Sambutan ulang tahun Singapura yang ke-60 bukan sahaja meriah dengan perarakan dan bunga api, malah ia juga menjadi pentas fesyen yang memaparkan semangat kebangsaan negara.
Anggota Parlimen (AP) Singapura turut menggayakan baju bertema merah putih, melambangkan warna bendera negara ini.
Antara busana yang menawan ialah batik tulis, rekaan khas pereka tempatan, Ratianah Tahir.
Pakaian batik yang digayakan oleh AP Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi), Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) dan Cik Nadia Ahmad Samdin (GRC Ang Mo Kio) menampilkan corak yang halus, berseni dan bergaya.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Cik Nadia berkata beliau suka proses memilih batik yang kemudiannya dijadikan busana.
Sebelum ini, beliau pernah mengenakan baju kurung atau blaus, tetapi pada 2025, Cik Nadia memilih gaun panjang yang ringkas, dan dipadankan dengan selempang merah.
“Saya suka cap batik tulis ini kerana ia menampilkan burung bangau, yang sering ditemui di sini. Burung-burung itu sedang terbang, mencerminkan harapan saya agar Singapura terus melayang tinggi melepasi SG60,” katanya kepada BH.
Bagi Cik Hazlina pula, mengenakan batik tulis dua motif rekaan Ratianah melambangkan perjalanan Singapura dari masa lalu hingga kini.
Blaus merahnya menarik perhatian kerana menampilkan corak Marina Bay Sands di bahagian depan dan dataran lumpur di lengannya.
“Di belakang dan pada lengan kanan saya adalah pemandangan dari Sungai Singapura pada masa lalu. Di depan dan pada lengan kiri saya, Singapura hari ini, membuka jalan ke masa depan.”
Beliau turut berbangga menyokong perniagaan tempatan itu dan melengkapkan busananya dengan seluar daripada jenama Kaifiyyah.
Encik Sharael juga telah menggayakan persalinan batik moden merah berleher kolar mandarin dengan corak kontemporari yang memaparkan semangat patriotisme.
Bagi Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam pula, beliau melakukan sesuatu yang berbeza, dengan memilih untuk mengitar semula pakaian yang sedia ada.
“Tahun ini (2025), saya mengambil keputusan untuk memakai apa yang sudah ada dalam almari,” katanya di media sosial.
Beliau memadankan baju merah dengan tudung daripada pereka tempatan, Nara Dsign.
Warna merah, yang menjadi pilihan utama, bukan sahaja digayakan oleh menteri dan AP daripada parti pemerintah, malah turut dikenakan oleh anggota parti pembangkang daripada Parti Pekerja (WP), menyatukan semua di bawah satu warna patriotik.
Majoriti anggota WP memadankan baju merah bersama seluar hitam.
Kehadiran pemimpin dari negara jiran turut menambahkan sentuhan diplomatik pada NDP 2025.
Antaranya ialah Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menarik perhatian peminat jam tangan.
Menurut hantaran media sosial Revolution Watch, beliau menggayakan jam tangan mewah Patek Philippe Ref. 5167 Aquanaut Edisi Khas Singapura 2019.
Pada awalnya, jam tangan ini dijual dengan harga sekitar $33,500, tetapi kini harganya di pasaran terpakai mencecah lebih S$100,000 kerana ia adalah edisi terhad dan sangat didambakan oleh pengumpul.
Isteri Tunku Ismail, Che Puan Khaleeda Bustamam, juga mendapat perhatian dengan beg tangan kulit eksotik, Kelly Pochette daripada jenama mewah Hermes.
Menurut Cik L. Jana, pengurus besar di BJ Luxury – sebuah syarikat barangan mewah pramilik terkemuka di Singapura – beg tangan kulit eksotik seperti itu dianggarkan berharga dalam lingkungan $30,000 hingga $60,000 di pasaran, berdasarkan warna, keadaan dan usia beg tersebut.
Sementara itu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dikatakan mengenakan jam tangan mewah Patek Philippe Ref. 5711 Nautilus Tiffany, mencerminkan cita rasa tinggi dalam dunia horologi atau seni membuat jam.
Jam tangan ini mendapat status legenda apabila satu-satunya unit yang dilelong awam dijual pada harga mencecah AS$6.5 juta (sekitar $8.8 juta) untuk tujuan amal, menjadikannya antara jam tangan paling mahal di dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg