Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hafidz Roshdi dakwa setahun tidak hubung, temu anak

Apr 30, 2025 | 4:00 PM
Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri
Hafidz Roshdi mengakui perasaannya lebih kepada marah apabila lebih setahun tidak dapat berhubung atau bertemu dengan anaknya, Umar dan Humairah. - Foto BHM

Pelakon Hafidz Roshdi mendedahkan sudah lebih setahun tidak dapat berhubung atau bertemu dengan anaknya, Umar dan Humairah, sejak bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, membawa mereka ke luar negara.

Hafidz berkata segala usaha menghubungi anak-anaknya gagal kerana bekas isteri tidak lagi membalas sebarang panggilan atau mesej, meskipun sudah menyediakan telefon khusus untuk berkomunikasi.

“Sepanjang setahun lebih, saya langsung tidak dapat berhubung. Telefon dan nombor yang saya berikan sudah tidak dijawab.

“Jadi, hubungan saya dengan anak-anak sudah terputus sejak tahun lalu (2024),” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Hafidz, kali terakhir menghubungi anak-anak sebelum Aidilfitri 2024 ketika ingin mengatur pertemuan dan membeli pakaian Raya, namun ia berakhir dengan kekecewaan, lapor Berita Harian Malaysia.

“Ketika itu, kami sudah bersetuju untuk bertemu. Tapi, kemudian dia (bekas isteri) memberi pelbagai alasan dan akhirnya saya tidak dapat berjumpa dengan anak-anak.

“Sejak itu, nombor saya disekat dan semua usaha saya untuk menghubungi anak-anak tidak berjaya,” katanya.

Apabila ditanya sama ada berasa kecewa kerana sudah lama tidak dapat berhubung, Hafidz berkata perasaannya lebih kepada marah.

“Saya bukan kecewa, lebih kepada marah. Sekurang-kurangnya, berikanlah maklumat mengenai anak-anak, di mana berada, sekolah atau tidak, sihat atau tidak, bagaimana keadaan mereka.

“Saya ada hak sebagai bapa untuk tahu dan berjumpa dengan anak-anak saya. Hak ini tidak sepatutnya dinafikan, walau seburuk apa sekalipun keadaan saya,” katanya.

Mengulas sama ada mengikuti perkembangan anak-anak melalui media sosial bekas isterinya, Hafidz berkata beliau tidak mahu bergantung kepada maklumat dalam platform itu.

“Saya minta maaf, saya tak ambil tahu langsung. Saya tak tengok media sosial pihak sana, gambar anak pun saya tak tahu. Saya nak tahu daripada dia sendiri atau ibunya, maklumkan secara langsung kepada saya,” katanya.

Mahkamah memberikan hak lawatan sementara kepada Hafidz sepanjang cuti persekolahan hujung Mei ini, sementara menantikan keputusan induk hadanah yang dijadualkan didengar pada 29 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg