Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Glamping’ di Pulau Lazarus: Santai, lasak dan selesa

Isi masa lakukan kegiatan yang tak biasa, nikmati alam semula jadi dengan selesa
Dec 1, 2024 | 5:30 AM
Khemah untuk ‘glamping’ yang disediakan Into The Woods di Pulau Lazarus yang turut dikenali sebagai Pulau Sekijang Pelepah, lengkap dengan pelbagai kemudahan.
Khemah untuk ‘glamping’ yang disediakan Into The Woods di Pulau Lazarus yang turut dikenali sebagai Pulau Sekijang Pelepah, lengkap dengan pelbagai kemudahan. - Foto INTO THE WOODS

Sejak kebelakangan ini, saya kerap melihat ramai kawan dan pengguna media sosial berkhemah tetapi bukan dalam khemah biasa-biasa.

Rekaan dalaman khemah tersebut nampak serba lengkap dan agak mewah!

Kegiatan ini, yang semakin popular, dikenali sebagai glamping – gabungan perkataan ‘glamor’ dan ‘camping’ (berkhemah).

View post on Instagram
 

Tak sangka saya akhirnya juga berpeluang menikmati pengalaman tersebut!

Baru-baru ini, saya dan rakan saya dapat ‘rasai’ pengalaman ‘glamping’ tiga hari dua malam di penginapan Into The Woods di Pulau Sekijang Pelepah yang turut dikenali sebagai Pulau Lazarus. 

Pengalaman sulung saya ini sukar dilupakan dan sangat seronok, mentelah lagi saya belum pernah menjejakkan kaki di Pulau Lazarus.

Waktu daftar masuk ialah sekitar 2.30 petang, jadi saya tiba di Pulau Sentosa pada 2 petang. 

Khidmat feri disediakan untuk menghantar dan mengambil tetamu Into The Woods ke Pulau Lazarus pada waktu-waktu tertentu. 

Tiba sahaja di Pulau Lazarus, saya dijemput dengan kereta buggy ke khemah ‘mewah’ saya. 

Pada pendapat saya, perkataan ‘mewah’ pun kurang tepat untuk benar-benar menggambarkan kemudahan yang disajikan penginapan tersebut.

Saya terkejut dengan ruang luas, kelengkapan dan kebersihan di khemah itu.

Siap ada penghawa dingin! Angin sejuk yang menyapa wajah tatkala hari sedang panas terik terasa penuh nikmat.

Antara kemudahan asas yang disediakan ialah alat pengering rambut, ketuhar gelombang mikro, peti sejuk, perkakas, tong air (untuk mencuci), tuala, tikar, kerusi dan meja yang senang dialihkan dan katil besar. 

Pasti anda tertanya, di mana pula tandas? 

Mungkin salah satu kekurangan kecil yang saya dapati di penginapan ini ialah tandasnya perlu dikongsi bersama tetamu Into The Woods yang lain.

Mujur ia tidak begitu jauh dari khemah saya, sekitar lima minit jika berjalan kaki. 

Tandas terletak di luar khemah di Pulau Lazarus.
Tandas terletak di luar khemah di Pulau Lazarus. - Foto INTO THE WOODS

Bagaimana pula kalau perut lapar dan ingin mengunyah snek?

Berdekatan tandas terdapat sebuah kedai runcit, Sol by BDC, yang lengkap dengan pelbagai keperluan asas seperti makanan ringan, mi segera dan barang dapur. 

Namun, perlu maklum bahawa kedai runcit tersebut hanya dibuka dari Jumaat hingga Ahad dan cuti umum dari 10 pagi hingga 6 petang.

Kedai runcit Sol by BDC beroperasi dari hari Jumaat hingga Ahad dan cuti umum dari 10 pagi hingga 6 petang.
Kedai runcit Sol by BDC beroperasi dari hari Jumaat hingga Ahad dan cuti umum dari 10 pagi hingga 6 petang. - Foto DIAN A’QIDAH AHMAD YATIM

Terdapat juga ruang komunal, bernama Suhka Lodge, bersebelahan khemah saya. 

Di situ ada pelbagai buku dan permainan. 

Banyak kerusi dan meja yang boleh digunakan jika berkhemah dengan kumpulan lebih besar.

Ruang komunal menawarkan pelbagai permainan.
Ruang komunal menawarkan pelbagai permainan. - Foto INTO THE WOODS

Justeru sejujurnya anda tidak akan bosan.

Setelah berehat seketika, saya bersiap sedia untuk melakukan kegiatan di laut. 

Buka sahaja pintu, mata saya disajikan pemandangan laut yang sungguh menakjubkan! 

Hanya jalan kaki tiga minit sudah sampai ke Lazarus Sea Sports Centre (LSSC). 

LSSC menawarkan pelbagai kegiatan seperti kayak, sea bicycle dan stand-up padleboarding. 

Disebabkan kesuntukan, saya memilih berkayak selama sejam. 

Memandangkan diri ini tidak berani mendayung jauh, saya berpusing-pusing di kawasan yang sama sahaja. 

Namun, untuk mereka yang baru berjinak-jinak seperti saya, berpusing-pusing di situ lebih daripada mencukupi!

Salah satu kegiatan yang ditawarkan oleh Lazarus Sea Sports Centre (LSSC) adalah kayak.
Salah satu kegiatan yang ditawarkan oleh Lazarus Sea Sports Centre (LSSC) adalah kayak. - Foto DIAN A’QIDAH AHMAD YATIM

Saya seronok dapat menikmati angin sepoi-sepoi dan alunan muzik yang kedengaran dari kapal layar di situ. 

Setelah puas berkayak, saya ke tandas untuk mandi dan siap untuk bermalam di khemah saya.

Sol by BDC telah menyediakan beberapa daging perap halal dibakar. 

Kalau bab makan, terutama bagi barbeku, saya memang pakar! 

Ayam, daging lembu, daging kambing dan sosej menjadi santapan saya malam itu. 

Sambil makan, saya berborak dengan kawan saya di pantai ditemani bunyi ombak yang sangat menenangkan. Itulah memori terindah sepanjang penginapan saya di sana. 

Daging perap barbeku yang disediakan Sol by BDC untuk santapan malam, dibakar menggunakan set barbeku mudah alih.
Daging perap barbeku yang disediakan Sol by BDC untuk santapan malam, dibakar menggunakan set barbeku mudah alih. - Foto DIAN A’QIDAH AHMAD YATIM

Sebaik sahaja habis makan, titisan air hujan mula membasahi saya!

Sebenarnya, saya merancang memerhatikan bintang berkerlipan di langit memandangkan suasana malam sungguh gelap. 

Malangnya, keadaan tidak mengizinkan dengan cuaca hujan. 

Sebaliknya, saya bermain permainan kad bersama kawan saya.

Masa berlalu dengan sangat pantas. Saya mula mengantuk gara-gara berkayak tadi.

Maklumlah, saya tak biasa lakukan kegiatan lasak!

Keesokan paginya, selepas bersiap dan mengemas barang untuk pulang, saya sarapan makanan segara yang juga disediakan Sol by BDC. 

Waktu daftar keluar pun hampir tiba jadi saya sekadar bersantai sahaja di dalam khemah. 

Ada juga terfikir untuk berkelah di pantai, tapi kerana pulau itu mesra haiwan peliharaan, ada tetamu lain yang membawa anjing mereka bersiar-siar. 

Oleh sebab itu saya tidak berani duduk lama-lama di pantai. 

Tepat 12 tengah hari, kakitangan penginapan tiba dengan kereta buggy untuk membawa saya ke jeti bagi perjalanan pulang ke Pulau Sentosa. 

Terima kasih Pulau Sekijang Pelepah atas pengalaman indah ini. Jika berpeluang, saya pasti akan kembali. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg