Ramai yang menanti-nantikan konsert solo pertama juara Asian Idol, Singapore Idol dan Gegar Vaganza 6, Hady Mirza.
Akhirnya, Hady, 44 tahun, mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan konsert pertamanya berjudul, Journey, di Teater Mediacorp pada 20 Julai.
Konsert itu akan berlangsung dari 7.45 malam hingga 10 malam.
Anda akan dibawa menyusuri jalan kenangan Hady sebagai anak seni menerusi hidangan lagu-lagu menghiburkan.
Tiket konsert antara $48 dengan $108 kini boleh ditempah menerusi laman Ticketmaster.
Mereka yang mendapatkan tiket Kategori 1 berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan pelantun lagu, Angkasa dan You Give Me Wings itu.
Nama Hady disebut-sebut selepas beliau memenangi Singapore Idol (Musim Kedua) sebelum bersaing dengan beberapa juara serantau dalam peraduan Asian Idol.
Pada 2023, beliau mendapat gelaran naib juara All Stars Gegar Vaganza (ASGV) dengan Jaclyn Victor (pesaingnya dalam Asian Idol) dinobatkan sebagai juara.
Sepanjang terlibat dalam kerjaya seni, Hady juga pernah diberi tugas sebagai pengacara peraduan realiti, Dansa Dan Sing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg