Pada September, Singapura akan meraikan Bulan Membaca Nasional yang pertama, dengan pelbagai inisiatif bagi menggalak orang ramai membaca dengan lebih kerap.

Salah satu daripadanya ialah Cabaran ReadSG, yang menghendaki peserta membaca 15 minit sehari selama sekurang-kurangnya 15 hari dalam sebulan.

Peserta cabaran ini boleh merakam sesi membaca harian mereka di wadah Tugasan AwamSG, atau CrowdTaskSG, untuk mengumpul syiling secara maya yang kemudian boleh ditukar kepada wang tunai.

Bulan Membaca Nasional merupakan antara usaha Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) di bawah gerakan nasional baru, ReadSG, yang juga akan dilancarkan pada September.

Jika ibu bapa mahu mengambil bahagian dalam cabaran ini bersama anak-anak mereka, sekarang adalah masa yang baik untuk mula ‘berlatih’.

Pustakawan Kanan, NLB, Encik Muhammed Shahril Shaik Abdullah, berkongsi bagaimana ibu bapa boleh memilih buku yang sesuai untuk si kecil.

Pustakawan Kanan, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Encik Muhammed Shahril Shaik Abdullah, berkongsi bagaimana ibu bapa boleh memilih buku yang sesuai untuk si kecil.
Pustakawan Kanan, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Encik Muhammed Shahril Shaik Abdullah, berkongsi bagaimana ibu bapa boleh memilih buku yang sesuai untuk si kecil. - Foto NLB

Pertimbangkan minat, keupayaan anak

Pemilihan buku yang sesuai untuk anak bergantung, pertama sekali, kepada minat mereka.

Jika seorang kanak-kanak berminat dengan haiwan, ibu bapa boleh membaca buku bergambar bersama mereka, seperti Bangau oh Bangau, atau Anak Ayam Bermain Dalam Hujan.

Kedua, ia bergantung anak anda jenis pembaca yang bagaimana.

Pembaca yang gemar membaca mungkin memerlukan sedikit galakan untuk meluaskan selera bacaan mereka dan membaca di luar genre pilihan biasa mereka.

Bagi pembaca awal, lebih penting untuk memilih buku yang sesuai dengan tahap pembacaan mereka supaya mereka tidak hilang minat membaca hanya kerana buku tersebut terlalu sukar.

Untuk kumpulan ini, ibu bapa boleh mencuba menggunakan buku bergambar tanpa perkataan dan mencipta cerita bersama anak-anak mereka.

Walaupun anak mungkin tidak mengenali semua perkataan, mereka tetap boleh menikmati cerita yang baik melalui ilustrasi.

Pilihan buku mengikut peringkat umur

Bagi kanak-kanak berusia 0 hingga 12 bulan, ibu bapa boleh bermula dengan buku konsep tentang warna, saiz, bentuk dan nombor, atau buku yang menunjukkan urutan kegiatan seperti memberus gigi, memakai pakaian dan sebagainya.

Pilih buku papan (board book) dengan ilustrasi yang terang dan jelas berlatarbelakangkan warna yang berbeza, atau yang mempunyai elemen buka-lipat (lift-the-flap), pop-up, atau sentuh dan rasa (touch and feel) bagi membantu bayi meneroka deria sentuhan dan mengenali pelbagai tekstur.

Bayi juga akan menikmati buku bergambar tanpa perkataan atau buku yang hanya mempunyai satu perkataan bersama ilustrasi yang menarik.

Bagi kanak-kanak berusia 1 hingga 3 tahun, pilih buku yang memaparkan objek atau situasi yang dekat dengan kehidupan harian mereka, seperti pergi ke sekolah, bermain di taman permainan atau mengunjungi pasar raya.

Bacakan buku dengan keselarasan bunyi dan rima, atau buku yang mempunyai frasa berulang kerana ini membantu mereka menjangka apa yang akan berlaku seterusnya.

Pilih buku dengan jalan cerita yang mudah dan watak yang biasa mereka kenali.

Bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun, pilih buku dengan jalan cerita yang lebih panjang dan kompleks, serta watak utama yang sebaya dengan anak anda.

Cuba pilih karya fiksyen realistik kontemporari yang menggambarkan situasi yang mudah dikaitkan oleh kanak-kanak.

Pada usia ini, ibu bapa boleh mula memperkenalkan buku bergambar yang menyentuh emosi, seperti kehadiran adik baru, lawatan ke doktor atau mengatasi kesedihan akibat kehilangan orang tersayang.

Contohnya termasuk Aimi Tidak Murung Lagi dan Kucingku Kuzy.

Pilih juga buku tanpa perkataan yang membolehkan anak menerangkan atau menceritakan tindakan dan peristiwa melalui ilustrasi, seperti Sebotol Hati.

Ketika membaca bersama, libatkan anak secara aktif dengan bertanya soalan, berbincang tentang apa yang berlaku dan membuat jangkaan tentang jalan cerita atau pengakhirannya.

Kenal pasti tahap kesukaran buku

Ibu bapa boleh mencuba peraturan lima jari.

Mulakan dengan membenarkan anak memilih buku yang mereka rasa akan mereka nikmati.

Minta anak membaca satu halaman di bahagian tengah buku dan mengangkat satu jari bagi setiap perkataan yang mereka tidak pasti atau tidak tahu.

Jika jumlahnya 0 hingga 1 jari, buku itu terlalu mudah.

Jika 2 hingga 3 jari, buku itu sesuai.

Jika 4 jari, buku itu mungkin agak mencabar.

Jika terdapat lima perkataan atau lebih yang mereka tidak tahu, ibu bapa boleh menggalakkan anak memilih buku lain yang mengandungi lebih banyak perkataan yang mereka kenali.

Perhatikan tema, nilai dan mesej dalam buku

Adalah penting untuk ibu bapa peka secara kritis terhadap tema, nilai dan mesej yang terkandung dalam buku yang dibaca oleh anak-anak mereka.

Mereka perlu memastikan buku tersebut mempunyai penutup atau pengakhiran yang baik.

Pada masa yang sama, ibu bapa tidak seharusnya memaksakan nilai orang dewasa mereka ke atas bacaan anak-anak, sebaliknya membantu perkembangan intelektual serta pembentukan cita rasa sastera yang baik melalui perbincangan tentang buku yang dibaca.

Apabila membaca bersama anak-anak, penting untuk ibu bapa memilih buku yang mereka sendiri sukai supaya minat dan semangat mereka terhadap buku dapat turut dikongsi.

Buku kanak-kanak merangkumi pelbagai genre fiksyen dan bukan fiksyen, yang dihasilkan oleh penulis daripada latar belakang, minat dan perspektif budaya yang berbeza.

Bagi pembaca muda (contohnya di bawah usia enam tahun), kami amat menggalakkan ibu bapa membaca bersama anak-anak mereka.

Selain menyokong perkembangan literasi awal dan membantu kanak-kanak memahami idea serta nilai dalam cerita, sesi bacaan bersama juga mewujudkan peluang bermakna untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Apabila anak semakin membesar dan menjadi pembaca yang lebih berdikari, penglibatan ibu bapa masih penting.

Berbincang dengan anak tentang apa yang mereka baca dapat membantu memperdalam pemahaman, menggalakkan pemikiran kritis dan mengekalkan kegembiraan membaca bersama.

Anak pilih buku kerana ada watak popular, kulit buku menarik?

Adalah penting untuk ibu bapa membenarkan anak-anak meneroka minat mereka sendiri selagi ia tidak mendatangkan mudarat kepada diri mereka atau orang lain.

Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah membantu meluaskan pilihan bacaan anak dengan memperkenalkan buku lain yang mempunyai jalan cerita atau watak yang serupa, sambil menawarkan alternatif dan memberi peluang kepada mereka untuk mengenali watak serta genre yang berbeza.

Pupuk pemikiran kritis, bincang cara berbeza akhiri cerita

Kanak-kanak mendapat manfaat daripada bimbingan orang dewasa yang teliti, sebagaimana dalam banyak aspek kehidupan yang lain.

Ketika memilih buku untuk anak-anak, ibu bapa boleh memberi perhatian kepada sebarang bentuk stereotaip jantina atau kaum, contohnya hanya kanak-kanak lelaki bermain kereta api dan lori manakala kanak-kanak perempuan bermain anak patung.

Manfaat membaca secara meluas ialah ia mendedahkan kita kepada pelbagai perspektif dan nilai yang membantu membentuk pertimbangan serta pemahaman kita sendiri.

Dalam berkongsi cerita rakyat tradisional yang mungkin masih mengandungi nilai yang kurang selari dengan kepekaan masyarakat hari ini, ibu bapa boleh mempertimbangkan untuk meminjam cerita versi diolah semula, iaitu cerita yang ditulis semula dengan pengakhiran yang berbeza, bersama-sama versi asalnya untuk dibaca dan dibincangkan bersama anak-anak.

Bagi memupuk pemikiran kritis, ibu bapa boleh bertanya kepada anak-anak bagaimana mereka akan mengakhiri cerita tersebut dengan cara yang berbeza.

Rujuk senarai buku, cadangan bacaan NLB

Ibu bapa boleh memulakan pencarian dengan mengunjungi perpustakaan dan berbincang dengan pustakawan dan melihat tajuk pilihan yang dipaparkan.

Ibu bapa boleh menggunakan aplikasi NLB Mobile untuk melihat cadangan bacaan di bawah ‘Bacaan Menarik Untuk Kanak-kanak’.

Ibu bapa juga boleh melayari laman web Discovereads NLB untuk melihat senarai pilihan 100 buku kanak-kanak yang wajib dibaca melalui pautan https://www.nlb.gov.sg/main/whats-on/melayu-programme

Semakan ringkas sebelum pinjam, beli buku

Ibu bapa boleh menyelak buku secara ringkas untuk memastikan jumlah teks dan ilustrasinya sesuai dengan usia serta keupayaan membaca anak.

Mereka juga boleh merujuk kepada senarai penulis dan penerbit buku kanak-kanak yang terkenal, sama ada tempatan atau serantau, yang sememangnya dikenali kerana menghasilkan pengalaman membaca yang baik untuk kanak-kanak.

Penulis Pustakawan Kanan, Lembaga Perpustakaan Negara.

“Apabila membaca bersama anak-anak, penting untuk ibu bapa memilih buku yang mereka sendiri sukai supaya minat dan semangat mereka terhadap buku dapat turut dikongsi. Buku kanak-kanak merangkumi pelbagai genre fiksyen dan bukan fiksyen, yang dihasilkan oleh penulis daripada latar belakang, minat dan perspektif budaya yang berbeza.”
Penulis.