Topik diikuti
Pergi ke BHkuGelang mewah ikonik abadi merentas zaman
Gelang mewah ikonik abadi merentas zaman
Barang kemas yang paling peribadi tidak semestinya yang paling menyerlah atau menonjol.
Sebaliknya, ia adalah barangan yang sentiasa anda gemari.
Musim ini, gelang direka bagi menyerlahkan keunikan peribadi dengan melapis dan menggabungkannya dalam paduan harmoni antara ikon warisan dengan rekaan klasik moden yang tiada duanya.
Dalam dunia barangan kemas, kemewahan sebenar terletak pada usaha membina koleksi yang menceritakan kisah anda sendiri.
Berikut antara jenama gelang yang disenaraikan majalah Her World:
Gelang Boucheron Quatre Classique
Diperkenalkan pada 2004, Quatre kini menjadi salah satu ikon Boucheron yang mendefinisikan jenamanya. Meraikan lebih 160 tahun kraf tangan Paris, Quatre tidak bergantung kepada logo yang jelas untuk membuat pernyataan.
Sebaliknya, gabungan tekstur yang unik pada gelang itu telah menjadikannya mudah dikenali – bukti kuasa reka bentuk yang penuh pertimbangan berbanding trend yang cepat berlalu.
Inilah jenis gelang yang akan anda pilih setiap hari, sama ada dipakai secara sendirian atau dilapiskan, dan yang akan kekal relevan untuk bertahun-tahun akan datang.
Gelang Chaumet Bee de Chaumet
Gelang Bee de Chaumet menampilkan salah satu simbol ikonik tertua jenama itu dalam rekaan moden untuk gaya harian.
Diinspirasikan oleh lebah, simbol Chaumet sejak era Napoleon, serta kesempurnaan geometri sarang lebah, bentuk heksagon yang kemas pada gelang itu menghasilkan reka bentuk yang lembut namun menyerlah.
Direka untuk dipakai sendiri atau digayakan secara berlapis atau cara ‘stacking’, gelang itu mudah dipadankan dan melengkapi koleksi barang kemas anda.
Gelang Cartier Love Unlimited
Gelang Cartier Love Unlimited mengolah semula salah satu rekaan paling ikonik jenama itu untuk generasi baharu.
Walaupun ia mengekalkan motif skru ciri khas yang telah mentakrifkan koleksi Love sejak 1969, ia berbeza daripada rekaan asal yang lebih tegar dengan siluet lebih fleksibel, membentuk selesa mengikut pergelangan tangan.
Bagi mereka yang menghargai warisan reka bentuk asal namun mahukan sesuatu yang lebih ringan dan serba boleh untuk dipakai setiap hari serta mudah digayakan secara berlapis, Gelang Love Unlimited menawarkan yang terbaik daripada kededuanya – menghormati sebuah ikon sambil memberinya sentuhan lebih moden.
Gelang Bvlgari Tubogas
Gelang Bvlgari Tubogas membuktikan bahawa reka bentuk hebat tidak akan pernah lapuk dek zaman.
Diperkenalkan pada 1940-an, siluet gegelung khas telah menjadi salah satu ciptaan jenama itu yang paling mudah dikenali.
Bagi 2026, Bvlgari memperkenalkan semula gelang itu dengan bentuk kontemporari yang terasa moden secara semula jadi.
Apa yang membezakan Tubogas ialah kelenturannya.
Dakapan semula jadi pada pergelangan tangan, menawarkan keselesaan mutlak dalam gaya yang tersendiri.
Sama ada dipakai secara sendiri atau dilapiskan seiring gelang lain, Tubogas merupakan pelaburan abadi yang menggabungkan warisan, inovasi dan gaya Italy.
