Restoran bufet StraitsKitchen di Hotel Grand Hyatt yang terletak di Scotts Road, kini dibuka semula setelah hampir dua tahun ditutup untuk kerja pembaikan.
Terletak di tingkat satu, restoran itu masih di tempat yang sama, di bahagian belakang kaunter daftar masuk hotel tersebut.
Bagi mereka yang pernah makan di StraitsKitchen, bufet halal itu menawarkan pelbagai hidangan tempatan sajian Melayu, India, Cina dan Peranakan.
Keistimewaan StraitsKitchen terserlah dengan hidangan seperti laksa Singapura, nasi ayam, sate, popia basah dan roti naan yang dicecah dengan lauk ‘butter chicken’ iaitu gulai ayam bersama mentega.
Pelanggan setempat mahupun pelancong boleh menikmati beraneka sajian hasil sentuhan cef daripada hotel lima bintang.
Satu lagi hidangan yang menjadi kegemaran ramai di bufet tersebut adalah minuman teh tarik.
StraitsKitchen akan menyiapkan tehnya hanya apabila dipesan agar pelanggan dapat menikmati teh itu apabila ia masih hangat.
Pelanggan juga dapat melihat buih di permukaan minuman, hasil daripada proses menarik, yang bermakna minuman itu baru sahaja disediakan.
Rasa teh tarik StraitsKitchen sangat kaya dan seimbang. Tidak terlalu manis atau pahit, dan rasa susunya menyerlah.
Melangkah masuk ke dalam restoran itu, pelanggan disambut mesra oleh kakitangan.
Suasana restoran itu membolehkan pelanggan rasa selesa dengan pancaran lampu agak redup.
Ia juga mempunyai hiasan dalaman yang menampilkan gabungan moden dan tradisional.
Terdapat teko pelbagai saiz di tembok yang turut berfungsi sebagai hiasan.
Antara lain, StraitsKitchen juga mempamerkan konsep dapur terbuka yang membolehkan pelanggan melihat cef menyediakan pelbagai hidangan tempatan.
Walaupun hotel itu melalui kerja pembaikan, restoran itu tiada perubahan secara fizikal.
Namun menunya, dari segi resipi, telah diperhalusi selama dua tahun ia tidak beroperasi.
Menurut ketua cef, Cef Nelson Wong, pasukannya telah mengambil masa untuk meningkatkan resipi hidangan mereka bagi memastikan ia lebih lazat daripada sebelum ini.
“Semasa penutupan (restoran), kami mengambil peluang untuk memperbaiki kraf masakan kami, bereksperimen dengan pelbagai perisa dan memperbaiki teknik.
“Tempoh penyelidikan dan pengembangan ini membolehkan kami memastikan bahawa setiap hidangan mempunyai standard masakan yang tinggi sambil melambangkan warisan masakan Singapura,” kata Cef Wong kepada Berita Harian (BH).
Cef Wong menambah bahawa restoran itu telah mempertingkatkan bufet dengan hidangan premium baru yang akan dikemas kini secara progresif, dengan hidangan istimewa seperti kari kepala ikan, udang telur asin dan juga kambing barbeku.
“Kami telah menumpukan kepada (usaha) mendapatkan bahan daripada sumber tempatan dan mampan, sejajar dengan visi Singapura. Sebanyak 30 peratus daripada bahan-bahan yang diperolehi adalah daripada sumber tempatan,” ujar beliau.
Lokasi restoran itu di bandar ikonik Singapura, menjadikannya tempat yang popular untuk penduduk tempatan dan pelancong yang ingin merasai kepelbagaian tawaran masakan Singapura.
Harga bufet bermula daripada $44++ untuk sarapan pagi hingga $88++ untuk makan malam untuk setiap dewasa.
Kunjungi pautan, https://bh.sg/straits untuk tempahan dan juga maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg