HANOI: Hanoi Train mula beroperasi secara rasmi pada 6 September, menawarkan pengunjung cara baru untuk meneroka mercu tanda ibu kota Vietnam tersebut dan membuat perjalanan ke arah timur ke Tu Son di daerah Bac Ninh.
Sebagai produk terkini dalam sektor pelancongan hasil kerjasama dengan Vietnam Railway Corporation (VNR), kereta api itu diperkenalkan buat pertama kali menerusi beberapa percubaan pada 19 Ogos.
Ia dijangka memaparkan sejarah dan budaya tempatan, serta menarik lebih ramai orang agar berkunjung ke ibu kota itu dengan cara pengembaraan yang unik.
Dua kereta api akan berangkat setiap hari dari Stesen Hanoi menerusi Gia Lam, Yen Vien menuju ke Stesen Tu Son sebelum pulang ke Hanoi.
Pengunjung boleh masuk 30 minit sebelum waktu keberangkatan pada 8 pagi dan 1.30 petang.
Bagi laluan bertentangan, kereta api akan berangkat dari Tu Son pada 10.30 pagi dan 4.20 petang.
Kereta api yang dikendalikan oleh BHL Tourism Service Trading Joint Stock Company itu diilhamkan daripada Thang Long Citadel yang purba.
Gerabaknya dinamakan sempena lima pintu bersejarah – Cau Den, Quan Chuong, Cau Giay, Cho Dua dan Dong Mac – setiap daripadanya mencetuskan legasi ribuan tahun ibu kota tersebut dan warisan kebudayaan Red River Delta.
Terdapat lima gerabak dua tingkat yang direka secara mewah serta dua gerabak yang ditujukan khas buat pengunjung untuk daftar masuk.
Dalaman gerabak tersebut menampilkan tema berlainan dengan setiap daripadanya terdiri daripada 40 hingga 60 tempat duduk.
Menerusi perjalanan 40 minit, penumpang akan menikmati muzik tradisional kebangsaan dan persembahan tarian seperti quan ho (duet nyanyian rakyat) ca tru (nyanyian upacara), cheo (opera tradisional) dan xam (nyanyian busker buta).
Selain itu, mereka berpeluang melakukan kraftangan tradisional seperti membuat lukisan Dong Hoo, genre lukisan rakyat yang terkenal dengan warna daripada bahan semula jadi; dan kek Phu The, simbol cinta abadi, kebahagiaan keluarga.
Penumpang akan dihidangkan masakan Hanoi seperti pulut muda, teh teratai wangian melati dan makanan ringan bermusim.
Setelah tiba di Stesen Tu Son, penumpang boleh melawat Kuil Do, salah satu peninggalan sejarah dan budaya Vietnam yang paling penting.
Mereka bukan sahaja akan melawat peninggalan tersebut, bahkan mempelajari tentang asal usul dinasti yang meninggalkan kesan mendalam ke atas budaya dan politik Dai Viet.
Terdapat aktiviti kebudayaan tempatan lain yang boleh dinikmati pengembara sebelum mereka kembali ke Hanoi.
Sistem penjualan tiket akan diperluas di kaunter rasmi VNR di Stesen Hanoi, serta melalui rangkaian ejen pelancongan dalam dan luar negara.
Harga tiket adalah antara 550,000 hingga 750,000 dong ($27 hingga $36).
Tempahan bagi kanak-kanak dan kumpulan akan mendapat promosi dan diskaun. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg