Kebanyakan lagu yang dinyanyikan penyanyi veteran kelahiran Havana, Cuba, Gloria Estefan, daripada kumpulan Miami Sound Machine merupakan ciptaannya sendiri.
Bagaimanapun, sebuah lagu bermakna hasil karya John DeFaria, Jorge Casas dan Flay Ostwald, Get On Your Feet, meninggalkan kesan buatnya.
Ia adalah lagu yang memberi galakan kepada sesiapa sahaja yang pernah dilanda kesuraman hidup dan ingin bangkit semula demi merealisasikan impian.
Menurut laman Songfacts, lagu itu menjadi irama yang sinonim dengan dirinya hingga ke hari ini.
Ia adalah irama ‘wajib’ bagi konsert jelajahnya pada 1989 yang terhenti pada Mac 1990 apabila Estefan, kini 66 tahun, cedera teruk dalam satu kemalangan bas.
Beliau patah tulang belakangnya dengan besi dilekapkan pada bahagian belakang tubuhnya hingga ke hari ini.
Justeru, lagu itu mempunyai takrifan berbeza buat Estefan sewaktu beliau sendiri perlu bangkit daripada masalah kesihatannya yang mengambil masa yang lama.
Sewaktu proses pemulihan, beliau sempat menulis lagu bagi album, Into The Light, yang diterbitkan pada 1991.
DeFaria pula memberitahu lagu tersebut dihasilkan di dalam bas jelajah sewaktu mereka berkunjung dari satu lokasi konsert ke lokasi konsert yang lain.
“Saya mahukan sesuatu yang positif untuk dimainkan secara ‘live’,” katanya.
Dalam pada itu, lagu itu juga mencetus idea bagi muzikal Broadway berjudul, On Your Feet!, yang menceritakan tentang kehidupan peribadi dan perjalanan seni Gloria dan suaminya, Emilio Estefan.
Muzikal itu dipentaskan pada 2015 dan turut mengemukakan lagu, Don’t Wanna Lose You dan 1-2-3.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg