Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Grand Hyatt dibuka semula dengan wajah baru, tonjol ciri kemampanan

Tawar 699 bilik dan suite yang direka semula, hab kesejahteraan luas, serta 16 ruang acara
Sep 21, 2025 | 5:30 AM
Grand Hyatt Singapore, deluxe room
Bilik Deluxe dengan katil King di Grand Hyatt Singapore seluas 581 kaki persegi, luas dan selesa, lengkap dengan sofa, sudut membaca dan meja makan – sesuai untuk berehat atau bersantai bersama keluarga. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Setelah bertahun lamanya menjalani kerja ubah suai, Grand Hyatt Singapore, hotel ikonik yang sudah bertapak selama 54 tahun di Orchard Road, akhirnya dibuka semula sepenuhnya, menawarkan tetamu pilihan pengalaman bandar mahupun suasana nyaman dikelilingi kehijauan.

Pembukaan semula bertahap ‘Terrace Wing’ pada Julai 2024 memperkenalkan satu penginapan tenang dan diilhamkan alam semula jadi yang mencerminkan identiti Singapura sebagai bandar dalam alam semula jadi.

Pada Julai 2025, ‘Grand Wing’ yang telah diperbaharui pula dilancarkan.

Kini, hotel tersebut menawarkan 699 bilik dan suite yang direka semula, hab kesejahteraan yang luas, serta 16 ruang acara – menjadikannya destinasi sehenti buat penduduk tempatan dan pelancong yang mendambakan kedua-dua kesegaran dan inspirasi.

Pada 2024, saya berpeluang menginap di ‘Terrace Wing’, dan baru-baru ini, mencuba pula pengalaman bermalam di ‘Grand Wing’ dalam bilik Deluxe dengan katil King.

Sebaik sahaja melangkah masuk bilik seluas 581 kaki persegi itu, saya terpegun dengan suasana nyaman bilik yang menyambut saya dengan mesra.

Palet warna coklat dan lantai kayu ‘walnut’ dipadankan dengan perabot berkilat, menjadikan biliknya terasa nyaman, moden dan mewah.

Susunan ruangnya juga bijak, dengan sofa luas yang boleh dijadikan katil, sudut membaca atau menyiapkan tugasan, serta meja makan yang luas – sesuai untuk berehat, bekerja atau menjamu selera bersama orang tersayang.

Sudut bilik Deluxe dengan katil King di Hotel Grand Hyatt Singapore sesuai untuk tetamu membaca buku atau menghabiskan tugasan kerja.
Sudut bilik Deluxe dengan katil King di Hotel Grand Hyatt Singapore sesuai untuk tetamu membaca buku atau menghabiskan tugasan kerja. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Terserlah kemewahannya apabila saya memasuki bilik mandi yang lampunya memancar menerangi hiasan batu Patagonia.

Selain ciri bidet automatik (yang jarang tersedia di hotel berdasarkan pengalaman saya), terdapat juga tab mandi luas yang menjadi tarikan buat anak-anak saya yang asyik minta untuk berendam sahaja.

Penggunaan batu Patagonia dalam bilik mandi Deluxe dengan katil King.
Penggunaan batu Patagonia dalam bilik mandi Deluxe dengan katil King. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT
Tab mandi luas dan mewah ini menjadi tarikan utama dalam bilik Deluxe, sesuai untuk berehat dan berseronok bersama anak-anak.
Tab mandi luas dan mewah ini menjadi tarikan utama dalam bilik Deluxe, sesuai untuk berehat dan berseronok bersama anak-anak. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Keperluan dalam bilik? Memang serba lengkap termasuk televisyen LED bijak 65 inci, mesin membuat kopi dan teh serta tirai yang menggelapkan bilik sepenuhnya.

Saya juga tersenyum melihat beg kecil yang mengandungi syampu, sabun, losen badan jenama Appelles khas buat kegunaan anak-anak saya.

Beg kecil yang mengandungi syampu, sabun, losen badan jenama Appelles diberi khas untuk kegunaan kanak-kanak.
Beg kecil yang mengandungi syampu, sabun, losen badan jenama Appelles diberi khas untuk kegunaan kanak-kanak. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Perbezaan yang saya perhati dalam penginapan saya kali ini ialah kawasan ‘Grand Wing’ tertumpu kepada reka bentuk moden, menonjolkan kehidupan dalam bandar serta sentuhan yang menyerlahkan aspek kemewahan.

Di ‘Terrace Wing’ pula, ia bak resort dengan biliknya terletak berdekatan kehijauan, tumbuh-tumbuhan yang dihinggapi kupu-kupu, tasik ikan koi, zon taman yang memberi lebih tumpuan kepada kesejahteraan rohani tetamu.

Sewaktu tempoh penginapan saya, untuk mengakses kemudahan kesejahteraan dan kecergasan seperti gim, spa dan kolam renang, saya terpaksa turun ke lobi hotel menggunakan laluan di tingkat bawah menuju ke lif berasingan di hadapan air terjun buatan dalam hotel tersebut.

Ini kerana semua kemudahan tersebut terletak di bahagian ‘Terrace Wing’.

Walaupun saya difahamkan terdapat laluan yang menghubungkan kedua-dua bahagian hotel di tingkat empat, yang membolehkan anda mengelak kaunter daftar masuk yang sibuk di lobi hotel, ia masih belum dibuka lagi.

Dalam kunjungan singkat saya di Grand Hyatt, saya dan keluarga sempat bermandi-manda dalam ‘Wellness Pool’ atau Kolam Renang Kesejahteraan, lengkap dengan penyembur jet dan jakuzi.

Dengan kedalaman 0.9 meter, kolam itu sesuai untuk kanak-kanak.

‘Wellness Pool’ atau atau Kolam Renang Kesejahteraan, lengkap dengan penyembur jet dan jakuzi dengan kedalaman 0.9 meter di Grand Hyatt Singapore.
‘Wellness Pool’ atau atau Kolam Renang Kesejahteraan, lengkap dengan penyembur jet dan jakuzi dengan kedalaman 0.9 meter di Grand Hyatt Singapore. - Foto ihsan NUR HUMAIRA SAJAT
Bagi orang dewasa, terdapat kolam renang sepanjang 25 meter, sedalam 1.2 meter di Grand Hyatt Singapore.
Bagi orang dewasa, terdapat kolam renang sepanjang 25 meter, sedalam 1.2 meter di Grand Hyatt Singapore. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Bagi golongan dewasa, terdapat kolam renang sepanjang 25 meter, sedalam 1.2 meter dan ia terletak tidak jauh dari sana.

‘Cabana’ atau ruang peribadi yang kecil juga boleh didapati di serata kawasan kolam, dikelilingi landskap subur yang membantu menjadikan kawasannya redup.

‘Cabana’ atau ruang peribadi yang kecil juga boleh didapati di serata kawasan kolam di Grand Hyatt Singapore.
‘Cabana’ atau ruang peribadi yang kecil juga boleh didapati di serata kawasan kolam di Grand Hyatt Singapore. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Penggemar gimnasium juga tidak terkecuali kerana terdapat pusat kecergasan yang lengkap dengan pelbagai alat senaman seperti sawat injak (treadmill) dan angkat berat.

Spa Damai pula tersedia buat mereka yang ingin memanjakan diri, lantas melengkapi tawaran kesejahteraan hotel tersebut.

Lapar? Bufet halal StraitsKitchen menawarkan aneka hidangan yang lebih daripada cukup, dan sejujurnya, antara bufet kegemaran saya di Singapura.

Keistimewaan StraitsKitchen terserlah dengan hidangan enak belaka seperti laksa Singapura, nasi ayam, sate, popia basah dan roti naan yang dicecah dengan lauk ‘butter chicken’ iaitu gulai ayam mentega.

Aneka hidangan di bufet halal StraitsKitchen.
Aneka hidangan di bufet halal StraitsKitchen. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Dan tentunya setelah makan makanan India, teh tarik menjadi ‘penutup’ selera!

StraitsKitchen juga mempamerkan konsep dapur terbuka yang membolehkan pelanggan melihat cef menyediakan pelbagai hidangan tempatan seperti sate dan kepak ayam bakar.

Paling penting, tersedia ruang solat khas untuk pelanggan Muslim bagi memudahkan mereka menunaikan solat sebelum menjamu selera di sana.

Ruang solat di lobi Grand Hyatt Singapore.
Ruang solat di lobi Grand Hyatt Singapore. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Sebagai perintis dalam hospitaliti mampan sejak 2002, Grand Hyatt Singapore terus menerajui dengan inovasi berani.

Hotel tersebut menggunakan elektrik boleh diperbaharui secara sepenuhnya, mengendalikan sistem akuaponik yang menyalurkan sisa makanan untuk kegunaan di kebun, dan telah menghapuskan penggunaan botol plastik melalui loji pembotolan airnya sendiri.

Malah dalam bilik hotel saya, tersedia beberapa botol gelas mengandungi air putih yang boleh diisi semula lengkap dengan label ‘Thoughtfully Sourced, Carefully Served’ (Dipilih dengan teliti, dihidang dengan penuh hati-hati).

Tersedia beberapa botol gelas mengandungi air putih dalam bilik Grand Hyatt Singapore.
Tersedia beberapa botol gelas mengandungi air putih dalam bilik Grand Hyatt Singapore. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Dari sudut kulinari, aspek kemampanan juga diterapkan secara mendalam di semua restorannya, dengan amalan seperti memasak tanpa pembaziran dan penjejakan karbon bagi setiap hidangan.

Lebih 80 peratus sayur-sayuran organik diperoleh dari Cameron Highlands, Malaysia, selain ladang tempatan, termasuk Spore Gardens dan Plauts.

Selain itu, sebanyak 55 peratus makanan laut yang disajikan disahkan mampan dengan lebih 30 peratus herba yang digunakan di dapur dituai segar daripada taman bumbung hotel.

Kemampanan juga ditonjolkan dalam reka bentuk dalaman hotel tersebut yang menggunakan semula karya seni serta bahan tahan lama.

Sepanjang proses transformasi yang mengambil masa bertahun-tahun, hotel tersebut berusaha memastikan penggunaan semula bahan daripada reka bentuk asal dilakukan secara bertanggungjawab serta memperkenalkan teknologi mesra alam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg