Nasi Ayam Hainan Sam Leong yang menjadi kegemaran ramai kini boleh dinikmati dengan harga berpatutan di kedai nasi ayam, Sam Leong St. Chicken Rice, yang baru mendapat sijil halal.

Jenama Nasi Ayam Hainan Sam Leong bermula sebagai gerai di pusat penjaja pada 1992.

Ia adalah hasil usaha seorang penjaja bergelar ‘Uncle Heng’, dan kini diubah menjadi kedai moden di 12 Verdun Road (sekitar kawasan Little India).

Dengan pensijilan halal yang diterima, nasi ayam Hainan itu kini boleh dinikmati oleh pelanggan Muslim.

Perkembangan terbaru kedai itu adalah hasil persahabatan antara Uncle Heng dengan pengasas Kumpulan Putien yang mengusahakan sajian Fujian, Encik Fong Chi Chung.

Sebagai pelanggan setia gerai Uncle Heng, Encik Fong menghargai pengalaman sajian yang membuka selera di situ.

Secara bersama, mereka ingin menghasilkan makanan bermutu, lantas Uncle Heng, memberi kepercayaan penuh bagi Encik Fong untuk memelihara dan meneruskan legasinya di bawah jenama Putien.

Jenama mapan itu juga mengendalikan restoran Putien dengan pengiktirafan bintang Michelin sebagai tanda kecemerlangan.

“Nasi Ayam Hainan adalah antara khazanah warisan Singapura yang merupakan sajian sederhana, namun dihargai.

“Nasi ayam kami telah bertahan dalam tempoh mencabar sejak 1992 tetapi kekal memenangi hati pelanggan dengan sajian ayam yang lembut, nasi yang wangi dan perisa yang menyegarkan.

“Sebagai pelanggan lama, saya berbesar hati untuk meneruskan legasi beliau (Uncle Heng).

“Mencapai pensijilan halal membolehkan kami mengekalkan warisan masakan sambil mengalu-alukan lebih ramai pengunjung untuk menikmati kegemaran sepanjang masa ini,” kata Encik Fong.

Sam Leong St. Chicken Rice tetap menepati warisan dengan ayam rebus atau panggang yang lembut, nasi wangi dimasak dalam stok ayam yang kaya perisa dan sos cili yang pedas dan terasa sedikit masam.

Nasinya terasa perisa bawang putih, minyak bijan dan daun pandan.

Sepinggan nasi ayam yang lazat dijual dengan harga $3.50, manakala set nasi ayam untuk seorang, disajikan dengan air limau dan juga tauhu rebus dalam sos soya, bermula pada $9.80.

Ia dibuka setiap hari, dari 8 pagi hingga 3 pagi, sesuai bagi pelanggan yang bangun awal dan pengunjung yang suka duduk bersembang sehingga dinihari.

Alamat: Sam Leong St. Chicken Rice, 12 Verdun House, Singapura 207278

Waktu Operasi: Isnin hingga Ahad, dari 8 pagi hingga 3 pagi

Nasi Ayam Hainan adalah antara khazanah warisan Singapura yang merupakan sajian sederhana, namun dihargai. Nasi ayam kami telah bertahan dalam tempoh mencabar sejak 1992 tetapi kekal memenangi hati pelanggan dengan sajian ayam yang lembut, nasi yang wangi dan perisa yang menyegarkan. Sebagai pelanggan lama, saya berbesar hati untuk meneruskan legasi beliau (Uncle Heng, penjaja generasi pertama jenama itu). Mencapai pensijilan halal membolehkan kami mengekalkan warisan masakan sambil mengalu-alukan lebih ramai pengunjung untuk menikmati kegemaran sepanjang masa ini.
 Encik Fong Chi Chung, pengasas Kumpulan Putien yang mengendali kedai nasi ayam, Sam Leong St. Chicken Rice.