Cakaplah apa yang nak dicakap tentang dirinya yang disebut-sebut sebagai ‘anak emas’ Astro atau juri, baik Datuk Ramli MS ataupun Datuk Syafinaz Selamat.
Tidak mengapa jika ada yang masih menimbulkan perihal kononnya beliau berjaya kerana ‘ada kabel’ dengan Ramli yang dipanggil mesra selaku Tok Ram.
Penyanyi asal Singapura, Hady Mirza, 43 tahun, yang kini bersaing di pentas All Stars Gegar Vaganza enggan melayan sebarang andaian atau dakwa-dakwi yang boleh mencetus gejolak emosi.
Selepas persembahan memukaunya dalam konsert minggu keenam pada Ahad malam berjaya meraih pujian juri dan berada dalam tangga kedua pertandingan selepas Liza Hanim, Hady hanya mahu fokus bagi menghadiahkan persembahan terbaik pada minggu ketujuh Ahad ini dengan mempertaruhkan vokal yang membuat penonton terpaku menerusi lagu Romancinta nyanyian asal Mojo.
Begitulah reaksi Hady ketika ditanya Berita Harian (BH) mengenai cakap-cakap nakal yang melabelkan beliau sebagai ‘anak emas’ dalam pertandingan itu, lantaran dikatakan sering mendapat pujian juri terutama daripada Ramli yang juga berasal dari Singapura.
“Saya tak mahu fokus kepada komen juri... saya hanya nak fokus pada tugasan saya sebaik mungkin kerana setiap persembahan akan diulang tonton pada masa akan datang. Persembahan saya dalam GV6 pun masih diulang tonton oleh peminat sehingga hari ini.
“Jadi saya mahu beri yang terbaik supaya apabila menonton persembahan saya, mereka akan terinspirasi dan gembira. Yang lain-lain itu (soal anak emas), terpulang pada anda untuk menilai. Minggu depan saya nyanyikan lagu Romancinta, dendangan asal Mojo.
“Ia lagu yang amat mencabar bagi saya dan saya ingin fokus pada kemampuan vokal 100 peratus. Jika minggu ini ada diisi dengan tarian, minggu depan saya pertaruhkan vokal,” katanya sambil menguntum senyum ketika ditemui usai persembahan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor, pada Ahad malam.
Mengulas persembahan bertenaganya pada minggu keenam dengan mengalunkan lagu Hati dendangan asal penyanyi Malaysia, Hael Husaini, yang mendapat tepukan gemuruh penonton, beliau akur lagu itu tidak mudah untuk dibawakan.
Persembahan Hady melayakkannya mendapat markah sebanyak 76.5 peratus, meletakkannya di tangga kedua selepas penyanyi Malaysia dengan suara bernada tinggi, Liza Hanim, yang mengalunkan lagu Kris Dayanti berjudul Rembulan, dengan perbezaan mata tipis iaitu 76.75 peratus.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan saya dapat maklum balas, ramai yang suka. Sebenarnya ia lagu yang susah untuk saya bawa dalam pertandingan sebegini kerana ia agak teknikal. Ada rendah dan tinggi, lompatannya cepat dan payahnya di situ.
“Untuk menyanyi sambil menari itu bukan masalah yang besar kerana dengan latihan yang cukup ia berjalan lancar. Setiap hari saya berlatih dengan kumpulan penari yang disediakan Astro dan mereka semua memberi kerjasama cukup baik.
“Sebenarnya saya berasa selesa ketika di pentas. Itu yang penting sekali dalam sesebuah persembahan. Mungkin ada beberapa minggu sebelum ini saya kurang selesa, jadi impak persembahan agak kurang memikat.
“Tetapi hari ini saya sangat selesa dan apabila kita beraksi dengan selesa, alhamdulillah, baiklah hasilnya,” katanya yang setia ditemani isteri, Cik Nurjannah Nur Wahid.
Menurut Hady, walaupun mendapat komen positif juri, beliau tidak mahu leka dan menganggap semua peserta adalah pesaing terdekatnya.
“Ini ialah All Stars GV, juara bertemu juara, jadi semua pesaing hebat-hebat belaka. Semua ada ‘signature’ sendiri. semua memberi usaha sepenuhnya dan kita boleh nampak semua peserta meletakkan usaha dan komitmen.
“Jadi, siapa yang masih ada dalam pertandingan ketika ini adalah pesaing terdekat saya. Mungkin mereka pun anggap saya pesaing terdekat juga. Saya hormat pada semua penyanyi kerana semua hebat-hebat, itu paling penting,” katanya.
Minggu keenam GV10 menyaksikan seorang lagi penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, yang mempertaruhkan lagu Arjuna nyanyian asal kumpulan pop Indonesia, Dewa 19, berada di tangga kedua terakhir dengan 62 peratus, manakala Zamani Ibrahim atau Zamani Slam tersingkir dengan kutipan markah terendah, 56.5 peratus.
Bintang lain yang masih memberi saingan dalam All Stars GV ialah Azharina Azhar, Noryn Aziz, Ezad Lazim, Siti Nordiana, Nikki Palikat, Jaclyn Victor, Tomok dan Naqiu.
Hady juga berkongsi rasa syukur dengan sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi, terutama dari Singapura yang sanggup meredah perjalanan beratus kilometer, bersusah payah dan mengeluarkan belanja semata-mata untuk melihat beliau dapat memberi persembahan terbaik dan merangkul kejuaraan.
“Terima kasih banyak pada admin Kelab Peminat saya, Hadi United FC yang bersatu padu, sama-sama bantu kumpulkan peminat-peminat yang lain. Saya dan isteri tak akan mampu buat seperti apa yang mereka buat.
“Sediakan kemeja-T, edarkan tiket kepada ahli kelab, bawa sepanduk sokongan dan saya bahagia serta bersyukur dikelilingi peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang kerjaya seni saya. Terima kasih peminat di Malaysia dan Singapura,” katanya yang berhajat mengadakan majlis makan-makan bersama peminatnya nanti.
“
“Minggu depan saya nyanyikan lagu ‘Romancinta’, dendangan asal Mojo. Ia lagu yang amat mencabar bagi saya dan saya ingin fokus pada kemampuan vokal 100 peratus. Jika minggu ini ada diisi dengan tarian, minggu depan saya pertaruhkan vokal.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg