Bahaya juga kalau perkataan yang sering digunakan sebagai cacian atau makian serta dianggap kesat itu disisipkan dalam sebuah lagu yang kian disukai ramai.
Inilah tamparan hebat yang perlu ditangani komposer dan penyanyi, Hael Husaini, 36 tahun, hingga terpaksa menjelaskan keadaan.
“Celaka itu bukan perkataan kesat, jadi kita cuba ubah mentaliti itu dengan menggunakan konteks betul, iaitu mahu tunjukkan malangnya diri ini diperkenalkan dengan seseorang yang tidak harus berada dalam hidup,” jelas Hael tentang perkataan ‘celaka’ yang dimuatkan dalam lagu terbarunya, Diam dalam portal Gempak.
Beliau memaklumkan pemilihan perkataan ‘celaka’ adalah disebabkan maknanya yang sebenar dan bukanlah bagi menggambarkan sebarang perkara yang bersifat tidak baik.
“Kalau ikutkan, sebenarnya perkataan ‘celaka’ disalahgunakan sedikit dalam kehidupan seharian.
“Sebab ‘celaka’ membawa maksud malang dan sebab itu dalam laporan dan penulisan berita, kita gunakan kecelakaan apabila mahu menggambarkan sesuatu tragedi.
“Saya minta maaf kalau perkataan itu agak kasar. Tapi kalau boleh, kita fikir penggunaannya daripada konteks berbeza dan positif,” ujarnya.
Dalam apa jua keadaan, lagu untuk pendengaran umum perlu juga ditapis liriknya agar tidak disalah faham membawa pengaruh yang negatif. Lebih-lebih lagi lagu dendangan penyanyi terkenal seperti Hael.
Takut-takut orang boikot, susah pula nanti!
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg