Walaupun bukan di Padang, Cik Siti Mislina Musa, 41 tahun, tetap teruja merasakan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan yang dibawa ke kawasan kejiranan.
Keluarga empat generasinya hadir bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-60 (SG60) atau Jubli Berlian di padang bersebelahan FutsalArena @ Yishun, pada petang 10 Ogos.
Mereka dapat melihat perarakan kenderaan tentera dari dekat dan menikmati suasana meriah, pengalaman baru berbanding menyaksikan pertunjukan bunga api dari jauh di Stadium Negara mahupun Marina Bay, sebelum ini.
Pada 2025, penduduk Singapura berpeluang menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan di lima kawasan kejiranan selain Yishun, iaitu di padang bersebelahan Bishan Junction 8, One Punggol, Wisma Geylang Serai dan di Stadium ActiveSG Bukit Gombak.
“Memang ramai orang, tapi suasananya menyeronokkan.
“Nampak semua orang dari pelbagai lapisan latar belakang turun padang sebagai rakyat Singapura untuk meraikannya bersama-sama. Kami rasa bangga.”
Dianggarkan sekitar 40,000 penduduk membanjiri Sambutan Hari Kebangsaan (NDP) di kawasan kejiranan Yishun, dari 4 petang hingga 9 malam
Di Yishun, orang ramai melihat beberapa seni pemasangan yang disiapkan penduduk kawasan itu, manakala pengunjung di Stadium ActiveSG Bukit Gombak berpeluang menyiapkan tanglung elektronik, menggunakan cahaya LED.
Sejumlah 6,000 tanglung untuk disenaraikan di dalam Buku Rekod Singapura.
Bagaimanapun, perarakan 60 kenderaan tentera dan pasukan Home Team melalui laluan tertentu menjadi daya tarikan utama.
Sebab, penduduk boleh merakam foto sekali gus sebagai kenangan.
Deruman enjin empat jet pejuang F-16, yang membuat lintas lalu sebanyak dua kali dalam corak Jubli Berlian antara 6 petang dengan 6.30 petang.
Kontinjen Kenderaan antara lain berhenti selama 90 minit di Pusat Tukaran Bas Jurong Town Hall, Sekolah Rendah Kranji, Sekolah Rendah CHIJ (Toa Payoh) dan Sekolah Menengah CHIJ dan Pusat Tukaran Bas Tampines Concourse.
Segmen ini merupakan antara yang paling dinanti-nanti oleh keluarga muda seperti Cik Selene Tung, 32 tahun, yang hadir bersama suami dan dua anak kecil mereka dari Woodlands.
Anak lelakinya yang berusia empat tahun amat meminati perbarisan dan telah berbulan-bulan lamanya menonton rakaman NDP sejak 2024.
“Di Padang memang meriah, tetapi bagi kanak-kanak kecil, meniti tangganya agak menyukarkan.
“Di sini lebih mesra keluarga dan mudah diakses. Sukarelawan turut membantu mengarah laluan dan memastikan pengunjung selesa,” kata beliau.
Bagi Cik Tung, kelebihan sambutan di kawasan kejiranan bukan sahaja pada jaraknya yang lebih dekat, malah peluang untuk berkumpul bersama jiran tetangga serta menikmati aktiviti masyarakat seperti persembahan dan acara kanak-kanak.
“Sudah hampir 10 tahun kami mencuba nasib dalam undian tiket NDP. Jadi bila dapat peluang sambut bersama di sini, ia amat bermakna,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg