Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

GV8: Nikki Palikat atasi Aliff Aziz di tangga pertama dengan 0.9 peratus; Nico G peserta pertama tersingkir

Dec 06, 2021 | 01:26 AM



JURI jemputan Datuk AC Mizal menyifatkan suara peserta Gegar Vaganza 8 (GV8), Aliff Aziz, sebagai mempunyai karakter yang bersesuaian dengan lagu rok Kasihnya Laila yang disampaikan pada Konsert Ketiga GV8 pada Ahad (5 Disember).



Datuk Syafinaz Selamat selaku juri tetap pula akui sudah jatuh hati pada suara merdu Aliff sejak diundang mengadili Anugerah 2007 di Singapura yang menempatkan Aliff sebagai juara pada usia 16 tahun. 



Manakala seorang lagi juri tetap, Hetty Koes Endang menganggap vokal Aliff sebagai 'gabrek' atau mantap.



Namun, harapan peminat penyanyi asal Singapura ini untuk melihat dirinya mencapai kejayaan 'hat trick' atau berjaya berada di tangga pertama Konsert GV8 buat tiga kali berturut-turut tidak kesampaian.



Sebabnya, rezeki pada malam Konsert Ketiga berpihak pada penyanyi berketurunan Tambunan, Sabah, Nikki Palikat, yang menduduki tangga pertama dengan markah 84.8 peratus. Ini adalah markah terkumpul tertinggi yang diberi pada peserta sejauh ini.



Nikki, 36 tahun, tampil dramatik ibarat menghidupkan satu muzikal tentang kesengsaraan kehilangan kasih dengan lagu yang disifatkan payah didendangkan iaitu Semalam, nyanyian asal Aina Abdul.



Aliff, 30 tahun, pula menampakkan peningkatan markah berbanding minggu lalu dengan mencatat 83.9 peratus (minggu lalu 81 peratus) tetapi ini belum cukup untuk mengatasi markah yang dikumpulkan Nikki.



Di tangga ketiga adalah Adibah Noor yang menyanyikan lagu balada Adele, All I Ask. Beliau meraih 81.3 peratus dengan ketua juri, Datuk Ramli MS memberitahunya, 'Ini baru menyanyi' manakala Hetty pula berkata tanpa menggunakan fon telinga, beliau sudah dapat menjiwai penghayatan Adibah meskipun sang penyanyi sendiri dengan penuh kejujuran dan kerendahan hati menyatakan beliau rasa kekurangan pada awal lagu ini dan juga ketika perlu melantun tinggi suaranya.



Suki Low tidak mengecewakan di tangga keempat dengan markah 78.6 peratus  menyusuli penyampaian lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Badarsila. Beliau dipuji Datuk Ramli kerana sebagai peserta bukan Melayu tetap dapat menyampaikan lenggok irama tradisional dengan baik.



Suki juga dipuji kerana sama-sama mendendangkan irama rap yang disisipkan pada lagu ini bersama anggota DeFam, Sophia Liana, maka ia memberi satu kesegaran pada lagu tersebut dengan beliau tidak berdiam sahaja di pentas.



Duo Sa-Ya menampakkan peningkatan menerusi lagu Better Man di tangga kelima dengan 73.7 peratus markah manakala Aweera mendapat 71.5 peratus melalui dendangan lagu Boneka dan penampilan ala pelawak klasik, Charlie Chaplin.



Upiak Isil berada di tangga ketujuh dengan 61.3 peratus melalui dendangan lagu Ratu Rok Ella, Retak. Menerusi lagu P. Ramlee, Nak Dara Rindu, Bandi menerima 60.1 peratus di tangga kelapan.



Shidee yang berusaha menyanyi ala Elvis Presley jatuh di tempat kesembilan dengan 58.3 peratus manakala Ani Maiyuni di tangga ke-10 dengan markah 58.1 peratus menerusi lagu Hadirlah Kekasih.



Di tangga ke-11 adalah Azan Scan yang menyanyikan lagu Ini Rindu dan menerima 54.8 peratus. Datuk Fazley Yaakob pula di tangga ke-12 dengan 54 peratus markah. Beliau menyanyikan lagu Yang Sedang-Sedang Saja.



Sementara itu, Nico G yang berada di tangga ke-13 dengan 50.1 peratus terpaksa akur pada kegagalan. Mereka disingkirkan pada Konsert Ketiga kerana markah paling rendah yang diterima.



Sementara itu, di Twitter wujud dua 'perbalahan' di alam maya. Sebilangannya memuatnaikkan ciapan yang menyatakan sepatutnya Fazley disingkir dan bukannya Nico G.



"Patutnya Fazley Yaakob tu yang kena singkir. Aduhhh. Spoil! Baru puji sikit GV8 ni best tengok dah jadi macam ini," tulis Faeeq.



Generasi Kucing dengan marahnya menambah: "Keluarlah Fazley. Kau tu bukan boleh nyanyi pun. Tak pun tarik diri jelah. Kejap penyanyi, kejap cef, kejap motivator...Nyanyi semput macam tu pun boleh terselamat. Setiap minggu rasa nak baling jer tv dengar suara kau."



Ada juga yang berasakan Aliff harus kekal di tangga pertama dan bukannya Nikki.



"Nikki 'power' tapi agak menjerit suaranya. Aliff, Kak Adibah, Sa-Ya, Suki terbaik!" tulis ERzda.



Aiensyamsul pula menambah: "Sis pilih Aliff Aziz 'the best' malam ini. Niki tu nyanyi macam menjerit aje."



Mempertahankan Nikki, DanCematuSaja menulis di Twitter:



"Jadi saya tidur sepanjang GV8 sehinggalah persembahan terakhir oleh Nikki (di mana beliau memberi versinya yang tersendiri dengan baik). Selepas itu, saya mula tengok dari awal dan saya kagum dengan kebolehan Suki menyanyikan lagu tradisional Tok Ti dengan sangat baik. Patutlah beliau menang One In A Million!"



Bagi Konsert Keempat GV8 pada 12 Disember ini, temanya adalah 'Berdiri Bulu Romaku', memberi gambaran pada lagu seram atau yang mampu membuat bulu roma naik.



Nikki ditugaskan menyanyikan lagu The Cranberries, Zombie. Aliff bakal melantunkan suara emasnya bagi menyanyikan lagu Slam, Jika Kau Rasa Getarnya. Adibah pula mendendangkan lagu Melly Goeslaw menampilkan Ari Lasso, Jika.



Lagu 'berhantu' Hael Husaini, Jampi, akan dipertaruhkan Suki manakala Sa.Ya pula ditugaskan mendendangkan lagu klasik P. Ramlee, Getaran Jiwa.



Aweera akan menyanyikan runut bunyi filem Lagenda Budak Setan, Bila Cinta, dendangan asal Gio. Upiak pula akan membawa anda ke zon sedih menerusi lagu Bunga Citra Lestari, Cinta Sejati.



Bandi Amuk pula akan mendendangkan lagu Iklim, Satu Kesan Abadi. Shidee pula membawa anda kembara nostalgia menerusi lagu Hati Yang Terluka, dendangan asal Broery Marantika.



Jika minggu ini Ani menyanyikan lagu Nora, minggu depan beliau akan mendendangkan lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Lebih Indah.



Azan pula akan mendendangkan lagu peringatan buat Datuk Sudirman Haji Arshad, Dir, nyanyian asal Rahim Maarof manakala lagu Datuk Hattan, Mahligai Syahdu, dinyanyikan Fazley.



Nota: GV8 disiarkan setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (Saluran Singtel TV, 608).



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >