
Ini adalah masa yang baik untuk menambah koleksi buku karya sastera Singapura (SingLit) kerana ibu bapa boleh membelinya menggunakan Pas Budaya SG.
Kunjungi perpustakaan awam
Ibu bapa boleh membawa anak-anak ke perpustakaan dan jadikan ia lawatan yang dinanti-nantikan.
Di perpustakaan, ibu bapa boleh membiarkan anak-anak memilih buku yang mereka minati.
Saya baru-baru ini mendapat tahu yang saya boleh meminjam buku menggunakan aplikasi NLB Mobile.
Ini bermakna saya tidak perlu lagi bersusah-payah mengangkat semua buku-buku yang ingin dipinjam ke stesen meminjam buku.
Setiap ahli perpustakaan boleh meminjam hingga 16 buku, dan buku yang dipinjam boleh diperbaharui dalam talian untuk tambahan pinjaman 21 hari.
Buku boleh dipulangkan di mana-mana perpustakaan awam dan saya amat menggalakkan ibu bapa agar melibatkan anak-anak ketika memulangkan buku.
Di perpustakaan Pasir Ris yang biasa kami kunjungi, anak-anak saya boleh memasukkan buku satu demi satu satu ke dalam 'bookdrop’ dan melihat buku-buku itu bergerak memasuki ruang perpustakaan.
Cara masa untuk membaca
Saya rasa, membaca bersama anak-anak selama 15 minit sehari adalah sasaran yang boleh dicapai.
Ibu bapa boleh membaca dua hingga tiga buku untuk kanak-kanak peringkat prasekolah dalam tempoh ini.
Mereka boleh mencari masa, misalnya, selepas makan malam atau sebelum tidur, untuk membaca bersama-sama.
Ibu bapa digalakkan membaca dengan kuat dan bersemangat, menggunakan suara berbeza untuk watak yang berlainan, agar anak-anak berasa teruja dan seronok mendengar cerita yang disampaikan.
Mereka boleh mencari buku berkaitan topik yang anak-anak minati seperti dinosaur, haiwan atau angkasa lepas.
Sebaik-baiknya, ibu bapa cuba mengelak daripada menanyakan terlalu banyak soalan tentang buku yang dibaca.
Cukup sekadar mengutarakan soalan terbuka seperti: “Apakah yang kamu rasa akan berlaku selepas ini?” dan “Apakah watak yang paling kamu minati?”
Selain itu, ibu bapa sendiri perlu membaca buku yang mereka minati di depan anak-anak, supaya si kecil dapat melihat yang membaca adalah kegiatan yang menyeronokkan.
