Sebelum ini, pelakon legenda India, Govinda Arun Ahuja, tidak banyak membicarakan tentang kejadian beliau tertembak dirinya sendiri pada 1 Oktober sehingga perlu dirawat di hospital.
Bagaimanapun, bintang yang pernah menjadi ahli politik dan berusia 60 tahun itu kini, mengadakan satu sidang media sejurus sahaja dibenarkan pulang dari hospital pada 4 Oktober.
Dalam laman web, The Indian Express, beliau berkata: “Saya tak percaya dengan apa yang berlaku. Lukanya dalam. Saya terkejut seketika.
“Sewaktu kejadian berlaku, saya seorang diri antara 4.45 dengan 5 pagi. Saya bersiap sedia untuk pergi ke lokasi satu acara di Kolkata.
“Entah bagaimana pistol saya terjatuh ke lantai dan tertembak sendiri. Saya terkejut kerana tiba-tiba banyak darah di kaki. Pelurunya mengena kaki saya.
“Saya tak mahu kejadian ini dikaitkan dengan sesiapa sehingga menyusahkan orang lain. Saya rakam beberapa klip video sebelum saya menghubungi rakan saya untuk menghantar saya bertemu Dr Agarwal di Unit Jagaan Rapi di sebuah hospital.”
Apabila ditanya mengapa beliau perlu memiliki pistol berpeluru yang berlesen, Govinda awalnya tidak menjelaskan sebabnya, sebaliknya berkata beliau cuai sehingga terjadinya peristiwa itu.
“Saya kelam-kabut pada pagi itu dan memang jenis yang cuai dan tak berhati-hati.
“Ingatkan takkan terjadi apa-apa. Siapa sangka pistol itu boleh terjatuh dan dengan sendirinya menembak kaki saya.
“Saya harap kejadian ini akan menjadi iktibar kepada orang lain agar berwaspada. Jadikan pengajaran,” ujarnya.
Apabila didesak lagi dengan pertanyaan mengapa pistol itu perlu dipegang di dalam tangan, Govinda menjawab:
“Apabila anda terkenal, ia bak terjadinya satu kebakaran yang membahayakan ke mana-mana anda pergi di serata dunia.
“Sebanyak mana orang yang menyukai dan meminati anda, ada juga yang cemburu dengan pencapaian anda. Persaingan dalam dunia lakonan agak sengit.
“Saya perlu melindungi diri saya tetapi kejadian ini tidak wajar dikaitkan dengan sesiapa atau apa jua perkara. Usah disalahtakrifkan.”
Beliau kemudian berterima kasih kepada orang ramai yang mengingati, menyokong dan mendoakan kesihatannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg