Ada yang sanggup membelanjakan ribuan dolar membeli peralatan khusus berkhemah.
Ada pula yang membayar lebih $300 semalam untuk khemah yang sudah siap dipasang, hampir setaraf dengan harga bilik hotel.
Bagi penggemar kegiatan berkhemah, kegiatan tersebut membolehkan mereka beristirahat sambil dikelilingi alam semula jadi serta meluangkan masa dengan orang tersayang.
Malah, kegiatan berkhemah juga menawarkan peluang kepada mereka untuk melarikan diri daripada kesibukan kerja dan menghilangkan tekanan.
Demikian menurut beberapa penggemar kegiatan berkhemah yang ditemui Berita Minggu (BM) di Taman East Coast baru-baru ini.
Menjawab pertanyaan BM, Lembaga Taman Negara (NParks) mendedahkan ia telah meluluskan lebih 42,000 permit perkhemahan pada 2024 sehingga 18 September.
Untuk 2022 dan 2023 antara 50,000 dan 70,000 permit telah diluluskan NParks.
Ternyata, kegiatan berkhemah kekal sebagai kegiatan popular, dan permintaannya kian meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Bagi Cik Norbaizura Abdullah, 34 tahun, seorang suri rumah, berkhemah adalah cara untuknya meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga sambil menikmati ketenangan alam semula jadi.
Keluarga besarnya, terdiri daripada sekitar 40 anggota, membelanjakan hingga $4,000 termasuk membeli peralatan perkhemahan berjenama seperti Blackdog, untuk memastikan pengalaman perkhemahan bermutu tinggi.
Mereka sekeluarga sudah melakukan kegiatan berkhemah sebanyak enam kali sejak kali pertama melakukannya pada 2023.
“Kegiatan berkhemah memberi kami peluang untuk meluangkan masa bersama sambil bersantai dan hilangkan tekanan.
“Untuk kanak-kanak, mereka boleh main pasir, mandi di laut, atau berbasikal. Untuk si dewasa pula, kami boleh bersantai dan berborak sambil menghirup udara segar,” jelas Cik Norbaizura.
Walaupun mereka baru sahaja mula bergiat dalam kegiatan berkhemah, Cik Norbaizura berkata keluarganya hanya menggunakan peralatan berjenama untuk memastikan pengalaman yang selesa ketika berkhemah.
Keluarga beliau biasanya membuat perjalanan bersama ke Johor Bahru untuk membeli peralatan perkhemahan di kedai CampGuru.
Bagi penggemar alam semula jadi, Encik Mohamad Hafiz Sulaiman, berkata kegiatan berkhemah juga membuka peluang baginya melibatkan diri dalam kegiatan luar yang lain seperti memancing.
“Pada waktu malam, apabila tidak ramai orang, saya akan pancing, hanya sekadar untuk melepaskan masa,” kongsi beliau.
Encik Hafiz, 39 tahun, yang bertugas sebagai jurutera Sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (Scada), lazimnya akan berkhemah bersama keluarganya pada hujung minggu atau cuti sekolah.
Beliau berkongsi bahawa beliau mula minat berkhemah sejak zaman sekolahnya dahulu, tetapi hanya mula berkhemah dengan lebih kerap apabila usianya mencecah awal 30 tahun, kerana ingin bersantai selepas sesi barbeku bersama keluarga.
Beliau mendapatkan peralatan serba lengkap untuk kegiatan berkhemah seperti khemah, meja, serta tilam di kedai dalam talian ataupun di Decathlon, kedai yang menjual barangan sukan dan perkhemahan.
Beliau juga mendapatkan kerusi terpakai semurah $5 melalui Carousell, aplikasi di mana individu boleh menjual dan membeli barangan terpakai.
Trend perkhemahan mendapat perhatian warganet baru-baru ini, apabila pengguna memuat naik video pengalaman mereka berkhemah.
Bagi Cik Norbaizura, beliau gemar mengikuti trend untuk mencari idea bagi kegiatan keluarga.
“Kami suka ikut trend terkini. Beberapa tahun lepas, trend berbasikal menjadi sohor kini, jadi kami masing-masing pun beli basikal.
“Kini pula, kami melakukan kegiatan berkhemah selepas melihat lebih ramai orang berkhemah di tepi pantai,” jelas Cik Norbaizura.
Sementara itu, ada juga yang pilih untuk mendapatkan khidmat memasang dan menyediakan peralatan berkhemah, terutama bagi mereka yang berkhemah sekali-sekala.
Syarikat Tonnmalam mengenakan bayaran sekitar $60 hingga $375 semalam untuk memasang dan menyiapkan khemah serta peralatan berkaitan, seperti kerusi, tilam, lampu dan kipas.
Ada pula yang lebih minat berkhemah dalam suasana mewah atau glamping, dengan khemah yang sudah siap dipasang, tilam empuk, dan hiasan dalaman yang estetik, menawarkan pengalaman perkhemahan tanpa mengabaikan keselesaan.
Tinjauan BM menunjukkan khidmat glamping di Taman East Coast boleh mencecah lebih $300 semalam.
Glamping di Into the Woods yang terletak di Pulau Sekijang Pelepah atau Lazarus Island menawarkan ‘khemah’ yang mempunyai pendingin hawa dengan harga bermula $380 semalam.
Menjawab pertanyaan BM, Penguasa Tanah Singapura (SLA) berkata ia telah mengeluarkan permit berkhemah di Lazarus Island sejak 2018, serta Pulau Hantu pula sejak 2017.
Sejak 2022, lebih 500 permit berkhemah dikeluarkan setiap tahun bagi Lazarus Island, dan 80 permit setiap tahun bagi Pulau Hantu.
“
Kegiatan berkhemah memberi kami peluang untuk meluangkan masa bersama sambil bersantai dan hilangkan tekanan. Untuk kanak-kanak, mereka boleh main pasir, mandi di laut, atau berbasikal. Untuk si dewasa pula, kami boleh bersantai dan berborak sambil menghirup udara segar.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg