Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuru prasekolah lelaki bawa kepelbagaian, papar sifat penyayang, prihatin
Ubah tanggapan masyarakat dalam peranan sebagai pendidik, pengasuh
Guru prasekolah lelaki bawa kepelbagaian, papar sifat penyayang, prihatin
Apabila seorang lelaki memilih bekerja sebagai guru prasekolah, andaian paling lazim yang dibuat tentang mereka ialah mereka tidak berjaya mendapat kerja di tempat lain.
Atau, mereka cuma berguna semasa pendidikan fizikal atau kegiatan luar kelas, untuk membantu mengangkat peralatan berat.
Namun Encik Muhammad Hadi Kamal berkata keadaan telah banyak berubah sejak beliau pertama kali bergelar guru prasekolah lebih sedekad lalu.
“Semasa saya mula menceburi bidang ini, orang sering bertanya, ‘mengapa prasekolah?’, dengan nada seolah-olah saya telah tersalah memilih bidang kerjaya,” kongsi ketua pusat di Iyad Perdaus Hougang itu.
“Kini, soalan itu lebih didorong oleh rasa ingin tahu berbanding sikap menilai.
“Ibu bapa juga semakin terbuka, manakala rakan sekerja melihat pendidik lelaki sebagai sebahagian daripada pasukan, bukannya sesuatu yang luar biasa,” tambahnya.
Anak muda berumur 33 tahun itu menjadi guru prasekolah pada 2013 selepas tamat pendidikan di politeknik dalam jurusan pengajian awal kanak-kanak.
Sejak itu, beliau telah bekerja di pusat Pengendali Utama (AOP), pusat Pengendali Rakan Kongsi (POP) dan pusat privet sebelum menyandang jawatan kepimpinan pusat.
Lulusan Sarjana Pendidikan (Awal Kanak-Kanak) dari Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu juga telah menubuhkan kumpulan Men in Preschool SG (Lelaki di Prasekolah SG) bersama kawan-kawannya pada 2019.
Ini kerana beliau berasa bersendirian sebagai guru prasekolah lelaki pada waktu itu.
Misi kumpulan itu, yang kini mempunyai lebih 50 anggota, ialah untuk menyokong, menghubungkan dan memperjuangkan penglibatan lelaki dalam pendidikan awal kanak-kanak, serta mengubah tanggapan masyarakat terhadap lelaki dalam peranan sebagai pendidik dan penjaga.
Namun, keadaan hari ini berbeza berbanding waktu kumpulan itu ditubuhkan.
Pada 2025, terdapat sekitar 300 pendidik awal kanak-kanak lelaki, naik hampir 60 peratus daripada sekitar 190 pada 2021.
Pendidik lelaki bagaimanapun cuma membentuk sekitar 1 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja dalam sektor itu.
Encik Muhammad Hadi berkata beliau sangat mengalu-alukan perkembangan tersebut dan berharap bilangan pendidik prasekolah lelaki akan terus bertambah.
Beliau menyebut beberapa perkara yang memacu perubahan itu seperti laluan kerjaya lebih jelas dan gaji lebih baik.
“Dengan mengambil kira keperluan tenaga kerja dalam sektor ini, kita tidak boleh mengetepikan lelaki sebagai golongan yang berpotensi untuk menceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak.
“Selain itu, bapa muda pun lebih terlibat di rumah, jadi idea seorang lelaki sebagai penjaga rasa kurang janggal.
“Namun begitu, matlamatnya bukan terletak pada angka sahaja. Lelaki perlu kekal, berkembang dan rasa yang mereka diterima,” ujarnya.
Dengan bilangan guru prasekolah lelaki yang meningkat, Encik Muhammad Hadi menekankan seorang guru itu cemerlang dalam tugasnya bukan kerana jantinanya tetapi kerana mereka dilengkapi kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan.
Bagaimanapun pendidik lelaki tetap membawa sesuatu yang luar biasa bersama mereka, iaitu kepelbagaian.
Encik Muhammad Hadi berkata kepelbagaian itu terserlah apabila kanak-kanak melihat seorang lelaki membacakan cerita, memujuk anak yang sedang menangis atau melakukan pelbagai kegiatan bersama mereka.
Mereka belajar bahawa sifat penyayang dan keprihatinan adalah nilai kemanusiaan yang dimiliki oleh semua orang, bukan hanya kaum wanita.
Ramai pendidik lelaki juga membawa pendekatan yang tersendiri dalam kegiatan fizikal dan permainan luar, yang penting untuk perkembangan kanak-kanak.
Selain itu, bagi keluarga, khususnya golongan bapa, kehadiran pendidik lelaki di prasekolah juga dapat memudahkan mereka untuk melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak.
“Sesetengah kanak-kanak mungkin tidak mempunyai sosok lelaki yang konsisten dalam kehidupan di rumah. Dalam hal ini, kami dapat menjadi sosok lelaki yang selamat dan positif dalam kehidupan mereka.
“Kami juga berpeluang membimbing kanak-kanak memahami batasan dan interaksi yang sesuai antara lelaki dengan perempuan,” kata Encik Muhammad Hadi.
“Paling penting, kami ingin menunjukkan kepada kanak-kanak bidang pendidikan prasekolah bukanlah kerjaya yang dikhususkan untuk wanita sahaja,” tambahnya.
“
“Semasa saya mula menceburi bidang ini, orang sering bertanya, ‘mengapa prasekolah?’, dengan nada seolah-olah saya telah tersalah memilih bidang kerjaya. Kini, soalan itu lebih didorong oleh rasa ingin tahu berbanding sikap menilai. Ibu bapa juga semakin terbuka, manakala rakan sekerja melihat pendidik lelaki sebagai sebahagian daripada pasukan, bukannya sesuatu yang luar biasa.”