Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Gegaran 5 fenomena seni antarabangsa

Susuli tamparan pandemik pada dunia hiburan, 'Squid Game', Adele, Bad Bunny antara yang tawar kesegaran
Dec 24, 2021 | 05:30 AM



BAK pepatah ada pelangi menanti selepas hujan, dunia hiburan sedunia yang lesu dek pandemik Covid-19 pada 2020 kelihatannya bangkit pesat dengan beberapa fenomena tahun ini.



Berita Harian menyenaraikan lima daripadanya yang mencipta sejarah malah mencetus kegilaan luar biasa di peringkat antarabangsa.



DRAMA BERHANTU 'SQUID GAME' FENOMENA TERBESAR NETFLIX



Apabila drama Korea, Squid Game, disiarkan di wadah penstriman Netflix mulai 21 September lalu, ia langsung memancing perhatian penonton dunia.



Dalam masa empat hari sahaja, drama arahan dan hasil tulisan naskhah Hwang Dong-hyuk tular di tangga pertama Netflix.



Ia membawa kisah penakatan 456 individu yang dibelenggu hutang-piutang lantas mengambil risiko bersaing dalam peraduan permainan kanak-kanak dengan kegagalan membawa pada kematian satu demi satu peserta.



Yang menjadi rebutan mereka adalah peluang meraih ganjaran kemenangan berupa 45.6 billion won ($52 juta).



Hwang mencipta Squid Game berdasarkan kesulitan kewangan yang pernah dialaminya serta melihat pada jurang atau ketaksamaan kelas yang ketara di Korea Selatan dan kapitalisme.



Anehnya, beliau siap menghasilkan skrip drama ini pada 2009 tetapi gagal mendapatkan syarikat penerbitan bagi melaksanakan projek ini hinggalah Netflix menunjukkan minat pada 2019 sebagai peluasan program asing yang disiarkannya.



Apakah yang membuatkan drama ini cukup istimewa sehingga Hwang, 50 tahun, dipilih akhbar The Straits Times sebagai Warga Asia Cemerlang 2021?



Kata penulis laman Adgully, Cik Nehal Shukla:



"Sebenarnya, menonton drama ini memberi semacam kesedaran ada sesuatu kegelapan dalam diri setiap manusia sampai tergamak membunuh atau tak kisah dibunuh kerana ingin melangsaikan masalah hutang.



"Setiap watak ada jerih payahnya atau kisah balik tabirnya. Ada yang menarik simpati penonton. Tiada wira dalam drama ini. Dalam keadaan terdesak, semua orang menampakkan sisi mereka yang kelam dan menakutkan.



"Tarikan Squid Game di peringkat dunia pula mungkin berpunca daripada kehidupan kita yang teruk terjejas oleh ancaman pandemik global di samping ancaman jangkitan virus yang selalu ada walaupun sudah menjalani vaksinasi.



"Kehidupan kini tidak menentu apabila terperuk dalam rumah buat tempoh yang panjang serta keperluan membuat penyesuaian kerana situasi yang biasa tak sama seperti dahulu."



Menurutnya lagi, siri ini juga menunjukkan betapa bingitnya warga Korea, khususnya golongan belia yang payah mencari pekerjaan, berumah tangga atau mempertingkat mobiliti.



Ia gambaran masa depan ekonomi yang suram dan tidak menentu, sesuatu yang bermain di minda ramai warga Korea.



KEMBALINYA SI SUARA EMAS ADELE DIANGGAP ANUGERAH



Penyanyi British bersuara emas, Adele Laurie Blue Adkins, 33 tahun, mungkin menyifatkan dirinya sebagai 'spesies yang kian pupus' dalam industri muzik sebab muncul di persada seni suara sebelum era penstriman muzik.



Namun, selepas enam tahun sepi tanpa lagu baru, Adele kembali dengan album berjudul 30 pada 19 November lalu yang memuatkan lagu 'hit' Easy On Me yang serta- merta menjadi terkenal serata dunia.



Album ini paling cepat mencapai status album paling laris tahun ini. Dalam minggu pertama ia diterbitkan sahaja, ia sudah dijual sebanyak 261,000 unit, jelas Carta Rasmi UK.



Adele diwawancara secara eksklusif oleh Oprah Winfrey mengenai kehidupannya kini sebagai ibu tunggal selepas perpisahan yang memeritkan. Wawancara itu adalah sebahagian konsert khas dua jam di Griffith Observatory, Los Angeles.



Pengkritik muzik laman Slate, Encik Chris Molanphy, yang juga pengacara podcast Hit Parade, berkata:



"Adele adalah penyanyi yang kian bertenaga, malah mutu vokalnya lebih baik daripada sedekad lalu.



"Beliau menjalani pembedahan tekak untuk membuang nodul tekaknya yang bermasalah 10 tahun lalu. Pada ketika itu, beliau di puncak jaya album 21. Selepas itu, suaranya malah kedengaran lebih baik."



Walau apa pun, peminatnya di Singapura, Shayanti Idris, 21 tahun, berkata:



"Saya rasa perkara paling menggembirakan tentang dunia hiburan 2021 adalah kembalinya Adele dengan album baru yang dinanti-nanti. Ia adalah anugerah terbesar buat peminatnya."



BAD BUNNY LAKU DI SPOTIFY, ATASI TAYLOR SWIFT DAN BTS



Tanpa mengeluarkan sebarang album tahun ini, rapper Puerto Rico dan bintang 'regeton', Bad Bunny adalah artis dunia paling laris dengan karyanya paling banyak distrim di gedung Spotify.



Menurut Spotify, Bad Bunny, atau nama sebenarnya, Benito Antonio Martínez Ocasio, 27 tahun, menerima lebih 9.1 bilion strim disusuli Taylor Swift dan boyband Korea, BTS.



Bad Bunny yang mula dikenali di wadah perkongsian muzik SoundCloud mendapat tawaran menjadi artis ketika bertugas sebagai 'bagger' (pembungkus barangan di pasar raya).



Nama pentasnya pula adalah sempena kegemarannya menggunakan pakaian arnab ketika kecil.



FILEM PALING UNTUNG, THE BATTLE AT LAKE CHANGJIN



Kalau dibincangkan tentang filem paling laris dunia, ramai yang mungkin cepat merumuskannya sebagai filem Hollywood.



Namun, tidak... bukan Spider-Man: No Way Home atau No Time To Die (James Bond).



Sebaliknya, filem paling banyak mengaut untung adalah filem termahal China, The Battle At Lake Changjin.



Ia dihasilkan atas arahan Parti Komunis dan merupakan filem perang epik yang menyorot perjuangan tentera Cina yang memenangi perang di Tasik Changjin.



Bajet yang diperuntukkan bagi filem ini adalah AS$200 juta ($272.76 juta) manakala kutipan 'box-office' filem ini pula mencecah AS$902.53 juta.



SENSASI TIKTOK, HASNAIN KHAN DARI INDIA



Peragawan dan sensasi TikTok paling terkenal di India, Hasnain Khan, 25 tahun, mempunyai 12 juta pengikut Instagram dan 15.7 juta pengikut TikTok.



Pemuda beragama Islam itu mula aktif sebagai pempengaruh sosial pada 2015. Beliau adalah pelakon 'lip-sync' atau suai bibir yang rajin menghasilkan klip video komedi dan romantis berdasarkan keratan filem Bollywood.



Kerana kepopularannya, beliau juga merakam video kecergasan yang sangat disenangi peminat mudanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >